Yang berlalu

Orang-orang dulu memang sangat berfikiran dalam sehingga mereka dapat menggali hikmah dengan akal mereka. Lantas mereka melahirkan kata-kata yang ringkas dan penuh isi yang menjadi panduan kepada individu yang mendengarnya khususnya para generasi baru.

Kadangkala, apabila mindaku terkenangkan kampung dan keluargaku, antara perkara yang sangat mencetuskan rasa ralat dalam mindaku ialah betapa aku telah menyia-nyiakan sebahagian peluang pada masa lampauku. Sebahagiannya ialah aku telah mengabaikan peluang hidup bersama warga emas yang penuh pengalaman.

Banyak mutiara pengalaman yang ingin kukutip kini, tapi peluangnya hanya ku punya dahulu. Kini, berendam dalam kolam keinginan, aku hanya dapat melihat dari jauh di daratan sana, mereka gugur satu-persatu dari pohon kehidupan, jatuh ke bumi dan menjadi sebahagian daripada tanah.

Kalau melihat air yang tenang,
Jangan disangka tiada buaya;
Karam di laut boleh berenang,
Karat di darat apakan daya.

Advertisements

Zahir atau pendam

Seperti biasa, aku menulis berdasarkan peristiwa dalam hidupku. Tidak perlu untuk menceritakan apakah peristiwanya, namun cukup bagi aku menghidangkan buah-buahnya sebagai juadah akal anda yang sudi menikmatinya.

__________________

Setiap perkara yang wujud di dunia yang fana ini, padanya pasti terdapat persoalan dan penjelasan. Cuma yang menjadikannya bagaikan tiada kedua-dua unsur ini ialah kemampuan akal untuk mencapainya. Contohnya, dalam surah Al-An’am ayat 59. Persoalannya ialah tentang perkara-perkara ghaib. Namun, akal manusia tak mampu untuk mencapainya, kuncinya hanya ada pada Allah. Hanya Allah yang mengetahui perkara-perkara itu.

Begitulah adat kehidupan di dunia ini. Persoalan sentiasa berlegaran dalam kehidupan kita. Malah, kadangkala kita jadi bingung apabila penjelasan yang kita harapkan tidak kunjung tiba. Kita juga jadi bingung apabila ada insan yang mempersoalkan perkara yang tidak dapat untuk dijelaskan, atau sebenarnya, persoalan itu tidak perlu pun untuk dijelaskan.

Persoalan dan penjelasan ini apabila subur dalam diri insan yang lantang bicara, kedua-duanya akan sentiasa diluahkan sama ada secara nyata atau selindung dalam bentuk pandangan. Perkara yang berbeza pula terjadi apabila kedua-duanya mendiami jiwa individu yang introvert, unsur ini akan diam dalam kediamannya. Terpendam. Hanya Allah yang mengetahui perkara-perkara itu.

Pernah pada suatu program, Ustaz Abdullah Zaik (Presiden ISMA) menzahirkan suatu penjelasan. Kata beliau, “Kita mesti berani untuk mengemukakan pandangan kita kerana inilah yang akan menyelamatkan kita”. Penjelasan ini menjawab persoalan yang bermain-main dalam minda para pemendam. Perlukah aku menzahirkan isi hati aku? Namun, masih ada persoalan lain yang menyekatnya. Apakah yang akan berlaku jika aku menzahirkannya?

Hakikat apabila kita menzahirkan pandangan ialah akan ada individu yang bersetuju dan ada yang sebaliknya. Kebiasaannya, pemendam pandangan tidak menzahirkan pandangan mereka kerana dia diselubungi dengan suatu ketakutan yang abstrak. Ketakutan terhadap pelbagai perkara. Biasanya ketakutan itu ialah pada apa-apa yang berada dalam hati individu lain. Dalam fikirannya amat khuatir dengan kesan tindakannya terhadap cuaca hati mereka. Sedangkan, hanya Allah yang mengetahui perkara-perkara itu.

