Pada 24062012 di Mesir

Asalnya, aku bercadang hendak menulis tentang perkara lain.

Namun, perasaan gembira atas kemenangan Dr. Mohammed Morsi, calon presiden yang diajukan oleh Ikhwanul Muslimin mengatasi perasaanku untuk menulis tentang perkara itu.

Aku ingin merakamkan kenangan ini. Aku ingin memahatnya di permukaan kenangan.

Semalam, telah diumumkan kemenangan beliau. Kemenangan yang diiringi doa masyarakat dunia. Kemenangan yang diraikan seluruh pencinta Islam. Kemenangan yang dicita-citakan, dan diidam-idamkan.

Semalam, beliau telah memberi ucapan sulungnya. Di hadapan rakyat dengan isi ucapan iras-iras ucapan pemerintah Islam pada zaman kegemilangan. Ucapan yang aku yakin lahir daripada janin takwa, hasil penyemaian benih tauhid.

Moga terus menjadi anak yang soleh dan berbakti buat rakyat.

Walaupun, secara peribadi, aku berpendapat kemenangan Dr. Morsi bukanlah kemenangan Islam. Bagi aku, kemenangan Dr. Morsi ialah kemenangan calon Islam yang dipilih oleh rakyat yang letih dengan kezaliman dan kebobrokan pemimpin lalu.

Kemenangan calon Islam, akan membawa kepada kemenangan Islam. Kalau qudwah yang baik ditunjukkan oleh beliau, dan qudwah itu menawan hati rakyat.

Sebuah misi yang harus ditampung oleh semua penggerak dakwah Islam di seluruh dunia. Saling bantu-membantu; bukan sekadar gembira dan membiarkan beliau seorang di atas sana; bukan sekadar seronok dan mengucapkan tahniah tanpa apa-apa sumbangan.

Banyak peranan yang perlu kita mainkan. Banyak hal yang harus kita sempurnakan, untuk melengkapkan kekosongan misi ini.

Allah musta’an.

Advertisements

Aku seekor semut

Sebagai seekor semut yang merayap di permukaan tanah muka bumi yang luasnya sebahagian daripada keluasan infiniti misteri alam ciptaan Allah SWT, badai dan kemarau yang melanda lautan kehidupan, harus digenggam dengan telapak reda.

Sebagai seekor semut, tiada apa-apa yang harus ku lakukan melainkan bekerja, keluar meneroka alam, mengumpul bekal makanan untuk menghadapi perubahan alam raya.

Sebagai seekor semut, aku sepatutnya menyediakan tempat untuk generasiku bekerja lagi pada masa hadapan menghadapi cuaca alam, meneruskan kehidupan selagi dunia masih mengizinkan penghuninya menumpang cahaya, selagi dunia belum mahu menyisihkan kami.

Takdir

Perasaan yang melimpahi ruang rasa seharusnya diteliti isi kandungannya. Kebiasaannya kita akan menanggapinya sebagai butir-butir hakikat, sedangkan daya intelektual sebenarnya sedang sesak nafas, menuju kematian; lemas dalam banjir kepalsuan.

Kita telah mencela takdir dengan menggubah sejambak alasan. Terlampau membiarkan akal dihanyutkan arus limpahan banjir, lalu dihanyutkan menuju muara kemusnahan.

Kau telah dicampakkan Allah SWT ke bumi, bolehkah kau membantahnya?

Kau telah dicampakkan Allah SWT ke wilayah ini, boleh kau membantah?

Teliti ruang rasamu, bina saliran, alirkan kepalsuan keluar. Agar lebih mudah untuk kau menghirup udara-Nya, untuk merentas dunia-Nya.