Luka Nering terhadap jiwa

Tulisan ini ialah luahan hati setelah membaca Luka Nering.

Aku jenis seorang yang sukar untuk mengungkap ideaku dalam bentuk kata-kata atau tulisan untuk disampaikan kepada insan lain dengan menarik. Terima kasih Malim Ghozali PK atas karya Luka Nering ini. Kenapa?

Aku pada mulanya tidak memahami kenapakah judulnya Luka Nering? Luka Pohon Nering? Pohon Nering luka? Apakah maksudnya? Kenapa pohon nering itu luka? Kenapa mengaitkan luka kepada pohon nering? Apakah pohon nering? Sehingga ke tamat novel ini banyak hal yang tersembunyi yang belum aku fahami sehinggakan perkaitan judulnya.

Aku terjumpa ulasan novel itu di dalam Utusan Online, mengatakan bahawa novel itu telah diterjemahkan kepada Tree Of Sorrow. Aku mula mengerti sedikit.

“Pokok nering itu sebenarnya ialah lambang, kalau tidak pun ikon kepada Melayu dan institusi raja. Jadi jika pohon nering itu luka bererti orang Melayu yang luka. Institusi raja yang menjadi lambang kedaulatan bangsa, agama, maruah dan jati diri itulah yang luka. Memang kedaulatan Melayu dan institusi raja telah terluka berulang kali sepanjang sejarah dan tamadunnya.” Sumber: http://www.utusan.com.my/pendidikan/sastera/luka-nering-persejarahan-baharu-1.52172

Sebenarnya, aku sedang berada di dalam keterlaluan emosi menyelami sejarah terutamanya sejarah negeri Perak. Secara kerjaya profesional aku bukan berada di dalam bidang sejarah dan tidak perlu bagi aku untuk menyelami nya terlalu dalam. Tetapi hal ini boleh aku anggap sebagai masalah, kerana aku sudah terlalu melemaskan diri aku di dalam sejarah dan sastera, sehingga jiwa aku tidak mampu bernafas dengan baik di dalam bidang kedoktoran.

Aku menemui di dalam novel ini kebanyakan hal yang bermain di dalam fikiranku sepanjang penyelamanku di dalam sejarah dan kebudayaan serta geografi negeri ini, Perak.

Rasa meluatku terhadap penipuan oleh penjajah terhadap bangsaku dibelai dengan baik oleh novel ini. Perkataan yang diungkapkan sebagai ‘dendam’, memang hal itu sebenarnya tertanam dalam di lubuk jiwa ini. Aku rasa marah terhadap semua yang dilakukan oleh Inggeris sehingga wajah negara ini menjadi seperti ini. Watak utama TC mengungkapkan dendam Perjanjian Pangkor 1874, beliau telah berdebat dengan penilai kertas kerja sarjana beliau di universiti Barat. Beliau telah membalas keangkuhan pegawai Inggeris sehingga beliau terpaksa meringkuk di wad sakit otak akibat keterlanjuran itu. Ya, sekurang-kurangnya aku diberi pengajaran, supaya tidak melampau dalam berdendam. Akibatnya, aku sendiri yang akan menanggungnya.

Novel ini turut menjelmakan rasa hairan terhadap pemimpin-pemimpin yang sentiasa mengulangi kesilapan sejarah nenek moyang. Mereka terus lupa terhadap segala-gala yang telah berlaku akibat sikap pemimpin yang tidak berintegriti, lalai dan mementingkan kuasa dan kehendak diri. Mangsanya bukan sahaja mereka tetapi juga negara dan bangsa ini. Rasa hairan ini telah berada di dalam jiwaku dan selari dengan pancaran oleh novel ini. ‘Tuanku’ yang asyik berlumba kuda dan menari dengan perempuan walaupun sudah mempunyai permaisuri. Pegawai kerajaan yang mengetahui bahawa haram membina rumah ibadat di gua-gua batu kapur disebabkan oleh bahayanya, tetapi tidak menguatkuasakan undang-undang malah tiba-tiba kemudiannya menjadi tauke kuari.

