Kebenaran yang pahit

I

Aku terkenang pada suatu peristiwa ketika aku menghadiri Mukhayyam Al-Usari Al-Maqdisi di Ismailiyya anjuran pergerakan HAMAS. Program ini pada siangnya merupakan pembentangan atau wacana ilmiah, manakala pada malamnya terdapat aktiviti pentas yang berupa hiburan santai seperti kuiz dan sketsa.

Seingat aku, pada malam yang kedua terakhir, ada beberapa orang pemuda naik ke pentas dan mempersembahkan kisah lawak jenaka. Para penonton ketawa terbahak-bahak apabila mendengar kisah-kisah yang diceritakan oleh pemuda itu. Aku sendiri akan ketawa kalau ada kisah yang boleh difahami.

Sampai kepada sebuah kisah jenaka, yang kandungannya ada melibatkan penggunaan ayat Al-Quran, penonton terus ketawa terbahak-bahak kerana geli hati. Pemuda itu tersenyum lebar kegembiraan kerana berjaya menyebabkan para penonton ketawa berdekah-dekah. Dia begitu bersemangat meneruskan kisahnya.

Tiba-tiba kedengaran salah seorang penonton yang melaungkan sesuatu dengan kuat, “Ittaqillah! Ittaqillah!”

Para penonton lain terdiam. Pemuda di atas pentas itu kehilangan senyuman daripada wajahnya dengan  sekelip mata. Penonton itu menasihatkan agar dihentikan lawak jenaka yang menggunakan ayat Al-Quran kerana menurutnya pemuda itu telah mempermain-mainkan Al-Quran.

Wajah pemuda itu muram. Penonton saling berbisik-bisik. Pengerusi majlis dengan segera mempersilakan pemuda itu untuk mengambil tempat di kerusi penonton. Pemuda itu sempat memohon maaf sebelum turun dari pentas.

Selepas itu majlis kembali seperti biasa. Aura ceria menghangatkan semula suasana. Persembahan diteruskan dan para penonton terus terhibur. Ketika itu aku mencari-cari di manakah pemuda tadi. Aku menoleh ke kiri dan kanan, lantas aku ternampak dia sedang duduk di kerusi belakang sekali dengan wajah yang sangat muram.

Ketika aku memandang wajahnya, matanya turut bertemu mataku. Aku terus menoleh ke hadapan kerana serba-salah. Baru aku teringat, dia ialah pemuda yang duduk di sebelahku pada malam sebelumnya dan telah menghulurkan sebiji gula-gula kepadaku.

II

Beberapa hari lalu, telah dianjurkan sebuah majlis sambutan Aidiladha di Universiti Mansurah, tempat aku belajar. Majlis itu telah dianjurkan agensi GMN, UMNO, dan turut tertera pada kain rentangnya kerjasama organisasi lain seperti kerajaan Negeri Perak, PDRM dan sebagainya.

Penganjuran majlis itu sangat cemerlang dari segi sambutan dan pengurusan. Majlis itu juga sangat meriah dengan kehadiran ramai pelajar-pelajar dan persembahan yang menghiburkan. Aku tidak duduk di majlis itu sehingga habis, aku pulang selepas tamat persembahan sketsa.

Aku tidak tahu apakah yang berlaku selepas itu. Apabila aku melihat gambar majlis itu, terdapat persembahan dikir barat oleh pelajar perempuan. Sebelum itu, ketika persembahan sketsa turut melibatkan lakonan pelajar perempuan dan lelaki berpakaian perempuan. Tempat duduk antara lelaki dan perempuan diasingkan dengan baik, namun terdapat beberapa individu yang tidak mengasingkan diri mereka daripada campur gaul yang tidak perlu. Di samping itu dari sudut pengurusan juga terdapat sedikit percampuran yang tidak wajar dan sepatutnya boleh diasingkan.

Perkara itu tidak mustahil kerana ISMA, organisasi yang aku sertai turut menganjurkan program yang melibatkan lelaki dan perempuan, tetapi mereka berjaya menjaga interaksi atau hal-hal yang harus dibataskan dalam pergaulan lelaki dan perempuan. Kalau berlaku juga, mereka yang terlibat akan diberi peringatan yang tegas.

Selepas program itu, ada juga beberapa orang sahabat aku membangkitkan atau membincangkan situasi majlis itu dari sudut kacamata seorang muslim yang taat. Adakah segala unsur yang berkisar sepanjang majlis itu patuh syariat? Pesan aku, jikalau ingin menegur atau mempertikaikan unsur-unsur di dalam majlis itu yang tidak patuh syariat, harus objektif. Spesifikkan perkara yang tidak patuh dan penjelasan serta cadangan.

Cuma, tujuan aku menulis panjang-panjang dalam catatan kali ini bukan untuk menjelaskan sudut itu. Aku hanya ingin menasihatkan kepada penganjur majlis itu yang kebanyakannya ialah kawan-kawan aku sendiri agar melakukan penilaian semula dan beristighfar jika ada hal yang melampaui batas serta berusaha untuk tidak mengulanginya pada masa hadapan.