Pergolakan ini hanya akan terhenti apabila dia bertindak. Tidak boleh tidak, dia harus memilih salah satu daripada dua perkara, iaitu mengorbankan diri atau orang lain. Mengorbankan diri dengan menjadi seorang pemendam pandangan, atau mengorbankan orang lain dengan menjadi penzahir pandangan.

Dan musuh yang sentiasa mengganggu dalam pergolakan ini ialah syaitan dan nafsu. Paling utamanya ialah nafsu kerana kewujudannya dalam segala ancaman-ancaman lain. Syeikh Fathi Yakan ada mengemukakan satu hadis Rasulullah SAW dalam buku beliau yang bertajuk Bahtera Penyelamat. Hadis ini menjelaskan ada lima rintangan dalam kehidupan seorang pendakwah.

Mukmin yang dengki, munafiq yang membencinya, kafir yang memeranginya, syaitan yang menyesatkannya, dan nafsu yang sering bertarung untuk mengalahkannya. Tidak boleh dinafikan, nafsulah yang paling bahaya kerana kewujudannya dalam diri setiap manusia dan peranannya sebagai pendokong dalam empat rintangan yang lain.

Syaitan dan nafsu dalam pergolakan ini menggoda agar jiwa memilih untuk berkorban. Kedua-duanya menghiasi pengorbanan ini dengan menjelmakannya sebagai suatu yang suci. Padahal pengorbanan ini sebenarnya sangat membahayakan. Tidak berdosa kalau kita menyatakan persoalan dan memohon penjelasan dengan berbincang pada tempat yang betul agar lebih terpandu tindakan kita.

Masa depan bukanlah suatu perkara yang harus terlalu dirisaukan sedang tiada apa pun yang dilakukan untuk menghadapinya. Detik-detik yang masih dimiliki sepatutnya dimanfaatkan dengan perancangan dan pengurusan yang teliti. Dengan izin Allah masa depan akan lebih terjamin. Kita sebagai insan, hanya mampu berusaha. Takdirnya ialah milik Allah. Masa depan itu, bukankah hanya Allah yang mengetahuinya?

Setelah sampai ke sini

Hari ini aku dapat berita yang mengembirakan hati. Setelah bertungkus-lumus menduduki peperiksaan ulangan subjek ophthalmology pada waktu cuti lalu iaitu kala semua orang sedang bahagia memanfaatkan cuti dan ramadan mereka, hari ini natijahnya diumumkan. Syukur kepada Allah SWT kerana aku dianugerahkan suatu nikmat yang bernama kejayaan.

Kegembiraan sementara ini dapatlah menghilangkan dan melenyapkan sedikit cuaca buruk yang melanda dalam jiwa ini. Sebenarnya, cuaca itu telah pun mula surut dan reda setelah kelihatan samar-samar mentari menghulurkan cahayanya pagi tadi. Terima kasih kepada sang mentari kerana sudi untuk singgah sebentar melayani bumi ini yang tidak menentu cuacanya.

‘Ikhwah’ umpama mentari yang tak ternilai harganya. Tidak boleh diganti oleh sesiapa manusia hatta ibu dan bapa kita sendiri. Kelebihan kita dipujinya, kekurangan kita ditampungnya. Salah dan silap disiraminya dengan jirusan keimanan. Jiwa yang terpesong dipalingkan semula kepada hala tujunya.

Aku pernah rasa terasing dalam kalangan manusia. Namun, itu tidak membawa aku ke mana-mana andai aku terus meletakkan dinding dan mengasingkan jiwaku. Aku harus membiarkan jiwaku bebas di taman ini. Berjalan bersama-sama meniti jalan yang lurus, bersama-sama mereka yang memiliki jiwa seorang pejuang. Hanya dengan hidup bersama pejuang, aku akan menjadi seorang pejuang.

Hakikat yang harus aku sentiasa ingat, setelah merentasi jalan ini sampai ke sini, aku tidak harus lupa akan langkah pertamaku. Aku tidak harus melupakan permulaan jalan ini dan segala unsur yang menyokongnya. Sebabnya, itulah asasnya yang membawaku sejauh ini.