Selain daripada itu, rasa bangga terhadap perjuangan dan kehebatan nenek moyangku dahulu membangunkan negeri ini dan melawan penjajah yang datang untuk mengaut hasil negeri ini. Aku rasa kagum dengan mereka yang dikatakan sebagai lemah oleh penjajah kemudian diikuti oleh anak bangsa sendiri tetapi mereka terus izzah dan penuh dengan maruah mempertahan negeri ini walaupun akibatnya mereka kehilangan nyawa dan harta. Yang penting mereka telah menunaikan tanggungjawab terhadap tanah air dan anak cucu mereka, walaupun akhirnya anak cucu mereka tidak menghargai langsung pengorbanan mereka. Malaysia yang lahir tidak seperti yang mereka harapkan.

Bagus novel ini. Kebagusannya bukan setakat bagus sebagai novel tetapi mempunyai roh patriotisme yang tinggi, penuh jati diri. Terima kasih Malim Ghozali PK.

Magis: Membetulkan letak diri dalam rohani

Magis.

Sepatah perkataan yang sesuai untuk mendeskripsi pengalaman semenjak peristiwa pahit lepas. Kembara rohani dan fizikal, merentas pergunungan dan lembah kehidupan, bermandi hujan duka dan bergelumang lumpur bahagia, semuanya terpahat dengan penuh seni dalam hati.

Selepas kepahitan, bertimpa-timpa nikmat, sedar atau tidak, dianugerahi Tuhan kepadaku. Kadangkala, luka ada berdarah, tetapi tidak banyak, kemudiannya kering semula. Semakin hari semakin menuju kesembuhan. Semakin hari, aku semakin lupa, bagaimana kesakitannya.

Masa terus berjalan. Aku terus menuju ke arah takdir Tuhan. Sama ada aku melakukan sesuatu atau tidak, kehidupanku tetap menuju ke penghujungnya. Cuma apabila sakit itu aku lupai, Dia pun aku mula lupai.

Aku telah selamat menjadi seorang suami sekali lagi, kali ini kepada seorang wanita yang lebih baik. Rezeki dimurahkan, aku berjaya menamatkan tempoh latihan sebagai doktor pelatih walaupun dengan langkahan yang rapuh. Sebelum memulakan semula kerjaya aku sebagai doktor, terdapat fasa cuti selama beberapa hari yang tidak aku habiskan ketika berada di dalam tempoh latihan.

Ketika cuti, aku mengambil peluang untuk melihat alam Tuhan, sambil menelaah sejarah, melihat realiti Malaysia, berfikir dan meletakkan kedudukan diri dalam situasi terkini. Retrospektif…

Pertama, perasaan gagal.
Gagal sebagai seorang hamba, Melayu, suami, doktor, rakyat, anak, abang, menantu, pendakwah, dsb.
Banyak tanggungjawab tak terlunas, banyak ingkar dan khianat. Aku terus dalam keculasan, dalam keadaan beban semakin bertambah-tambah. Dan aku terus selesa mengasingkan diri daripada manusia

Kedua, keliru.
Apabila aku meneliti semula sejarah bangsa dan umat, melihat hal yang berlaku di Malaysia, dalam kalangan kawan-kawan, dalam kalangan ahli-ahli organisasi dakwah, kecelaruan masyarakat, aku menjadi keliru. Apakah sebenarnya yang sedang berlaku kepada negara ini? Apakah hala tuju bangsa ini? Ke mana dunia ini sedang menuju? Kenapa seperti tidak selari teori dan realiti. Pedih apabila aku melihat kucar-kacir dunia. Fikiranku berserabut dan buntu. Kegemilangan bangsa ini umpama satu aib yang harus dilupakan. Rakyat inginkan bentuk kehidupan mengikut kehendak buaya penjajah pemakan bangkai. Itu yang mereka suka dan mereka tidak sedar bahawa mereka tertipu. Dan Malaysia kini sedang terbentuk, dengan acuan yang diasaskan oleh penjajah. Bagaimana untuk membetulkannya?

