Merentas revolusi (II)

Setelah rakyat Mesir murka, awal tahun lalu, sehingga khuatir kecamuk merebak dan mencarikkan keselamatan anak-anak Malaysia di sini; kami dipaksa oleh ibu bapa yang mempunyai anak-anak manja supaya dibawa balik oleh kerajaan.

Kerajaan angguk. Kami pun dibawa pulang dengan tanpa bayaran. Ditanggung makan dan minum. Ditumpangkan oleh kerajaan Saudi di Jeddah, di perkampungan jemaah haji dan umrah. Tuala diberi, berus gigi dikasi, ubat gigi pun tak perlu beli.

Makanan dan minuman sangat mewah. Kenyang lalu asyik tidur sahaja kami di perkampungan itu. Ramai insan berhati mulia, yang ingin menambah pahala, menyumbang pelbagai benda (makanan, air zamzam, dll) buat kami para ‘pelarian’ mewah ini.

Lebih seminggu aku di perkampungan itu menanti giliran untuk diterbangkan ke tanah air. Pelbagai aktiviti yang dilakukan oleh para ‘pelarian’ untuk mengisi masa lapang.

Kalau yang baik-baik dan ada tarbiah, mereka merancang program bermanfaat, bergaul sesama sendiri untuk mengukuhkan ukhwah, saling berkenalan dengan ‘pelarian’ lain, dan menambah amal-amal ibadat.

Kalau yang lalai-lalai dan tiada agenda, mereka berentap permainan komputer, menonton drama dan filem di laptop yang telah dimuat turun ketika di bumi Anbia sebelum huru-hara berlaku, bersembang kosong, melepak di merata-rata, tidur sepanjang masa dan sebagainya.

Aku ialah golongan pertengahan, antara baik dan lalai.

Lalu pada 11 Febuari 2011 (sama tarikh dengan Revolusi Iran oleh Ayatollah Ali Khomenei pada 1979), Hosni Mubarak mengumumkan pengundurannya. Gusar, kerana aku mengharapkan peristiwa ini berlaku lebih lama. Kenapa cepat sangat dia mengalah?

Ketika itu, kami menonton berita pada skrin besar dipasangkan di tengah-tengah dataran di perkampungan haji itu. Aku tidak gembira dengan pengumuman itu kerana risau kami akan dihantar balik ke Mesir semula.

Lebih separuh yang bersama-sama menjadi pelarian sudah pun sampai ke Malaysia. Aku khuatir kalau-kalau aku dan mereka yang masih di sini terlepas peluang keemasan balik percuma ke tanah air.

Mujurlah itu tidak berlaku. Kami tetap semuanya dihantar pulang. Aku mendapat tiket penerbangan MAS yang merupakan penerbangan kedua terahir dari Jeddah. Kami disambut meriah oleh pemimpin dan pegawai kerajaan. Turut bersama-sama menyambut kami ialah Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama Islam) Datuk Seri Jamil Khir Baharom.

Layanan sangat istimewa dan mewah diberikan kepada kami sepanjang proses pemindahan. Bagi aku semua layanan itu tidak layak pun untuk kami, bukan kerana perbezaan fahaman politik, tetapi kerana kami bukan golongan yang mensyukuri nikmat. Rata-ratanya, bukan semua.

Mensyukuri nikmat bukan bermaksud menyokong kerajaan. Mensyukuri nikmat adalah dengan menjadi Muslim yang berguna untuk umat. Menjadi manusia yang tidak banyak merungut dan meminta, tetapi lebih banyak membina, membantu dan memberi.

Begitulah sebahagian kenanganku pada tahun lalu.

Advertisements

Merentas revolusi (I)

Revolusi Januari lalu semakin menuju ke setahunnya yang genap. Khabar-khabar yang ku dengar, rakyat Mesir akan berhimpun lagi ramai-ramai di Medan Tahrir pada 25 Januari ini, mengenangi kejayaan mereka mencantas satu tiang (Mubarak) daripada rejim diktator yang telah diasaskan sejak monarki di Mesir ini tumbang.

Rakyat negara ini yakin, bangunan rejim itu sudah goyah, dan runtuh. Rejim kini berhati-hati untuk menajamkan kembali kuku besi mereka. Meskipun aku lihat, kelibat cengkaman iras-iras rejim dahulu masih ada walaupun lemah.

Pilihan raya telah berlangsung dengan meriah. Kumpulan Islam dilihat mendominasi kepercayaan rakyat. Keputusan yang menakutkan rejim dan sekutu.

Rakyat negara yang berkehendakkan perubahan. Mereka ingin sistem diubah, walaupun masih lagi berahi untuk berurinasi di permukaan dinding.

Aku memerhatikan sahaja perubahan. Musim yang berlari, masa yang pergi, usia yang berbaki, aku hanya perhati.

Kerana aku masih umpama rakyat yang bercita-cita mega tetapi masih mencurah urin di kaki lima.

Prolog Musafir

Ramai orang yang menemui desanya yang hakiki setelah bermusafir panjang. Musafir yang pelbagai caranya, jaraknya dan destinasi. Musafir yang diiringi doa yang dijanjikan kemustajabannya.

Aku sengaja keluar daripada desa ilusi dengan menggerakkan akalku bersama-sama anggota tubuhku meneroka alam. Memerhati dan berjumpa dengan manusia di luar wilayah rutinku, untuk menyelami diriku sendiri.

Aku bermusafir dengan menemui manusia-manusia dan menziarahi tempat-tempat istimewa. Menggali pengalaman baru yang mencipta idea dan pemikiran yang baru. Hasrat yang ingin ku capai dengan musafir ini.

Jiwa yang semakin ingin menjauhi kebaikan harus mencari sebuah getaran baru untuk dibetulkan semula hala tujunya. Barangkali jiwa tidak sesuai dengan frekuensi A, maka tidak sepatutnya dibiarkan terus dengan frekuensi A jika hal ini menyebabkan gelinciran.

Aku harus segera mencari frekuensi kebaikan lain untuk menyelamatkan diriku.

Kenangan yang tidak akan ku lupakan. Aku akan catatkan sedikit sebanyak pengalamanku pada masa depan jika ada kesempatan.

7 Januari: Muzium Kesenian Islam & Masjid Ibn Tulun

8 Januari: Ziarah Saif J dan ustaz Shuhaib, Muzium Gayer Anderson

9 Januari: Medan Tahrir, Synagogue Ben Ezra, Nilometer, Masjid Amr ibn Al-As, Masjid Muhammad As-Saghir (Ibn Abu Bakar As-Siddiq)