Andai aku melupakan asas ini, semakin jauh aku ke penghujung, semakin aku akan terpesong.

Memandang dari suatu sudut

Semalam, dalam hidup aku, peristiwa yang sama bentuknya berulang. Dalam hati kecilku, tersemat kemas akan hakikat hikmah dalam sesuatu peristiwa itu. Tidak dinafikan juga terselit rasa kecewa dengan sikap sesetengah manusia yang terlalu terburu-buru menghukum dan menilai. Bukan aku nak menyatakan diri aku sebagai baik, barangkali aku juga tergolong dalam kalangan manusia itu.

Syukur kepada Allah kerana telah memberi aku suatu sudut pandang yang menyebabkan aku sedar akan kedudukan diri aku sebagai manusia di atas muka bumi ini. Apabila aku memandang dari sini, aku boleh lihat pelbagai karenah manusia, kebanyakannya bertopeng dan berkepentingan. Dari sini, juga aku dapat melihat rupa bentuk sebuah keikhlasan, yang sangat asing daripada kehidupan kebanyakan manusia kini.

Kasih-sayang sudah dikikis oleh ketaksuban melampau. Memang aku juga kadang-kadang tersalah, dan terjebak dalam kancah ini. Namun, anugerah sudut pandang ini telah membantu aku menilai kedudukan diri aku sebagai seorang manusia di atas muka bumi ini.

Manusia ialah makhluk yang berubah-ubah. Apabila dijentik kepentingannya, dia sanggup melupakan segala-galanya. Perubahan yang berlaku sangat total sehingga 360 darjah. Perubahan yang tak menentu ini menyebabkan aku mula sentiasa prejudis dengan kebanyakan manusia hatta dengan mereka yang sedarah denganku. Aku jadi sangsi. Sebenarnya, siapakah yang betul? Siapakah yang baik? Siapakah yang berpura-pura?

Sungguh, kalau kau punya sudut pandang sepertiku ini, kau pasti akan terkejut dengan pelbagai kejutan kehidupan ini yang dicipta oleh manusia yang kau sendiri kenal, malah kau sangat percaya.

Syukur kerana dalam kehidupan ini ada istilah lapang dada, sangka baik dan kemaafan. Barangkali, mereka tidak tahu. Malah, barangkali aku sendiri yang tidak tahu.

Semalam, dalam hidup aku, peristiwa itu seumpamanya hanyalah cubitan manja di atas jalan ini. Sekadar menghangatkan jiwa di ambang musim sejuk yang sangat selesa ini.

Hari Puisi Nasional

Aku ada membaca beberapa tulisan di dalam beberapa blog, yang aku lihat terlampau berterus terang dalam penceritaan mereka. Antara alasannya ialah mereka tidak perlu hipokrit. Dan aku pula jenis yang suka berkias-kias dan tidak gemar berterus-terang. Sikap yang berbeza antara aku dan mereka.

Kekurangan sikapku ini ialah aku akan susah untuk mencari modal penulisan. Bagi mereka pula sangat banyak modal yang boleh ditulis kerana terlampau berterus-terang dan segala perkara dalam kehidupan boleh dijadikan isi penulisan.

Terserah kepada individu sikap yang mana hendak diamalkan. Aku lebih suka dengan bersederhana dalam meluahkan segala idea penulisan dan lebih sukakan gaya kiasan. Hal ini kerana dengan berkias manusia akan lebih berfikir dan mengaktifkan pekerjaan otaknya. Hanya orang yang berfikir akan mendapat sesuatu.

Malah, aku sendiri lebih gemar membaca novel yang berat berbanding novel yang sekadar bercerita lalu kosong. Cuma sedikit peringatan buat aku dan sesiapa yang membaca penulisanku. Lantaran corak keterbukaan dan kebebasan penulisan yang dituntut oleh kebanyakan orang hari ini.

