Ziarah barakah

Jumaat, 11 November 2011

Saif Jamaluddin telah turun ke bumi Mansurah ini mencemar duli selama dua malam dua hari. Tiada kalimah yang mampu ku ungkapkan sebagai penghargaan buat beliau atas kesudian membawa hati ke teratak peraduanku yang sepi ini.

Hati beliau yang bermusafir ke desa ini sedikit-sebanyak membasahkan kekeringan jiwaku yang sekian lama terasing daripada dunia tarbiah berkelompok kerana keterikatanku terhadap komitmen duniawi.

Aku sangat berterima kasih kerana beliau sudi menyelami gelora jiwaku dan sahabat-sahabatku di bumi Mansurah ini. Kegusaran ketika melihat taufan yang melanda sebuah bandar tidak cukup tanpa engkau sendiri turun membantu penghuni yang menjadi mangsa itu.

Walaupun kesibukan kerja dalam dakwah menyekat pergerakan jasad dan hati untuk menziarahi ikhwah-ikhwah, kita harus berusaha untuk mencuri masa agar mampu menyempurnakan ziarah ikhwah. Tanpa ziarah, hati akan terpisah. Maka, jangan disalahkan pada ikhwah, kalau ada yang mufaraqah. Tiliklah diri sendiri kalau-kalau ada salah.

Tidak cukup kalau sekadar bertanya khabar melalui orang tengah. Tanyalah secara terus, kerana begitu lebih indah.

Kunjungan Saif telah menarik semula hatiku kepada rasa keterikatan dan tanggungjawab kepada dakwah. Setelah lama aku berenggang daripada biah, yang menyebabkan aku lalai terhadap tanggungjawab dakwah, sembang-sembang dengan beliau telah menyedarkan aku tentang beberapa perkara:

1. Tiada jalan pintas dalam tarbiah. Hal ini mengenangkan nasib aku dan kawan-kawanku yang menerima tarbiah ekspres sehingga jelas kesannya kepada pergerakan kami dalam kafilah ini.

2. Tekanan dan beban yang dihadapi oleh ikhwah, dan masalah-masalah yang berkaitan dengan dakwah menyebabkan aku rasa bersalah kerana melepaskan diri daripada beberapa tanggungjawab.

3. Aku tahu, dan Allah Maha Tahu bahawa aku memang orang yang paling tidak layak untuk berada di dalam kafilah yang suci ini. Aku ini hanya mengotorkan perjalanan ini. Hakikat yang harus aku telan, dakwah ini tidak memerlukan aku. Berlambak-lambak manusia lain yang lebih layak kalau aku tak mahu terlibat dengan dakwah ini.

4. Namun begitu, aku juga harus akui, bahawa aku sendiri yang memerlukan dakwah ini untuk hidup bahagia dunia dan akhirat. Dakwah ini umpama nyawa buatku, kerana tanpanya aku ialah seorang yang mati.

5. Siapa lagi yang harus memikul tanggungjawab agama ini, kalau bukan aku? Mungkin bukan semua tanggungjawab, bahkan sebahagian yang aku mampu. Kesedaran aku terhadap tanggungjawab yang berat ini harus menolak diri agar melangkaui batasan normal seorang manusia yang tiada agenda, cita-cita dan matlamat. Juga memanfaatkan setiap masa yang berjalan.

6. Sekian lama aku ditarbiah, kini tiba masanya untuk aku menyempurnakan objektif utama yang ingin dicapai oleh tarbiah ini iaitu hijrah dan jihad.

Aku ingin mengucapkan terima kasih sekali lagi kepada Saif Jamaluddin kerana telah mengembalikan hati ini yang tersasar seketika kepada jalan kesedaran. Anda punya ciri murabbi sejati… Semoga Allah merahmatimu dunia akhirat…

Advertisements

Suatu ikatan

Aku dan generasi seangkatan denganku ialah generasi pertama selepas generasi Melayu terakhir di Mansurah ini tamat pengajian dalam bidang perubatan pada tahun 1995. Ketika aku pada awal zaman pengajianku di sini, aku dan kawan-kawanku sangat teruja ingin menjejaki generasi itu.