III

Tujuan aku yang sebenar adalah untuk membandingkan dua majlis di atas dan mengadaptasikannya ke dalam akalku tentang perananku sebagai seorang pendakwah. Majlis pertama (anjuran HAMAS) keseluruhannya patuh syariat. Hanya terdapat satu peristiwa iaitu seorang pemuda tersilap kerana menggunakan ayat Al-Quran dalam lawak jenakanya. Salah seorang penonton dengan beraninya menegur kesilapan itu dan menasihatinya.

Jiwa seorang pendakwah mengalir sebati dalam diri penonton itu. Dia tidak boleh melihat sesiapa melampaui batas yang telah Allah tetapkan lantas dia segera menegurnya. Tegurannya itu telah menyelamatkan pemuda itu daripada terus terlanjur dan memberi kesedaran kepada para penonton. Meskipun kata-kata yang benar itu pahit, kepahitan itu sebenarnya ubat yang mujarab.

Namun, kaedah atau cara teguran itu boleh diperincikan dan dibincangkan dengan teliti agar sesuai dan kena pada tempatnya. Yang utama, penonton itu telah menjalankan peranannya sebagai muslim.

Ironinya, pada ketika majlis Aidiladha itu, aku turut menjadi penonton sekali lagi. Kali ini sekadar seorang penonton, menonton batas syariah dilangkahi dengan penuh meriah. Darah pendakwah dalam diri aku seakan-akan telah kering menyebabkan hatiku menjadi kecil. Aku menjadi seorang pengecut yang sekadar menelan air liur yang pahit.

Advertisements

Logamaya

Semalam, aku telah menghadiri sebuah majlis jamuan Aidiladha anjuran UMNO di universiti. Jumlah hadirin sangat ramai ketika itu dan aku agak mencecah 500 orang semuanya. Kehadiranku di majlis itu telah menyebabkan rasa rendah diri (inferior) bercambah aktif dalam dada.

Kewujudanku di majlis itu bagaikan tidak wujud. Hanya dalam kalangan segolongan masyarakat yang kecil. Capaianku tidak seluas yang sepatutnya.

Selama ini aku bagaikan tertipu dengan lingkungan masyarakat yang aku hidup. Maksudku, lingkungan masyarakat di sekelilingku menyebabkan aku tidak menyedari hakikat keluasan dunia ini untuk disebarkan kebaikan.

Ramainya makhluk Allah SWT yang bernama manusia yang pelbagai jenis dan perangai, sejauh mana sampai mesej mulia yang ingin harus disampaikan kepada mereka. Aktivitiku selama ini bagaikan seekor ayam yang berkokok di dalam reban sendiri.

Namun begitu, pemikiran positif dan perancangan yang teliti akan mengubah hakikat ini. Kedua-dua perkara ini akan menyebabkan persepsi terhadap situasi ini berubah.

Hal ini berlaku pada awal-awal fasa dakwah yang dilaksanakan oleh Rasulullah SAW ketika di Mekah dahulu. Begitu juga seperti yang berlaku ketika Hassan Al-Banna mula berdakwah di Mesir dahulu. Begitu juga dengan peristiwa-peristiwa awal dakwah yang lain.

Keyakinan dengan kemuliaan dakwah, hanya itu motivasi hakiki yang menanam keyakinan untuk berdepan dengan manusia yang pelbagai.

Gaya hidup

Semasa kecil, ketika kawan-kawan mempunyai sesuatu barang yang baharu, khususnya permainan seperti guli, kad permainan bergambar, yo-yo, kereta kawalan jauh, koleksi pemadam pensel yang mempunyai pelbagai gambar yang menarik di permukaannya, permainan elektronik digimon atau cyberpet, beg sekolah beroda dan banyak lagi, kita akan teruja untuk turut sama memilikinya.

Apabila usia sedikit meningkat, skala kos barang yang dimiliki oleh kawan-kawan itu juga semakin bertambah walaupun dalam keadaan sumber wang yang terhad. Contohnya ‘walkman’, pemain MP3, cakera keras mudah alih, telefon bimbit yang sentiasa berevolusi kepada model yang semakin canggih dan tuntas, komputer riba yang telah menjelma kepada rekaan yang semakin ringkas seperti ipad dan tablet, kamera digital/dslr, dan sebagainya.

Kita mencemburui mereka yang memilikinya. Kalau mampu kita ingin membelinya walaupun terpaksa mengorbankan wang simpanan/biasiswa/pinjaman. Kalau tidak mampu, terpaksa menebalkan muka meminjam daripada kawan-kawan untuk turut sama menikmati pengalaman kegembiraan yang nuansanya sentiasa bertukar pada setiap zaman.

Masing-masing sendiri boleh fikir, apakah yang berlaku apabila kawan-kawan yang hampir dengan kita sudah memiliki anak/isteri/bakal isteri?

Aku sendiri, semenjak kecil hanya terdaya untuk cemburu, dan tidak terlarat memiliki semua itu seperti kawan-kawanku, kerana aku tidak mampu. Bolehkah aku meminjamnya daripada mereka?

(Ketawa kecil)