Surat kepada adik

Emel aku kepada adik aku. Dia jatuh semangat kerana dia merasakan dia tidak mampu untuk mengikuti pengajian di matrikulasi dan dia mengambil keputusan untuk berhenti. Aku rakamkan di blog ini emel ini sebagai kenangan motivasi buatku dan pembaca.

Assalamualaikum.

Perkara pertama yang harus ditetapkan ialah niat dan matlamat yang ingin dicapai dalam hidup kita yang singkat ini.

Masalah kamu ini, orang dah jumpa ramai dah. Orang di dalam lingkungan manusia yang kebanyakannya masalahnya macam kamu.

Ada yang buat keputusan yang betul dan ada yang buat keputusan yang silap. Keputusan betul atau silap bukan dalam kekuasaan kita. Allah yang menentukan.

Firman Allah SWT: “…Tetapi boleh jadi kamu tidak menyenangi sesuatu, padahal itu baik bagimu, dan boleh jadi kamu menyukai sesuatu, padahal itu tidak baik bagimu. Allah mengetahui sedang kamu tidak mengetahui.” Al-Baqarah: 217

Pada pandangan orang, kamu masih berada di peringkat awal. Ketakutan yang kamu hadapi ialah tanda-tanda bahawa kamu tidak yakin dan tidak berani untuk mencuba. Kamu juga takut untuk menghadapi kegagalan dan sedang berputus asa.

Memang setiap daripada kita punya minat masing-masing. Namun begitu, tidak semua perkara dalam hidup ini mampu kita capai. Dugaan dan rintangan, kesusahan dan kepayahan, itu semua lumrah hidup.

Segala yang kamu hadapi ini, kamu harus anggapnya sebagai rencah kehidupan. Positif dalam mendepaninya akan membantu kamu menghadapinya dengan tenang.

Kalau kamu buat keputusan untuk keluar matriks, barangkali itu yang terbaik. Tetapi, cuba bayangkan kalau kamu tak boleh juga bawa di UiTM nanti, adakah kamu nak melakukan perkara yang sama, berhenti dan masuk kursus lain?

Perkara ini umpama kitaran yang akan berulang-ulang. Perjalanan yang ditempuhi harus ditamatkan. Kita nilai dan muhasabah semula perjalanan yang dilalui, periksa mana-mana kesilapan untuk dibetulkan.

Apakah kegagalan pada fahaman kamu? Adakah gagal peperiksaan itu kegagalan? Bukankah anggapan gagal peperiksaan itu adalah suatu persepsi yang dicipta manusia?

Bagaimana kalau kita cipta persepsi sendiri? Kegagalan itu ialah tangga kejayaan. Orang suka kenangkan kisah Thomas Edison yang gagal banyak kali dalam usahanya mencipta mentol.

Dia ada sebut “Many of life’s failures are people who did not realize how close they were to success when they gave up”.

Maksudnya, “Kebanyakan kegagalan dalam kehidupan ini ialah apabila seseorang itu tidak menyedari betapa hampirnya dia kepada kejayaan ketika dia berputus asa”.

Bilakah kejayaannya? Kita tidak tahu. Kita kena berani untuk menghadapi berjuta-juta kegagalan dalam hidup untuk memperoleh satu kejayaan.

Adakah kamu punya impian? Adakah kehidupan kamu sekarang tidak menuju kepada impian?

Orang pun punya impian. Kehidupan orang sekarang sangat jauh daripada impian itu. Namun, orang tanam dalam diri, orang harus capai impian itu. Bagaimana?

Orang anggap kehidupan orang sekarang ini bagaikan penjara. Impian orang berada di luar penjara. Perlukah orang lari dari penjara ini? Atau duduk di penjara sampai habis tempoh?

Orang ambil keputusan untuk terus duduk di penjara ini sampai habis tempohnya. Cuma, berbaloikah untuk orang merintih, meratap dan mengeluh apabila berada di dalam penjara ini?

Tidak. Orang harus menikmati kehidupan di dalam penjara ini. Enjoy. Memanfaatkan kehidupan di sini. Menyediakan diri untuk mencapai impian. Apabila sampai masanya, orang akan mengejar impian orang.