Aku cuba membetulkan semula letak diriku dalam rohani. Rohani yang masih tempang. Akal membantuku menilai.

Tuhan, bantu aku dalam penetapan ini. Tunjukkan aku jalan, dan bantu aku melangkah di atas jalan itu.

Masa terus berjalan, menuju takdir.

Hadapi realiti

Apabila telah berlaku taufan, jangan menganggap manusia akan membicarakan kelembutan bayu.

Apabila telah berlaku sebarang petaka, atau peristiwa yang sememangnya dianggap buruk pada pandangan masyarakat, perkara pertama yang perlu disediakan di dalam minda ialah stamina dalam menghadapi persepsi negatif dan cakap-cakap buruk daripada mereka.

Ya, kita boleh mengubah persepsi itu dengan mempertikaikan tindakan mereka, cuba memberi penjelasan dan sebagainya. Itu semua jatuh ke nombor dua.

Kerana perkara pertama yang paling penting ialah menyiapkan jiwa yang telah bersedia untuk menghadapi persepsi negatif dan cakap-cakap buruk itu. Kita telah menyangkakan itu bakal berlaku. Jangan mengharapkan tindak balas yang ideal, yang bakal mengikut kehendak fantasi kita, kononnya tiada siapa yang akan menilai dan menghukum, orang akan tidak ambil kisah, orang akan baik sangka.

Dunia sebenar adalah lebih buruk daripada yang kita sangka. Dunia kadang-kadang sesuatu yang tidak dijangkakan. Oleh sebab itu, jangan melatah apabila berdepan dengan realiti kehidupan.

Kalau jiwa tidak mampu berubah, terus dengan utopia pemikiran sendiri, kita tak akan mampu menghadapi hakikat ini.

Kita akan menjadi ‘mereng’, atau bakunya ‘biul’.

Biul: tidak begitu waras fikiran, kemamar, sewel (Kamus Dewan Edisi Keempat)

Alam mengajar kita

Perkara yang telah kita lalui, dan yang telah kita lihat; itu yang akan membentuk diri dan pemikiran kita. Bernilaikah dunia ini sebenarnya?

(1)

Aku terbaca satu berita, semalam, tentang seorang pelajar sekolah menengah yang telah terlibat dalam satu kemalangan. Pelajar itu sedang membonceng motosikal pulang daripada sekolah. Motosikal itu telah dipandu oleh kakak tirinya.

Malang sekali, sebuah kereta kancil memotong motosikal mereka dan mereka terjatuh apabila kereta itu bergesel dengan motosikal mereka. Pelajar itu terjatuh ke tengah jalan. Kebetulan, ketika itu sebuah lori sedang meluncur laju.

Pelajar itu telah kehilangan kedua-dua belah kaki, digilis oleh lori itu.

(2)

Ketika rotasi pegawai perubatan siswazah di Jabatan Paediatrik, aku telah belajar untuk menyukai kanak-kanak. Sebelum ini, aku sejujurnya tidak gemar akan budak-budak. Kebiasaannya, aku akan tidak menghiraukan kanak-kanak yang berada di sekelilingku. Aku tidak akan mengada-ngada bermain-main dengan mereka kerana aku memang tidak menggemari kanak-kanak. Aku tidak pernah menyentuh anak kawan-kawanku. Apabila pergi meziarahi sesiapa yang baru dianugerahkan cahaya mata, aku pasti akan mengelak daripada mendukung bayi itu.

Di rotasi ini, aku terpaksa menyentuh mereka. Paksaan ini menyebabkan hatiku dilenturkan oleh perasaan untuk menyukai kanak-kanak. Hati kalau dipaksa pasti boleh dilentur, melainkan hati itu degil dan keras disertai pula dengan suntikan syaitan, memang kalau engkau bawa malaikat jibril pun tidak akan mampu dilenturkan.