Tidak semua harus diceritakan, tidak semua harus didiamkan.

Barangkali tulisan di bawah sesuai untuk menyeimbangkan sikapku yang kurang berterus-terang.

__________________

Aku ingin menceritakan sedikit pengalamanku. Pengalaman ketika aku bersekolah di Sekolah Menengah Agama Persekutuan Kajang dahulu. Aku mula bersekolah di situ pada 2003 iaitu sejak tingkatan empat.

Ketika di situ, aku suka sekali menyertai rombongan-rombongan ke luar sekolah. Kalau ada dibuka penyertaan, aku akan bersegera cuba untuk mendaftarkan diri dan memastikan aku dapat menyertainya. Banyak juga yang aku dapat pergi dan penyertaanku ini telah memberi aku peluang yang sangat bagus untuk aku meneroka tempat dan pengalaman baru yang sukar untuk diperoleh di tempat-tempat lain.

Biasanya, penganjur-penganjur memang akan menjemput sekolah-sekolah berasrama penuh untuk memeriahkan majlis anjuran mereka. Antara program yang pernah kupergi ialah Hari Puisi Nasional, Konsert Aman Malaysia, Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur, Debat Perdana dan Pameran Sempena 100 Tahun Nobel di Pusat Sains Negara. Kalau berpeluang aku akan menceritakan serba sedikit pengalaman yang kuperoleh sepanjang penyertaanku ke program-program tersebut.

Kali ini, aku ingin menceritakan pengalamanku ketika menyertai jemputan ke Hari Puisi Nasional. Ketika ini, aku belum lagi meminati bidang sastera seperti kini. Aku menghadiri program ini kerana ingin merasai pengalaman berjalan-jalan di kota dan ingin keluar daripada kepompong asrama. Aku kurang ingat butiran program ini, tapi seingat aku program ini diadakan pada sebelah malam di sebuah dataran di Putrajaya.

Ramai orang yang hadir. Ramai juga yang membaca puisi di majlis ini, kebanyakannya ialah ahli sastera dan artis tanah air. Antara yang turut mendeklamasikan puisi pada hari tersebut ialah Tun Dr. Mahathir, SN A. Samad Said, Dato’ Jins Shamsudin, Lim Swee Tin dan kumpulan Kopratasa serta ramai lagi, cuma aku kurang ingat semuanya.

Aku kurang menumpukan perhatian pada persembahan deklamasi. Aku lebih banyak memerhatikan manusia sekeliling. Aku hanya memberikan perhatian apabila kumpulan Kopratasa membuat persembahan. Barangkali semenjak hari inilah aku mula meminati mereka. Persembahan mereka yang sangat unik dan bertenaga. Puisi yang dilagukan menjadi hidup dan menggetarkan melodi dalam jiwa. Namun, kumpulan Kopratasa kurang diminati oleh orang muda sepertiku ini. Mereka lebih meminati kumpulan-kumpulan kontemporari yang menepati citarasa moden.

Selesai sahaja persembahan oleh kumpulan Kopratasa, tiba giliran persembahan lain. Aku yang kurang memberi perhatian pada persembahan seperti biasa memerhatikan gelagat manusia di sekeliling. Tiba-tiba aku terperasan ada pergerakan yang laju menyusup di celah-celah manusia. Pergerakan ini tidak dihiraukan oleh perhatian manusia yang barangkali sedang khusyuk menghayati persembahan.

Aku perhati betul-betul, dan aku kenal mereka. Mereka ialah kumpulan Kopratasa yang baru membuat persembahan sebentar tadi. Mereka terus pulang setelah selesai persembahan. Dan mereka pulang tanpa diiringi oleh sesiapa, seperti mereka ini tidak istimewa. Dan pergerakan mereka yang menyusup di celah-celah manusia tanpa disedari oleh sekeliling bagaikan memberi gambaran nasib bidang puisi dan sastera di kalangan masyarakat negara ini.

