Pindah Rumah

Awal bulan Disember ini, aku telah berpindah rumah. Rumah asal yang telah kududuk sejak tahun satu (2006) akhirnya kutinggal juga walaupun pada asalnya ada niat yang terselit di benakku untuk terus kekal di rumah itu sampai ke penghujung pengajianku.

Namun, bukan semuanya kekal dan mampu untuk dikekalkan. Kadangkala, sesuatu yang susah itulah sebenarnya akan mendidik kita dan membentuk perubahan yang tidak disangka-sangka.

Aku berpindah kali ini dalam keadaan aku berada dalam kondisi yang menghimpit. Tidak kusangka, himpitan-himpitan itu telah mengukir jiwa menjadi suatu wajah yang berlainan.

Syukur, rumah yang baru ini walaupun ada kurang berbanding dengan rumah yang lama, banyak juga kelebihannya.

1. Ahli rumah yang baru dan sejalan.
2. Bilik yang lebih luas.
3. Ada tingkap, permandangan dari tingkat atas. Fikiran aku akan lebih bebas meneroka bumi dan langit.

Perubahan menandakan kita sedang bergerak. Perubahan juga menandakan ada sesuatu yang tidak lagi sama. Dan perubahan juga menandakan ada sesuatu yang akan berlaku, kalau pergerakannya berterusan.

Doa-doakan…

__________________

Dalam menjalani kehidupan yang sentiasa berjalan tanpa henti, satu-satu peristiwa tiba gilirannya, dan aku menjadi saksi.

1 Disember lalu pak ngah atau Hj. Mokhtar Abdul Rahman telah kembali ke rahmatullah. Pos aku yang sebelum ini aku menyatakan kesedihan aku pemergian ramai insan-insan berharga di sekelilingku sebelum sempat aku menebus kekuranganku.

Kadangkala, apabila mindaku terkenangkan kampung dan keluargaku, antara perkara yang sangat mencetuskan rasa ralat dalam mindaku ialah betapa aku telah menyia-nyiakan sebahagian peluang pada masa lampauku. Sebahagiannya ialah aku telah mengabaikan peluang hidup bersama warga emas yang penuh pengalaman.

Dahulu aku tidak nampak semua ini. Setelah melalui perjalanan yang mendidik, aku mula nampak satu-persatu kekuranganku. Namun aku sedang terkurung di bumi ini. Tanpa dapat membetulkannya.

Samudera kini menjadi sempadan.

Banyak mutiara pengalaman yang ingin kukutip kini, tapi peluangnya hanya kupunya dahulu. Kini, berendam dalam kolam keinginan, aku hanya dapat melihat dari jauh di daratan sana, mereka gugur satu-persatu dari pohon kehidupan, jatuh ke bumi dan menjadi sebahagian daripada tanah.

Aku harap masih ada sisa untukku. Sebelum aku atau mereka kembali.

Advertisements