Cukuplah

I

Perilakuku akhir-akhir ini meresahkan segelintir manusia. Hanya segelintir dan yang sedikit ini pun sudah cukup untuk membuatkan aku berasa kewujudanku di atas dunia dihargai.

Perilakuku ini menyebabkan pelbagai persoalan dalam fikiran segelintir manusia. Mereka pelik dan risau akan keadaanku serta khuatir akan hal aku. Aku bersyukur kepada Allah SWT kerana menganugerahkanku mereka.

Perilakuku tidak meresahkan sebahagian besar manusia. Mereka tidak tahu menahu akan hal aku dan mereka tidak terfikirkan aku pun. Aku bukan hendak menyalahkan mereka, kerana hal itu ialah hak mereka. Juga, aku pun sering begitu, tergolong dalam golongan majoriti ini.

II

Kenapa mereka resah? Aku terfikir, tentang segelintir manusia ini. Siapakah aku yang perlu membuatkan mereka resah? Bukankah mereka punya kehidupan sendiri yang perlu lebih dirisaukan?

Begitulah sifat manusia yang mulia. Saat mereka menghadapi kehidupan di atas muka bumi ini, dengan pelbagai cabaran dan rintangan mendepani diri, mereka sanggup mengabaikan sedikit masa yang berharga untuk diri mereka dengan memikirkan sebentar akan hal insan lain.

Ya Allah, Engkau rahmatilah mereka yang mulia ini…

III

Tidak perlu resah wahai sahabatku…

Tidak perlu zahirkan keresahanmu…

Ya, barangkali kau ikhlas…

Cukuplah kau dekatkan dirimu kepada Allah SWT agar doa-doamu layak untuk dikabulkan…

Kemudian doakan petunjuk buatku…

Advertisements

Tahniah buat syaitan!

Aku ingin tegaskan di sini, walaupun aku beberapa kali telah cuba memujuk hati. Beberapa kali.

Aku masih tidak suka akan perjalanan hidupku yang diperdaya oleh sistem ini. Arah hidupku yang dilorongkan ke sebuah cita-cita idaman manusia lain, tetapi bukan aku.

Semua manusia mengidami cita-cita ini. Kebanyakan manusia. Mereka ingin sangat menjadinya, mereka ingin sangat anak mereka menjadinya. Tidak aku…

Sehingga kini, pemberontakan jiwaku masih berlangsung. Aku tidak tahu sampai bila. Aku tidak tahu…

Adakah sampai aku menjadi doktor nanti? Adakah?

Doktor bukan kerjaya idamanku, bukan.. Malang sekali bagiku, aku telah diikat dengan sebuah perjanjian. Perjanjian yang mengikat leherku, leher ibu bapaku dan leher para penjaminku…

Aku telah diikat dengan janji yang aku terpaksa tunaikan. Aku kena tunaikan janjiku..

Dan dalam keterpaksaan ini, aku masih memungkirinya.. Esok aku akan menghadapi peperiksaan dan aku memilih jalan yang memungkiri janji serta tidak diingini oleh semua orang.

Tahniah syaitan! Tahniah kerana engkau berjaya mengelirukan keutamaanku!

Akulah pemuda kecelaruan identiti (ketawa)…

(Kedengaran syaitan turut ketawa berdekah-dekah)

Prinsip yang meluntur

I

Sebelum ini aku pernah terlepas kata kepada seorang ikhwah, aku tidak pasti sama ada ikhwah itu masih menyimpan perasaannya terhadap kata-kataku itu. Aku anggap bahawa kata-kataku itu agak kasar tetapi bagiku, tetap benar.

Ketika itu aku sedang marah kerana satu hal yang dilakukan oleh ikhwah juga. Aku sangat marah ketika itu sehingga aku lupa diri dan melenting. Aku agak menyesal terhadap tindakanku itu. Bukannya aku tidak pernah bersalah, malah aku paling banyak bersalah terhadap ikhwah. Namun, ego dan emosi yang menguasai diri menyebabkan aku terlampau mengikut perasaan.

Namun begitu, ketika aku sedang melenting itu, aku masih yakin bahawa kata-kata yang ku lontarkan itu masih benar.

“Kadang-kadang orang yang tidak ikut tarbiah lebih berprinsip daripada orang yang ikut tarbiah!” kata-kata yang ku lontarkan ini benar, tetapi pada orang yang salah. Aku yakin beliau ialah seorang yang berprinsip.

II

Hal ini terus bermain di dalam fikiranku. Pertama, sesalanku atas kesilapanku dalam melontarkan kata-kata. Kedua, kata-kataku itu menghantuiku sehingga hari ini dan membentuk persepsiku yang tersendiri dalam menilai manusia. Sifatku yang suka mengkritik sama ada secara zahir dan batin menyebabkan hal ini menjadi semakin kritikal.