Yang menginsafkan aku ialah apabila aku melihat wajah sang ibu yang menerima anak yang tidak sihat seperti anak orang lain. Tidak sihat itu pula bukanlah suatu yang dapat sembuh, penyakit yang dialami itu ialah penyakit sepanjang hayat yang tidak boleh diubati. Ibu tidak akan dapat melihat anak mereka membesar seperti anak lain, mereka hanya akan melihat kehidupan anak mereka yang dibataskan oleh penyakit yang dialami. Malah kemungkinan mereka akan melihat pengakhiran hidup anak mereka di hadapan mata mereka ketika hayat mereka.

Apatah lagi, jikalau usia ibu itu telah lanjut. Bertahun-tahun telah mencuba untuk mendapat anak. Sehingga pada usia yang sangat suntuk, setelah berjaya memperoleh anak, anak yang diperoleh bukannya mengubat hati setelah penantian yang lama. Anak yang diperoleh menjadi ujian tambahan, yang menambah kesedihan jiwa, mengukur tingkat keredaan diri.

Hanya mampu pasrah. Anak yang disayangi akan menjadi luka di hati, bukan kerana anak itu melukakan, tetapi kesedihan hati melihat penderitaan anak dan penerimaan takdir yang mengecewakan, itu yang melukakan.

(3)

Kini aku berada di rotasi Jabatan Sakit Puan dan Perbidanan. Pertarungan ibu melahirkan anak merupakan peristiwa harian yang menginsafkan buatku kali ini. Air mata dan tangisan ibu setelah bersabung nyawa merupakan pelembut jiwa.

Walaupun ibu itu sundal, bohsia, dajal, pelacur, doktor, jurutera, kerani, tukang sapu, pandai, bodoh, gila, waras, mereka tetap sanggup menahan kesakitan agar kandungan itu dilahirkan.

Tak tercapai oleh akal. Kesakitan itu bisa membuatkan putus asa. Aku sendiri tak pasti sama ada aku akan sanggup untuk menghadapi kesakitan itu. Aku tak tahu. Tetapi sang ibu sanggup. Agar lahir anak yang dikandung. Mereka tidak putus asa, mereka terus meneran sehingga terkeluar dubur, sehingga tumpah sebahagian darah dari tubuh, sehingga terkoyak dinding faraj, sehingga ada yang mati.

Kemudian, apakah yang bakal dipersembahkan oleh sang anak apabila dia dewasa?

Terus-terang aku bertegas bahawa, wanita merupakan insan yang sangat kuat. Kuat menghadapi kesakitan ketika melahirkan anak, kuat juga menghadapi kesakitan apabila mendepani kederhakaan anak.

Kesimpulan:

Hidup terus berjalan. Kadangkala penuh dengan kesakitan dan kepayahan. Semua itu kadangkala kita rasa sangat besar, sangat menyeksakan.

Hakikatnya, apabila dibandingkan dengan kehidupan orang lain, akan menyebabkan diri berasa betapa beruntungnya kita dan seharusnya kita bersyukur.

Malah, betapa malunya kita melihat insan-insan lain yang sangat kuat, terus menghadapi kehidupan dengan penuh kesakitan tanpa berundur melangkah ke belakang.

Kita sebenarnya mampu untuk pergi jauh. Kita mampu untuk membawa diri kita sejauh-jauhnya. Kadangkala, kita sendiri akan tidak menyangka, bahawa sejauh itu kita mampu.

2015 pergi

Besok 2016 akan tiba. 2015, hanya dalam beberapa ketika, akan pergi.

Semua akan pergi. Usia, kenangan, orang-orang di sekeliling kita, waktu, harapan, cinta, dan banyak lagi. Semua akan pergi. Ya, mereka akan pergi. Sekalipun engkau tidak mahu, mereka tetap pergi.

