Pura-pura

Manusia terbina berdasarkan apa-apa yang difikirkan oleh dirinya tentang dirinya. Kesimpulan yang dapat aku buat akhir-akhir ini apabila aku melalui suatu saat yang tidak diketahui oleh sesiapa kecuali Allah.

Secara jujur dan terus-terang, selama ini dalam banyak hal aku lebih banyak berpura-pura demi menjaga hati manusia lain. Aku menzahirkan yang lain daripada yang terkandung dalam isi hati aku.

Aku buat demi menjaga hati orang lain, demi menjaga keadaan sekeliling. Niat yang baik sebenarnya tidak sempurna tanpa dilengkapkan dengan perbuatan yang betul.

Aku memahamkan diriku bahawa kadangkala kita kena berpura-pura demi kelancaran kehidupan ini. Agar tiada berlakunya konflik antara manusia dan alam sekitar.

Malang sekali, teori ini tidaklah boleh diaplikasikan seluruhnya dalam semua perkara. Teori adalah teori. Boleh untuk kita idealistik dalam beridea, namun hakikatnya dalam pelaksanaan kita harus lebih realistik sebenarnya.

Konflik yang lebih bahaya tercetus akibat sikap kepura-puraan ini. Apabila kita menafikan konflik luaran dengan memendamkan konflik itu di dalam, hal ini menyebabkan jiwa lebih menderita terutamanya terhadap insan seperti aku ini.

Pergolakan itu membarah dan merosakkan diri serta akal menyebabkan tercetusnya sesuatu yang tidak masuk akal.

Seorang kawanku pernah menyatakan, kenapa perlu hipokrit? ‘Be yourself’. Lalu aku menyatakan bahawa aku tidak bersetuju dengannya. Aku berpendapat bahawa perlunya untuk kita hipokrit dan tidak perlu untuk kita menzahirkan kejahatan kita.

Perlindungan daripada Allah terhadap kita daripada dibongkarkan kejahatan yang kita lakukan itu adalah suatu kurnia yang harus kita hargai. Kita harus mensyukurinya dengan segera bertaubat sebelum disingkapkan Allah tabirnya.

Bukan bermakna sekarang aku sudah mengubah pendirianku bahawa benar pendapat kawanku itu. Tidak sama sekali.

Pura-pura dan hipokrit ialah dua perkara yang berbeza.

Kita kalau nak hipokrit, silakan; tapi janganlah berpura-pura.

Advertisements