Sebuah penghormatan
17 Jan 2011 5 Comments
in Memoir
Sejarah aku dengan karya-karya Datuk Abdullah Hussain bermula sejak aku awal-awal lagi menjejakkan hatiku ke dalam dunia sastera ini. Aku bertemu dengan karya beliau pada muka pintu dunia ini sebaik sahaja aku memasukinya.
Kesan yang dipalitkan pada jiwa aku oleh Datuk Abdullah Hussain sangat dalam. Beliaulah antara faktor yang menyebabkan aku mencintai bidang ini. Keindahan tulisannya telah menyumbangkan warna yang memikat hatiku pada alam kesusasteraan ini.
Lantas, apabila krisis yang didepani oleh novel beliau yang berjudul Interlok baru-baru ini amat memberi kesan pada emosiku. Ada rasa bengang dan geram. Disulami kekesalan, namun yang peliknya, ada jalur-jalur yang berwarna kegembiraan turut terselit.
Dahulu, ketika aku masih jahil sastera, aku telah dikenalkan kepada dunia ini oleh seorang guruku yang bernama Dr. Ros Zakaria. Beliau telah banyak memupuk minatku dan membawaku sehingga ke peringkat negeri Kuiz Sastera Perdana. Untuk membolehkan aku sampai ke kedudukan naib johan di dalam kuiz ini, banyak kajian yang telah kubuat sebagai persediaan.
Dalam kajian itu, aku mengenali Datuk Abdullah Hussain sebagai sasterawan negara yang kelapan di samping sasterawan-sasterawan yang lain. Hadiah yang kuperoleh ketika naib johan kuiz ini pula ialah novel beliau yang berjudul Imam.
Perkenalanku semakin erat apabila ketika tingkatan lima sekolahku harus mempelajari satu lagi novel beliau yang berjudul Konserto Terakhir. Novel yang memaparkan penceritaan yang sangat indah dan kena dengan jiwa remaja, hinggakan aku tidak mendengar komen tentang novel ini daripada kawan-kawanku kecuali pujian.
Tatkala sasterawan lain menghidangkan karya yang berat untuk dihadam, beliau lebih senang digelar sebagai penglipur-lara. Datuk Abdullah Hussain sangat pandai bercerita melalui karyanya untuk menyampaikan mesej yang diingini. Hal ini menyebabkan segenap lapisan masyarakat selesa dengan karya beliau sehinggakan sudah dua buah novel beliau yang dipilih sebagai novel komponen sastera untuk subjek Bahasa Melayu.
Cintaku terhadap tulisan beliau semakin padu apabila aku berpeluang untuk menikmati antologi cerpen beliau yang berjudul Pahlawan Tak Bernama. Dalam antologi ini, aku semakin mengerti keindahan dunia sastera ini. Keindahan susunan kata-katanya, keindahan ceriteranya dan keindahan falsafah serta mesej yang ingin ditanamnya.
Aku membuat keputusan untuk lebih mengenali Datuk Abdullah Hussain. Lalu di Galeri Ilmu DBP Kota Bharu, aku membeli sebuah autobiografi beliau yang bertajuk Perjalanan Mencari Diri. Aku bersama-samanya mengembara bertemu manusia dan merentas kehidupan yang penuh dengan pengajaran. Semakin kubaca, semakin kukenal peribadinya, dan semakin bertambah cintaku pada karya-karyanya.
Aku hanya mendengar khabar bahawa beliau sedang uzur. Aku sangat ingin menziarahinya dan bertemu mata dengannya. Aku ingin menyampaikan penghargaanku kepada beliau atas ilmu yang telah beliau curahkan melalui karyanya. Pada 26 Jun 2010, aku menzahirkan perasaan rinduku pada dinding Facebookku: “Apa khabar agaknya SN Abdullah Hussain kini? Rasa rindu ingin berjumpa beliau apabila menatap karyanya. Moga-moga Allah memberkati segala amal beliau.”
Masa berlalu. Tiba-tiba negara ini dikejutkan dengan isu novel beliau iaitu Interlok yang didakwa berbaur perkauman. Rasa bengang, geram dan kesal kerana kelihatannya Datuk Abdullah Hussain seperti terguris kerana peristiwa ini. Gembira pula adalah kerana dunia sastera Melayu tiba-tiba menjadi perhatian rakyat negara ini dari segenap lapis masyarakat pelbagai bangsa.
Matlamat novel ini iaitu perpaduan antara bangsa tidak akan tercapai jika tiada orang yang membacanya. Secara tidak langsung, matlamat novel ini tercapai disebabkan isu ini kerana kebanyakan orang mula mencari-cari novel ini.
Sebelum ini aku ada menulis tentang dunia sastera negara ini:
Aku perhati betul-betul, dan aku kenal mereka. Mereka ialah kumpulan Kopratasa yang baru membuat persembahan sebentar tadi. Mereka terus pulang setelah selesai persembahan. Dan mereka pulang tanpa diiringi oleh sesiapa, seperti mereka ini tidak istimewa. Dan pergerakan mereka yang menyusup di celah-celah manusia tanpa disedari oleh sekeliling bagaikan memberi gambaran nasib bidang puisi dan sastera di kalangan masyarakat negara ini.
Bidang yang tidak disedari oleh sesiapa pergerakannya kecuali hanya oleh mereka yang berkaitan. Bidang yang tidak dipandang oleh sesiapa dan dipandang rendah oleh kebanyakan orang sebagai bidang kelas bawahan dari segi jaminan kerjaya.
Selepas isu novel ini, iklim dunia sastera berubah seketika.
Aku sebenarnya sangat menghargai sumbangan Datuk Abdullah Hussain, sama ada kepadaku atau kepada masyarakat negara ini. Tiada apa-apa yang mampu dilakukan untuk membalas jasa ini kecuali dengan menghargai jasa beliau dan memanfaatkan khazanah yang ditinggalkan.
Bekalan di akhirat nanti ialah ilmu yang bermanfaat. Moga Allah merahmati segala amal beliau. Amin.
Tulisanku ini adalah sebuah penghormatanku terhadap kerja keras yang telah beliau curahkan terutamanya dalam dunia kesusasteraan Melayu Islam.
Legasi yang telah beliau tinggalkan ini ialah suatu khazanah berharga buat panduan manusia dalam memahami erti dunia dan kemanusiaan dalam hidup sebagai seorang muslim.


Jan 18, 2011 @ 09:37:54
aku tak baca lagi…baru nak baca, tapi nak komen dlu sebab dah lama tnggu hang update….
Jan 18, 2011 @ 09:43:28
dah baca…best2, hang dah baca novel Interlok tu? Aku baru perasan pasal kontroversi tu kemarin masa baca berita pasal pengetua sbut perkataan paria masa berucap…
Jan 18, 2011 @ 16:47:02
aku dah kirim kat msia…
buku dia Perjalanan Mencari Diri aku beli kat Kelantan masa tu redah hujan lebat
Jan 18, 2011 @ 17:52:58
aku ada novel dia Imam best, kalau hang nak baca boleh…