Segala yang kita lalui sekarang, akan jadi sejarah pada masa hadapan nanti. Semuanya akan dikenang semula sebagai suatu pengalaman yang berharga. Hiasi kehidupan kini untuk mencipta kenangan yang indah nanti.

Cadangan orang, kamu tetap di matriks, sampai tempohnya dengan usaha yang tanpa jemu dan sentiasa positif. Hayati kehidupan kini, apabila tamat matriks, dengan apa-apa pun keputusan, teruskan kehidupan untuk mengejar impian dan kejayaan.

Advertisements

Penghujung sebuah kehidupan

Hari ini sudah hari yang ke-28 dalam bulan Ramadan. Kalau Aidilfitri ditakdirkan pada lusa, hal ini bermaksud tinggal sehari lagi Ramadan untuk kali ini. Hari-hari di penghujung Ramadan.

Pada malam 27 yang lalu, masjid-masjid dipenuhi dengan jemaah yang mengidamkan Lailatul Qadr. Idaman berdasarkan perspektif masing-masing. Penuh sehingga subuh, kebanyakan mereka tidak tidur dan beribadat sampai ke pagi hari.

Malam semalam, masjid sudah tidak penuh seperti malam itu. Tinggal separuh sahaja daripada bilangan jemaah yang masih setia tunduk dan rukuk menyembahkan diri kepada Tuhan. Barangkali yang sebahagian itu mengimani bahawa Lailatul Qadr adalah pada malam ke-27.

Perjalanan masih belum berakhir. Selagi hayat belum tamat, usaha harus diteruskan. Tazkirah ustaz Haidar Mahmud pagi tadi sangat sesuai dengan suasana ini. Beliau memetik sebuah hadis Rasulullah SAW yang berbunyi:

“Jika akan berlaku kiamat dan pada tangan seseorang kamu itu ada anak benih, jika dia mampu untuk menanamnya sebelum berlaku kiamat itu, maka tanamlah.”

Selagi peluang masih ada untuk beramal, selagi itu kita harus rebut. Kita tidak tahu amal manakah yang akan diterima Allah SWT.

Pagi ini, air mata menitis dan mengalir di wajah seorang sahabat yang ikhlas. Sahabat yang merindukan sebuah perubahan. Barangkali perubahan itu sukar, tetapi jiwanya merinduinya.

Beliau mendambakan anugerah itu daripada Allah. Beliau mendambakan penutup yang baik untuk kehidupannya. Beliau meyakini bahawa Allah akan mengurniakannya penghujung yang indah, penghujung yang membawanya ke syurga.

Beliau meminta untuk bersama-sama suasana yang baik. Aku berasa sangat bersalah, kerana sebelum ini aku tidak memandang serius permintaan itu. Siapakah aku untuk memandang rendah kepada sebuah harapan, walaupun zahirnya harapan itu seperti kabur?

Penghujung yang membawa ke syurga. Ramadan masih berbaki. Hidup masih juga berbaki dengan penuh misteri. Dunia masih berputar. Mentari masih bersinar. Semuanya menuju ke penghujungnya.

Bilakah penghujungku? Bagaimanakah penghujungku?

Selagi nafas mampu ku hirup, aku masih berpeluang untuk menyemai biji benih itu, sehingga penghujung itu menemuiku…

Modal daripada Allah

Sekarang aku berada di akhir tahun lima. Tinggal beberapa bulan lagi aku akan memasuki tahun enam kuliah perubatan ini.

Sudah enam tahun berlalu kehidupanku di bumi anbiya ini. Kemajuan yang ku alami hanyalah sedikit pergerakannya. Perubahan yang berlaku pada diriku hanyalah kecil.

Berkenalan dengan saudara Taufik  sebentar tadi di masjid Sobahi. Suami kepada rakan sekelasku. Beliau berasal daripada Kelantan, sedang menduduki tahun pertama ijazah sarjana muda perbankan islam di UIA. Umurnya sebaya denganku.