Tadi, apabila aku telefon emak, kami ada bersembang tentang beberapa hal. Antaranya ialah kisah tentang manusia yang melupakan jasa manusia lain. Kadangkala, manusia itu bukannya lupa pun, tetapi dia mengabaikan. Aku sendiri tidak pasti hal ini dilakukan dengan sengaja atau tidak.

Ada seorang cikgu di pekan tempat tinggalku iaitu Parit, beliau pernah mengajarku. Beliau ialah seorang yang kuat berpegang pada ajaran agama dan aktif berpolitik. Beliau aktif menggerakkan parti Islam di kawasanku. Perjuangan beliau menyebabkan beliau ditukarkan ke tempat lain yang lebih pedalaman. Tetapi beliau tidak pergi.

Beliau tidak menurut arahan pertukaran itu dan tidak lagi menjadi cikgu. Beliau ingin terus menetap di kawasan itu. Kemudian, beliau jatuh sakit. Beliau terlantar di rumah dan sepanjang terlantarnya itu tiada dikunjungi atau diziarahi oleh teman seperjuangannya. Hal ini diperhatikan oleh ayahku.

Ayahku sendiri ada pergi menziarahinya. Menurut ayahku, cikguku itu seperti makan hati dengan sikap teman seperjuangannya itu. Akhirnya beliau dilanda kemurungan dan terus duduk berkurung di rumah. Beliau tidak lagi keluar dari rumah untuk berjumpa manusia.

Akhir-akhir ini menurut emak, beliau sudah semakin pulih daripada penyakitnya itu. Beliau sudah mula keluar untuk berjumpa dengan manusia.

III

Emakku menceritakan kekecewaan ayahku dengan sikap segolongan manusia di pekanku itu. Ayahku di pekan tersebut punya ramai kenalan. Beliau sering dikunjungi oleh orang untuk meminta pelbagai pertolongan dan biasanya ayahku akan membantu.

Kelebihan ayahku ialah walaupun beliau tidak mempunyai pelajaran tinggi, tetapi pemikirannya dan pengetahuannya tentang kehidupan melampaui mereka. Hal ini pada beliau sangat ku kagumi. Beliau juga aktif dalam menyokong pergerakan parti Islam di kawasannya.

Menurut emakku, ayahku merungut. Dia merungut akan sikap sesetengah penggerak parti itu yang muncul hanya apabila pilihan raya semakin hampir. Mereka akan meminta tolong daripada ayahku ketika itu dan apabila habis pilihan raya, semuanya lesap.

Ayahku sekadar melahirkan kekecewaannya. Dia sebagai orang biasa, kecewa apabila melihat orang yang lebih berilmu daripada beliau bersikap seperti ini. Aku mendengar kisah emak ini dan berfikir sendiri. Aku anggap, kisah-kisah ini semuanya sebagai kes-kes terpencil.

Aku bukan hendak memburuk-burukkan parti Islam itu. Hal ini kebetulan berlaku dalam lingkungan itu kerana kehidupan watak-watak tadi berlegar di situ. Masalahnya ialah pada manusianya, bukan parti itu.

IV

Adik aku yang sedang menuntut di sebuah matrikulasi sering mengadu pelbagai masalah kepadaku. Dia sendiri sedang sakit dan ada kawannya yang juga sedang sakit.

“Tidak mengadu pada warden?” tanyaku.

“Warden tak layan,” jawabnya. Aku terkejut. Kenapa boleh begini? Menurut adikku, warden anggap mereka mengada-ngada dan selagi tidak berlaku kecemasan, dia tidak ingin bertindak. Sedangkan, pada pengetahuanku mereka mengidap penyakit kronik yang memerlukan pemeriksaan segera.

Aku tak tahu, ke mana hilangnya sensitiviti kemanusiaan mereka. Rasa-rasanya wardennya itu seorang lepasan universiti. Apakah apabila pelajar-pelajar di bawah jagaannya sudah mati baru dia nak bertindak?

Adakah dia belajar tinggi-tinggi untuk berfikiran secetek itu?

V

Adakah manusia luntur prinsipnya kerana kepentingan diri? Atau kerana sudah berdepan dengan ramai manusia menyebabkan dia menjadi mual terhadap gelagat manusia lain? Lalu dia senantiasa prejudis dan mengabaikan?

Aku masih belum terjun ke alam sebenar. Aku masih berada di dalam lingkungan idealisme. Aku masih diperbudakkan idealistik. Dunia realitinya aku belum alami.

Aku sendiri tidak pasti adakah prinsipku sendiri akan dilunturkan oleh sikap manusia dan godaan dunia apabila aku bergelumang dengan hakikat kedua-duanya nanti.