Engkau tiada, mereka tidak terjejas. Mereka pergi engkau tidak pun terjejas. Semua itu hanya hukum alam. Yang datang akan pergi, walaupun tanpa kerelaanmu. Engkau merasakan yang pergi itu mereka. Sebenarnya, engkau juga sedang pergi.

Engkau sendiri sedang berjalan menuju takdirmu. Engkau tidak mampu mengawal langkahanmu sepenuhnya kerana ia milik takdir. Engkau sangat ingin tidak meninggalkan atau ditinggalkan. Tetapi destinasimu masing-masing berbeza.

Mereka pergi, dan engkau juga sedang pergi. Meninggalkan segala-galanya.

2015 telah melukiskan pelbagai warna di hatiku. Sebahagian besarnya telah meremukkan, sebahagian besar juga telah membentuk semula hatiku. Duka dan cita-cita itu sebati. Suka hanya hiburan seketika. Kehidupan sepenuhnya merutin, menjadi debu. Hanya sedikit menjadi emas.

Cinta merupakan episod utama yang mencorak kematanganku tahun ini. Akan datang 2016, sesiapa yang menerima cintaku sangat beruntung, kerana telah dibentuk dengan baik oleh pengalaman 2015. Wajahnya lebih matang, lebih meyakinkan dan lebih tabah. Kerana telah ditempa selama 235 hari dengan penuh muhasabah.

2016, aku telah bersedia. Untuk menjadi hamba Tuhan yang lebih baik. Aku tidak pernah menyangka bahawa aku telah mampu untuk sampai setakat ini. Melalui pelbagai perkara yang aku sendiri tidak yakin aku mampu merentasinya.

Ternyata aku sudah sampai setakat ini di penghujung 2015 ini. Aku mula sedar, dan semakin sedar, bahawa aku boleh.

Aku boleh menjadi lebih baik. Aku boleh menjadi hamba-Nya yang baik.

Setelah Dikecewakan

Tulisan ini menasakhkan pos aku yang sebelum ini.

Aku pernah berkahwin dengan seorang perempuan yang aku sangka merupakan wanita yang akan menjadi isteriku yang baik.

Aku silap. Dia bukan isteriku yang baik. Mungkin dia isteri yang baik untuk orang lain.

Dia telah meminta cerai. Aku tidak bersetuju untuk bercerai kerana tempoh perkahwinan kami sangat singkat. Masih banyak usaha yang belum dilakukan walaupun secara jelas kami telah mengetahui puncanya.

Dia kata tujuh bulan ini terseksa sebagai isteri aku, ketika aku telah berusaha menjalankan tanggungjawab sebagai suami dengan sungguh-sungguh mengikut apa-apa yang diajar agama tanpa menganiayainya. Terseksa itu daripada dalam dirinya sendiri, sesuatu yang aku tidak boleh kawal.

Sehingga dia sendiri tidak dapat mengawal dirinya. Dia tidak mahu lagi menjadi seorang isteri. Hilang hormat dan taat kepadaku. Dia pergi tanpa kebenaranku.

Aku bersetuju untuk berpisah secara tebus talak. Setelah semua yang dilakukan kepadaku, permintaan perpisahan ini kemuncak kekecewaan yang dia cipta untukku. Tetapi perpisahan ini baginya penyelesaian masalah untuknya.

Ya, memang telah selesai masalah itu. Dia bersetuju untuk membebaskan dirinya daripadaku dengan bayaran 25,000 ringgit. Satu nilai yang tidak setara dengan harga sebuah perkahwinan.

Itu kemuncak kekecewaan yang dia beri kepadaku setelah semua yang dilakukannya. Dia fikir semua itu boleh dilangsaikan dengan 25,000 dan permohonan maaf yang belum pernah aku terima. Aku terasa seperti dibuang bagaikan sampah.

Dia rasa itu cara baik, tanpa menyatakan rasa bersalah. Penuh yakin Tuhan akan mengampunkannya.