Beliau datang ke Mesir untuk bercuti selama tiga bulan. Aku kebetulan berpeluang untuk mengenalinya apabila aku ingin ke rak belakang masjid untuk mengambil Al-Quran. Beliau sedang berborak dengan seorang pelajar junior di situ.

Aku mendengar pengalamannya selama tiga bulan di sini. Bagiku, pengalamannya itu lebih baik daripada kehidupanku selama enam tahun di sini.

Berkat usaha gigihnya, beliau sudah boleh memahami Al-Quran dengan baik. Beliau sudah boleh membaca Bahasa Arab dan bertutur dengannya. Padahal, sebelum itu dia bermula dengan ‘zero’. Hal yang dilakukannya itu sangat mengagumkanku.

Beliau telah memanfaatkan tiga bulan keberadaannya di sini. Aku rasa kerugian apabila mendengar ceritanya. Beliau memang seorang pemuda yang istimewa.

Masa itu modal daripada Allah. Kita manfaatkannya, kita yang untung. Kita sia-siakannya, kita yang rugi. Orang lain tak rugi apa-apa, apatah lagi Allah Yang Maha Kaya.

Kepuasan

Apabila kau berbalah dengan sahabatmu, apakah yang kau dapat jikalau kau menang?

Apabila kau mempamerkan kerja atau amalanmu, dan mengharapkan pujian orang, apakah yang kau dapat jika dipuji?

Apabila kau dengki akan nikmat sahabatmu, apakah yang kau dapat jika nikmat itu hilang?

Apabila kau tidak senang dengan kelebihan sahabatmu, apakah yang kau dapat jika kau yang lebih?

Kepuasan?

Apakah kepuasan itu? Dari manakah asalnya?

Veni Vidi Vici

Akhir-akhir ini, suasana di dalam jiwaku berlaku sedikit perubahan yang ketara. Perubahan yang tidak diketahui kecuali oleh tubuh ini dan Pemilik hati ini.

Ada virus yang secara senyap-senyap mula menjajah ruang hati ini. Menghuni dan memusnah.

Memusnahkan akhlak, amal dan ukhwah.

Falsampah

Lautan Sampah

Sampah masih terbiar di hadapan pintu jiran sebelah. Di tingkat bawah, bahagian dalam pintu pagar pun sampah masih terbiar. Bau busuk menusuk hidung, dan jiwa. Sampah lama semakin berlendir dan ada kesan-kesan lendiran meleleh keluar daripada bungkusan mengotorkan permukaan lantai.

Sampah ialah antara subjek yang menjadi pilihanku untuk menjadi bahan renungan dan kajian. Aku akan berusaha untuk mengekstrak falsafah yang terpendam di dalam sampah-sampah yang semakin bertimbun di seluruh pelusuk dunia.

Tindakan pertamaku ialah aku harus menjadi penyingkir sampah. Namun, ke mana harus ku singkirkan sampah-sampah itu? Ke mana-mana pun ku singkirkan, aku sebenarnya masih mengotorkan dunia ini.

Dunia ini tempat sampah rupa-rupanya…

Tahniah

Dalam blog ini, aku jarang sebut nama kawan-kawan aku. Aku nak sebut nama seseorang hari ini.

Mohd Akhimullah Bin Mohd Yusuf, beliau akan bernikah pada awal bulan 10 ini. Sesuatu yang seperti aku sudah jangka, waktu berlangsungnya dan dengan siapa.

Intuisi berdasarkan perilaku peribadi. Hasil persahabatan selama beberapa bulan duduk serumah dengan beliau. Banyak perubahan yang berlaku dalam hidup aku semenjak menjalin persahabatan dengan beliau.

Kegembiraanku apabila mendengar pengumuman beliau tidak seperti kegembiraan lain. Sayang aku tidak dapat memenuhi kegembiraan ini dengan menghadiri majlisnya.

Aku rakamkan di sini, ucapan terima kasih sebab sudi menjadi sahabat kepada ‘ana’ selama beberapa bulan ini. Moga ikatan yang dibina bakal menjana pembentukan generasi harapan agama ini.

Aku, masih tetap dengan pemikiran songsangku. 🙂

Previous Older Entries