Aku hanya mampu berdoa…

Terima kasih, sahabat yang soleh!

Rabu, 12 Oktober 2011

Apabila aku tiba di ruang bacaan utama di Perpustakaan Awam Mesir, Mansurah, aku lihat Ayman sudah sampai lebih awal daripada aku. Dia sedang duduk di meja bahagian tengah pada kedudukan yang paling hampir dengan tingkap. Permandangan menerusi tingkap ini sangat indah dan menenangkan kerana perpustakaan ini berdiri betul-betul di tebing sungai Nil.

Sebaik sahaja dia ternampak aku telah sampai ke perpustakaan ini, dia terus bangun dan menuju kepadaku. Kami saling melagakan kedua belah pipi sambil mengucapkan selamat dan bertanyakan khabar masing-masing. Ayman hari ini berbaju merah dan ada sehelai serban putih bercorak titik-titik hitam terlilit di lehernya.

Dia dengan wajah ceria menyatakan kepadaku satu berita tentang tawanan Palestin yang bakal dibebaskan semalam hasil rundingan antara Hamas dan Israel. Dia mengkhabarkan berita ini dengan penuh kegembiraan.

Aku cuba menyambut berita ini dengan wajah yang juga ceria dan mengucapkan syukur. Aku sendiri sebenarnya apabila terdengarkan berita itu, bukanlah kegembiraan yang pertama sekali memekari jiwaku. Namun, bukan hal ini bermaksud aku tidak gembira dengan berita ini.

Perkara pertama yang menyelubungiku apabila Ayman mengkhabarkan berita ini kepadaku ialah kesedihan. Aku sedih akan diriku sendiri, kerana begitu lama aku mengabaikan hal ehwal saudaraku di Palestin. Aku terlalu sibuk dengan duniaku, sehingga aku lupa, sehingga aku leka.

Terima kasih, Ayman! Terima kasih, sahabat yang soleh!

Mishaal: The deal stipulates release of 1027 Palestinian captives

DAMASCUS, (PIC)– Head of the Hamas political bureau, Khaled Mishaal, revealed that the prisoner exchange deal reached between Hamas and the Israeli occupation through German and Egyptian mediation, stipulates the release of 1027 Palestinian captives in exchange for Israeli captive Gilad Shalit.

In a televised speech on Tuesday evening Mishaal said: “The exchange deal will be in two stages; the first stage will see 450 captives released within a week, the second stage will see the release of 550 after two months of the first stage.”

He also said that all 27 female captives will be released and the first stage will include 315 captives serving life sentences.

He added that his movement was keen on including captives who entered prison at various stages of the Palestinian struggle from various factions as well as captives from various areas; Jerusalem, 1948-occupied Palestine, the Golan and the diaspora, pointing out this was an expression of the unity of the Palestinian people everywhere.

Mishaal described the deal as a “national achievement,” adding “To my brothers in the PA and Palestinian factions inside and outside Palestine I say this achievement belongs to all of us. We are proud of it and prepare for further achievements. Let us join hands and plan for more achievements for our national project until we liberate out Palestine and establish our state.”

He promised that his movement will spare no efforts to get the rest of the Palestinian captives released.

He praised the Qassam Brigades and other Palestinian factions who participated in capturing the occupation soldier Gilad Shalit to exchange him for Palestinian captives.

Sumber: http://www.palestine-info.co.uk/en/default.aspx

Penghujung ini ialah permulaan

Aku berminat untuk membuat siri-siri catatanku sepanjang tempohku di penghujung pengajianku di Mesir ini. Barangkali aku seperti sudah merancang bila aku akan kembali ke Malaysia, ataupun seperti aku tahu masa depanku, kononnya.

Bagaimana aku boleh tahu yang aku sedang berada pada tempoh penghujung pengajian kerana masa depan masih misteri buat kita? Hanya Allah yang mengetahui apa-apa yang akan berlaku nanti.

Manusia hanya mampu merancang. Segala penentuan ialah hak Allah SWT. Penulisan atau catatan ini ialah sebahagian daripada perancanganku. Kita nantikan sahaja apakah ketentuan Allah SWT yang akan mencorakkan catatanku nanti.

Aku sudah menggenapkan tempoh enam tahun berada di Mesir. Banyak sesalan yang ku kumpul dan ku telan, kecewanya ku pendam sendiri dan ku pasrah hanya kepada Yang Esa.

Setahun lebih yang berbaki ini adalah penentu. Penentu yang bakal terjana hasil daya yang terpendam selama enam tahun.

Aku hanya mampu berdoa kepada Allah SWT agar membantu aku dalam memanfaatkan tempoh ini. Kembaraku yang di hujung-hujung ini ialah permulaan sebuah kembara.

