Tempang

Pada suatu tahap yang engkau sampai, usrah tidak akan mampu memenuhi kehendak rohanimu. Bukan kerana ketempangan usrah itu, tetapi kerana ketempangan dirimu sendiri dalam menghadapi dunia.

Rohanimu harus lebih kembara. Engkau harus lebih menunjukkan kebersamaan terhadap rohanimu. Kerana masulmu tidak mampu melangkaui had-had dunia dalam penyempurnaan kebersamaan.

Masulmu manusia biasa, tidak seperti rasul yang maksum. Dia sekadar seorang manusia yang mewarisi tugas-tugas rasul dengan penuh kekurangan sebagai seorang manusia. Dia tidak punya mukjizat untuk merentasi batasan kemampuan seorang manusia.

Masing-masing punya komitmen. Bukan usrah itu tempang. Bukan. Dunia ini yang terhad sebenarnya dalam keterbatasan masa. Menyebabkan manusia sendiri tempang.

Engkau manusia, masulmu manusia, anak buahmu juga manusia. Kafilah ini himpunan segala manusia. Himpunan segala ketempangan.

Rohanimu harus kembara sendiri. Kesempurnaan rohanimu, umpama tongkat yang menyangga ketempangan ini…

Advertisements

Kritis 2

Tabiat suka mempertikai dan mengkritik yang mula mewabak di dalam diri, semakin nyata kesan buruknya. Kesan yang tidak baik dan barangkali boleh menyakitkan jiwa dan hati nurani insan lain.

Kalaupun aku memendamkan kritikan itu, geloranya akan menggoncangkan jiwa sehingga jadi resah dan tidak tenteram.

Yang ku nampak, jika seseorang itu punya sesuatu yang hendak dikritik, keadaan keyakinan dirinya adalah tinggi jika dia mampu meluahkannya. Apabila diluahkan, akan tertanam suatu kepuasan dalam dirinya.

Kepuasan ini akan menyebabkan dia semakin berani. Keberanian ini akan menyebabkan diri berasa kuat dan mampu, pendapatnya yang dirasakan benar ingin sentiasa diluah dan dipertahankan.

Dia menang, dan kemudian dia akan mengkritik. Dia menang lagi, dan dia kritik lagi. Sehingga keangkuhan bertapak kukuh di dataran jiwanya.

Keangkuhan semakin terbina tinggi. Semakin meninggi dan melangit..

Lalu, diri menjelma menjadi seorang yang angkuh dan takbur, dengan keyakinan dan pendapat sendiri…

Kritis

Akhir-akhir ini, ada satu tabiat yang aku tak tahu baik atau tidak, bercambah dengan suburnya dalam diri aku. Tabiat suka mengkritik dan mempertikaikan segala sesuatu.

Sama ada aku akan lahirkan kritikan itu atau tidak. Kalau aku tidak nyatakan, kritikan itu tetap akan aktif berputaran di dalam akalku.

Segala perkara dan semua benda aku akan pertikaikan. Sehingga sampai satu tahap, aku mempertikaikan diriku sendiri.

“Kenapa aku suka mempertikai dan mengkritik?”

Hidup dalam kafilah

Walaupun aku sudah berpendirian, walaupun aku sudah punya tempat untuk berdiri, aku masih kerdil di permukaan dunia ini.

Tidak bermakna, apabila aku sudah berjalan bersama-sama kafilah ini, kepastian bagi nasibku di akhirat nanti ialah syurga.

Di dalam kafilah ini, lebih banyak pergelutannya. Apatah lagi di luarnya..

Apabila aku menghirup udara ruang kafilah ini, aku tidak menjelma menjadi seorang rasul yang maksum. Segala udara yang ku hirup ini semuanya akan disoal ke mana hasilnya…

Kafilah ini bukan agama, aku sebagai manusia yang kerdil, dengan rendah diri, masih merangkak menuju Ilahi…

Kafilah ini sedang merangkak menuju Ilahi…

Pimpinlah aku

Masa ini masa genting. Aku curi untuk memahat kata-kata kenangan.

Syukur yang paling tinggi ku sembahkan buat Allah, atas mengizinkan aku meredah segala kepastian yang Kau ciptakan untukku. Ku pohon agar segala kemungkinan yang bakal tiba, Kau pastikan segalanya menjadi kebaikan buatku.

Dalam aku menapakkan kaki meredah perjalanan yang dibentangkan untukku, Kau pimpinkanlah intuisiku untuk memilih jalan yang baik. Jalan yang apabila aku sampai ke penghujung usiaku, aku berada di destinasi syurga-Mu.

Jauhkanlah aku daripada tergelincir. Aku tak mahu terjelepuk dan tersungkur ke dalam neraka-Mu kerana tersadung duri-duri noda. Kau bantulah aku dalam mendepani helah dan tipu daya syaitan dan nafsu.

Pimpinlah aku dalam perjalanan ini…

Ya Allah…