Kami senantiasa berusaha menjejaki sehinggalah pada suatu hari aku berjaya mendapat emel salah seorang daripada mereka iaitu Doktor Faiz Jamli. Kebetulan beliau ialah abang kepada kakak ipar kawan serumahku, Ikram.

Aku menghubungi beliau dengan menggunakan Yahoo Messenger. Kami berbual dan banyak nasihat-nasihat yang ku peroleh daripada beliau. Beliau ketika itu sudah menjadi seorang pakar sakit puan di Hospital Kuala Pilah.

Menurut beliau, kawan seangkatannya ketika pengajian dahulu, satu-satunya di Mansurah, ialah Doktor Hatta Termizi. Beliau turut telah menjadi seorang pakar sakit puan di Sabah.

Aku turut berusaha untuk menjejaki Doktor Hatta, namun tidak berjaya. Sehinggalah pada suatu hari, ketika aku kembali ke Malaysia pada waktu evakuasi revolusi Februari 2011. Aku menghadiri sebuah program anjuran I-Medik pada 6 Mac 2011.

Allah SWT mengizinkan aku bertemu dengan beliau. Walaupun aku yang introvert ini tidak banyak bersembang, pertemuan singkat cukup mengesani jiwaku dan memberi banyak pengajaran buatku.

Beliau menyatakan hasrat beliau untuk kembali ke Mansurah. Hari ini (10/11/2011), hasrat beliau terkabul. Sepanjang kunjungan beliau aku tidak pun mendekatinya kerana segan dan beliau yang julung-julung kali berkunjung ke Mesir itu sentiasa pula dikerumuni dan ingin didekati ramai bagaikan selebriti.

Hanya apabila doktor segera menamatkan sesi beliau pada sebuah program bersama pelajar-pelajar Mansurah kerana mengejar jadual penerbangan kembali ke Malaysia, aku segera mengambil peluang untuk mendekati beliau.

Tiada patah kata yang lahir daripada mulutku. Sekadar senyuman dan pelukan, tanda ukhwah satu ikatan. Aku mengambil peluang bergambar dengan beliau sebagai kenangan.

Dr Hatta dan Dr Faiz punya kisah tersendiri dalam hidup mereka, yang menarik perhatianku. Kisah dari Mesir sehingga ke Malaysia. Kisah yang boleh ku simpulkan sebagai sebuah perpisahan yang rohaninya masih berhubungan kerana diikat ukhwah. Kisah yang boleh dicatatkan sebagai sebahagian daripada sejarah dakwah. Kisah yang perlu dibongkarkan pengajarannya. Kisah yang mungkin menjadi panduan buat aku dan generasiku andai berulang lagi sejarahnya.

Kini, Dr Faiz bergiat dengan ISMA Negeri Sembilan dan Dr Hatta pula aktif dengan ISMA Sabah.

Kenapa aku mencatatkan hal ini? Hal ini kerana aku sendiri telah lama mencita-citakan saat ini. Walaupun mungkin tiada interaksi secara langsung antara kami, namun ikatan ini telah lama aku bina dalam diri aku.

Hasrat ini telah lama aku tanam. Tambahan pula sejarah kehidupan kami di Mansurah, Mesir dan Malaysia bersambung secara rohani atas jalan ini. Umpama Imam Al-Banna dan Syed Qutb yang tidak pernah bertemu, namun mereka berjalan di atas sejarah perjalanan yang sama dan saling bersambungan.

Aku mengharapkan saat ini menjadi satu daripada episod yang bakal disambungkan oleh inspirasi dan aspirasi yang telah ditanam oleh mereka. Aku mengharapkan akan ada lagi peluang buatku untuk menimba pengalaman daripada mereka pada masa hadapan sebagai bekal baktiku buat bangsa dan agama.

Mudah-mudahan aku masih berpeluang bertemu dengan mereka (Dr. Faiz dan Dr. Hatta: Ex-Mansoura) lagi di dunia ini sebelum kami kembali ke dunia sana.

Ikatan ini akan terus bersambung, kerana ukhwah dan keikhlasan, di atas jalan dakwah. Ikatan yang membina ketetapan dan ketabahan di atas jalan ini…