Kasturi

Malam ini, aku memperolehi beberapa kata-kata hikmah yang sangat berguna untuk peringatan dan panduan buat diri pada masa depan.

Pada mulanya aku terbaca status di permukaan dinding Facebook seorang penulis tersohor di Malaysia iaitu Puan Aminah Binti Mokhtar (Kak Min). Status beliau berbunyi:

“Rasa takut itu negatif, saya cajkan positif menjadikan rasa takut itu pendorong yang kuat untuk berkarya. Takut tidak punya kesempatan aset paling berharga untuk membekalkan tenaga penggerak. Takut tak diberi umur, segerakan solat, takut tak cukup masa, saya aturkan jadual berkarya, takut karya tak diterima, saya bersungguh-sungguh hasilkan karya yang membina minda, takut tak ada duit, saya berusaha mencari rezeki. Sebenarnya ketika kita takutkan sesuatu, sesuatu itu memberikan kita keberanian yang luar biasa. Oleh itu, kenapa takut untuk takut?”

Saya petik status beliau dan kongsikan di dinding Facebook saya. Saya tulis: “Saya takut tak lulus exam”.

Beliau menulis status baru, saya agak sebagai respons kepada kenyataan saya di atas:

“Takut tak lulus exam? Jangan berani buang masa. Jangan berani belajar tanpa sistem. Jangan berani tinggalkan solat dan abaikan doa. Jangan berani ingkar cakap ibu bapa, guru-guru dan mentor-mentor yang banyak mendorong. Hadapilah exam dengan berani kalau betul-betul takut kecundang. Selamat berjuang dengan senjata takut dan perisai berani. INSYAALLAH, ALLAH akan hadiahkan kejayaan.”

Saya sangat berterima kasih atas hikmah yang dikongsikan oleh beliau. Dalam ruangan komennya, beliau turut berpesan:

“Kita adalah apa yang kita fikir. Menjadi orang biasa itu biasa. Menjadi biasa, kita tidak ada apa-apa dan untuk menjadi apa-apa kita kena berfikir bagaimana mahu menjadi insan luar biasa. ALLAH melihat bagaimana kita berusaha melakukan sesuatu perkara, bukan keputusan dari apa yang kita lakukan, kerana keputusan itu ALLAH yang menilai. Kerja kita, bekerja kerana ALLAH. Insya ALLAH, ALLAH akan menilai usaha kita.”

Sebelum itu, beliau turut menyeimbangkan sifat keberanian dengan kata-kata berikut:

“Tidak semestinya berani itu positif kalau tanpa sedar kita bekalkan keberanian itu dengan atom-atom negatif. Berani membuang masa, kita siapkan diri masuk neraka. Berani melakukan kesalahan, kita hadiahkan diri kerugian. Berani jadi manusia pemalas, kita mencari beban untuk digalas. Sebenarnya ketika kita berani melakukan sesuatu yang negatif, sesuatu yang negatif itu menakutkan kehidupan kita. Oleh itu, berhati-hatilah menjadi berani.”

Benarlah sabda Rasulullah SAW dalam hadis riwayat Bukhari:

“Diumpamakan rakan yang soleh dan rakan yang jahat ialah seperti (berkawan) dengan penjual minyak wangi dan tukang besi. Penjual minyak wangi tidak akan mensia-siakan anda, sama ada anda membelinya atau hanya mendapat bau harumannya. Tukang besi pula boleh menyebabkan rumah anda atau baju anda terbakar, atau mendapat bau busuk.”

Terima kasih Kak Min atas kasturinya!

(Walaupun sudah membeli dua buah novel beliau – Merdekakan Cinta dan Seteguh Firah Saleha – tetapi masih tidak berpeluang untuk membacanya kerana kedua-dua novel itu berada di tanah air)

Balasan

Kadang-kadang engkau ada rasa geram dan bengang. Tidak puas hati dengan perlakuan manusia lain ke atas diri, sama ada sengaja ataupun tidak.

Engkau ingin memuaskan hatimu, dengan membalas kembali perlakuan itu. Apa-apa cara digunakan untuk memenuhi hasrat ini.

Asalkan, dia sakit jiwanya atau raganya. Pembalasan itu, tanpa engkau sedar, kadang-kadang melampaui daripada had yang sepatutnya.

Engkau telah zalim – walaupun pada asalnya dirimu inginkan keadilan – disebabkan berlebihan dalam kadar pembalasan.

Bukankah lebih baik kalau engkau melakukan sebaliknya? Engkau memasukkan kegembiraan dan ketenangan ke dalam dirimu dan diri manusia lain dengan cara tidak membalas keburukan dengan keburukan, malah menganugerahkan kebaikan.

Manusia akan lebih menyayangimu. Allah SWT juga akan paling menyayangimu…