Bidang yang tidak disedari oleh sesiapa pergerakannya kecuali hanya oleh mereka yang berkaitan. Bidang yang tidak dipandang oleh sesiapa dan dipandang rendah oleh kebanyakan orang sebagai bidang kelas bawahan dari segi jaminan kerjaya.

Sebaik sahaja tamat program ini, orang ramai berebut-rebut untuk bertemu dengan para deklamator yang terdiri daripada artis dan ahli sastera tanah air serta pemimpin negara. Aku pun menurut perangai manusia lain, berebut-rebut mahu berjumpa dan bersalaman dengan mereka. Dan aku ada menyediakan pen, untuk mendapatkan autograf mereka.

Aku berjaya mendapatkan autograf beberapa tokoh seperti Tun Dr. Mahathir, SN A. Samad Said, Lim Swee Tin, dan Dato’ Jins Shamsudin serta barangkali beberapa tokoh lagi yang aku kurang mengingatinya. Cuma, peristiwa yang menarik bagiku ialah apabila aku meminta tandatangan Tun Dr. Mahathir. Beliau menandatangani bukuku dan aku mencari-cari tokoh lain, lalu aku menjumpai SN A. Samad Said. Aku segera meluru kepada beliau sebelum beliau beredar dari dataran itu untuk pulang.

Aku bersalaman dengan beliau. Dan aku menghulurkan bukuku untuk ditandatangani. Kebetulan ketika itu kami tidak berdiri di bawah lampu. Gelap. Beliau kurang nampak dengan jelas di mana harus ditandatanganinya. Apabila selesai ditandatangani, aku sangat gembira. Namun, kegembiraanku itu tidak lama kerana sebaik sahaja aku menyemak semula autograf-autograf yang kuperoleh, ada sesuatu yang mengecewakan.

SN A. Samad Said secara tidak sengaja telah menurunkan autografnya di atas autograf Tun Dr. Mahathir. Kedua-dua autograf mereka bertindih dan tidak lagi berupa autograf walaupun masih boleh dikenali jika dilihat dengan teliti. Setelah beberapa lama, ternyata peristiwa ini bagaikan membenarkan sejarah.

SN A. Samad Said ialah antara individu yang lantang menentang Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) yang dilaksanakan oleh Tun Dr Mahathir.

Genap Separuh Dekad

Sekadar nak mengabadikan saat ini. Muhasabah dan penilaian sepanjang lima tahun aku berada di Mesir ini. Walaupun sepatutnya dalam tahun pengajian aku sudah berada di akhir tahun kelima, namun Allah mengehendaki aku mengulang setahun daripada pengajian perubatan aku iaitu pada tahun ketiga. Sekarang aku sedang berada di awal tahun kelima.

Allah memberi peluang kepada aku agar duduk lebih lama di bumi Mesir ini. Kenapa?

Sebabnya akan ditentukan oleh aku sendiri. Akulah yang memilih jalan kehidupanku dgn panduan Allah agar menjadi sebab yang terbaik buat anugerah lima tahun yang telah aku lalui dan lagi dua tahun lebih yang bakal aku tempuhi.

Aku salin semula sebuah puisi yang pernah kukarang setahun yang lalu. Sebagai muhasabah untuk diriku. Dan kamu.

__________________

Tajuk: Resah separuh dekad

Hati risau dan resah amat
Sudah hampir separuh dekad
Tergapai-gapai di bumi rahmat
Di dasar masa yang amat terhad.

Helaian ilmu masih belum lekat
Bekalan pengalaman masih belum pekat
Tutur percakapan masih tersekat-sekat
Puncak pemikiran masih jua singkat.

Adakah kerana kurangnya berkat
Disebabkan banyaknya perlakuan maksiat
Dan gemar pula untuk berehat-rehat?

Sedarlah cepat-cepat, sebelum terlambat
Kembalilah kepada matlamat
Tolehlah daripada penghujung yang sesat
Bersedialah demi keperluan umat
Dan keselamatan di dunia akhirat.

26 September 2009
Syari’ Samanoudi, Mansurah.

Baca pos penuh di sini.