Mudah-mudahan Tuhan akan mengampunkannya. Dia bukan lagi isteriku. Tidak perlu aku membebankan diriku tentangnya lagi. Dia pernah bergelar isteriku selama 235 hari, tetapi sebagai sebagai sebenar-benar isteri aku tak tahu berapa hari sahaja.

Aku tahu aku sendiri banyak kekurangan. Aku juga tahu apakah masalah sebenar dia sehingga jadi begini.

Perpisahan ini boleh jadi baik untukku, dan juga untuknya. Tetapi itu bukan jaminan. Dunia ini di tangan Tuhan. Dia yang menyusun segala-galanya. Manusia mengharapkan sesuatu itu mengikut keinginannya, tetapi Tuhan mempunyai keinginan-Nya sendiri.

Tuhan Maha Adil. Dia tahu mana yang baik untuk hamba-Nya. Dia tahu siapa yang zalim dan siapa yang adil. Dia lebih berhak memberi pengajaran yang selayaknya kepada mereka yang bersalah.

Aku serahkan pada Tuhan.

Ya, setelah dikecewakan, aku tetap akan mencari cinta yang baharu, insya Allah lebih segar dan membawa ke syurga. Amin!

Fajar sudah kelihatan, subuh telah tiba… siang akan menjelma, tidak lama lagi.

Retorika ke hakikat

Aku ingin memahat sedikit kata-kata pada malam ini, sebelum tiba hari esok; hari berakhirnya cita-cita, hari penghujung sebuah impian, semuanya sedang menuju ke satu penamat.

Dua jasad yang bersatu dengan ikatan yang suci, tidak bersatu hatinya. Kedua-duanya merupakan jiwa yang terasing dan tidak pernah bersatu. Walau pelbagai cara dan usaha dilakukan secara sungguh-sungguh, tetap tidak dapat dileburkan untuk menjadi satu.

Keengganan telah mencipta satu tembok yang besar. Aku telah cuba mendaki tembok itu dengan segala payah dan kesakitan, ternyata dia terus menambah batu-bata, menebalkan dan meninggikan tembok itu. Apabila aku telah sampai ke puncak tembok itu, bertemu wajahnya, dengan penuh harapan untuk bersamanya tanpa dipisahkan oleh tembok itu, dia menolakku.

Aku terjatuh, berpaut di pinggir tembok itu. Dia hanya memandangku dengan penuh kemarahan, di hatinya penuh kebencian terhadapku.

“Kenapa kau terus memanjat? Semua usahamu tidak akan mengubah apa-apa pun.”

Dia memijak tanganku. Aku kesakitan dan terus bertahan. Dia terus menghinjak-hinjak jari-jemariku sehingga luka berdarah. Dia menendang kepalaku. Lalu pautanku terlepas.

Aku gugur ke bumi. Ketika aku sedang menuju ke permukaan bumi, aku lihat wajahnya di atas tembok, wajah yang pernah ku kucup dahulu dengan penuh harapan. Wajah yang pernah memberi harapan.

Aku memejamkan mataku. Tubuhku terus meluncur ke bumi ditarik graviti. Aku membayangkan tubuhku yang bakal patah riuk, organ-organku akan berkecai, jasadku yang akan hancur terhempas ke permukaan bumi.

Aku terus memejamkan mataku.

Aku hairan.

Kenapa? Kenapa aku terasa seperti aku masih belum terhempas? Apakah aku sudah mati?

Aku membuka mataku. Mereka sedang memaut tubuhku. Aku tergantung di awangan dipaut oleh mereka. Wajah-wajah mereka sangat aku kenal. Mereka menarikku ke puncak dataran yang terdapat satu taman di atasnya.

Di situ, aku lihat ada seorang puteri sedang turut menghulurkan tangannya kepadaku. Dia kelihatan seperti sudah lama di situ, menanti seseorang.

Dan aku pun menghulurkan tanganku. Tetapi kami masih jauh. Aku belum dapat mencapainya. Aku ingin mencapainya.

Dekatkan kami wahai Tuhan!

Previous Older Entries