Suratan (4)

4. Pertemuan di Kuala Lumpur (1)

Bagi menyertai satu bengkel yang dianjurkan oleh syarikat stesen televisyen terbesar (ketika ini) di Malaysia, aku telah merancang untuk tidur di rumah Akmal Afiq, sahabat lama ketika aku menuntut di sekolah Izzuddin Shah dahulu. Kini dia sudah berkerjaya stabil sebagai seorang peguam, ke arah membina kestabilan baru berkeluarga pula.

Aku menumpang tidur di rumahnya yang terletak di Sentul, sambil-sambil mengambil peluang untuk menziarahi dan bertemu dengannya. Sudah lama juga kami tidak bersua muka, sebelum ini kami ada berjumpa ketika dia masih menuntut di UIA. Ketika itu, aku mengambil peluang untuk menziarahinya di asrama kampus selepas menghadiri satu program yang dianjurkan oleh i-Medik.

Sebelum pertemuan itu pula kali terakhir kami bertemu ialah pada ketika aku akan berlepas ke Mesir. Aku sempat bermalam di rumah tukwannya yang terletak di Selama, Perak. Kali ini, aku bermalam di rumahnya di Sentul selama dua malam. Rumahnya memang terletak berhampiran dengan stesen LRT Sentul. Kalau berjalan kaki, hanya selama lebih kurang 10 minit. Kebanyakan penghuni di kawasan itu yang tidak mempunyai kenderaan sendiri akan menggunakan sepenuhnya perkhidmatan pengangkutan awam ini.

Sentul, atau secara umumnya Kuala Lumpur satu destinasi yang memberi dimensi baru kepada pandangan dan pemikiran. Aku belum berpeluang untuk meneroka kehidupan di sini, tetapi dalam setiap kali kunjungan singkat aku memperoleh banyak pengajaran yang membina persepsi baru terhadap cara aku memandang kehidupan ini.

Kawasan rumah Akmal ini majoritinya rumah bertingkat atau flat yang menggunakan lif. Tingkatnya yang tinggi-tinggi membolehkan sebuah kawasan yang kecil menampung bilangan penduduk yang ramai. Kawasan bandar Kuala Lumpur sarat dengan manusia sehinggakan ruang untuk tidur tidak mencukupi, terpaksa membina rumah yang berlapis-lapis bagi memanfaatkan ruang udara yang kosong setelah kehabisan tanah.

Manusia kini tidak lagi tidur di atas bumi sahaja, manusia semakin ramai tidur di udara.

Advertisements

Suratan (3)

3. Pertemuan di Mydin Meru Raya

Sementara menunggu siapnya dokumen-dokumen yang diperlukan untuk aku mendaftarkan diri sebagai seorang doktor kerajaan, aku cuba mengisi masaku dengan mencuba kerjaya sebagai seorang juruwang di Pasar Raya Besar Mydin. Pasar raya ini terletak tidak jauh daripada rumah kediamanku di Halaman Meru Permai.

Sepanjang berkerja di sini, banyak perkara baru yang aku peroleh, sama ada dari sudut pengalaman sebagai juruwang sendiri, pengalaman mengenali pelbagai manusia yang tampil sebagai pelanggan, pengalaman sebagai pekerja bawahan yang harus menurut perintah pekerja atasan, dan yang paling berkaitan dengan penulisanku ini ialah pengalaman pertemuan dengan ramai kenalan baru dan lama di sini.

Apabila aku berkerja sebagai juruwang, dalam banyak-banyak kaunter bayaran, suratan telah menetapkan beberapa orang kenalan telah membayar di kaunter aku seperti Saiful Izan (SIS), Junaidi (SIS), Hafizul Ilham (SKIS), Ilya Buang, Cikgu Norazwa (SIS), Khalis Amali (SIS), Cikgu Norhayati (SIS), Ustaz Solehuddin (Tanta-Mesir), Syawal (sepupu) dan ramai lagi yang tidak ku ingat. Majoriti mereka tidak mengenali aku kecuali setelah aku menegur mereka terlebih dahulu. Mungkin tabiat semulajadi pelanggan tidak menghiraukan komunikasi antara juruwang yang menguruskan pembelian mereka lalu wajah mereka tidak diperhatikan. Ataupun jangkaan peribadi yang tidak menjangkakan ada kenalan mereka yang akan berkerja sebagai juruwang.

Tidak dilupakan mereka yang aku tegur ketika aku menjaga kaunter di luar seperti Khairul amiran (SIS), Dzulhelmi (SIS), Ustaz Arif (SIS), abang Fairus (SIS), dan cikgu Anuar Selamat (SKIS).

Mungkin ramai lagi, tetapi aku tidak dapat mengingati semuanya kerana sememangnya hal-hal seperti ini mudah berlaku di tempat seperti pasar raya ini kerana tempat tumpuan manusia membeli belah. Tak mustahil majoriti salah satu kenalanku akan ditemui di sini dan kebarangkalian untuk mereka membayar di kaunterku atau bertemu dengan ku di sini sangat besar.

Cuma ada satu pertemuan yang sememangnya mengagumkan aku kerana aku yakin pertemuan ini kebarangkaliannya sangat tipis. Kaunter di Mydin ini ada lebih kurang 50 kaunter (walaupun kadang-kadang tidak semuanya dibuka). Dia telah mebayar di kaunterku dan peristiwa itu boleh dikatakan bukan satu pertemuan jika tidak disuratkan bahawa kami akan bersembang.

“Antara Mydin Manjoi dan Mydin ini mana yang lebih baru? Manjoi kan?” seorang pelanggan lelaki bertanya kepada ku ketika aku sedang sibuk membungkus dan mengendalikan mesin kira-kira.

“Saya pun kurang pasti encik. Saya pun baru je beberapa bulan balik ke sini,” jawab aku.

“Balik dari mana?”

“Saya dulu belajar luar.”

“Di mana?”

“Mesir.”

“Mesir di mana?”

“Mansurah.”

“Oh, anak saya pun ada belajar di sana,” jawapan daripada lelaki didengari oleh aku sebagai anak saudara. Kemudian aku bertanya siapakah anak saudaranya yang belajar di sana.

“Saiful Aqmal,” jawapannya menyebabkan aku tersenyum kegembiraan. Tidak aku menyangka bahawa pelanggan itu ialah bapa saudara kepada Saiful Aqmal yang merupakan juniorku di Sekolah Izzuddin Shah dan di Universiti Mansurah, Mesir. Dia juga antara junior yang aku kenal rapat, sering saling menziarahi dan saling bersembang mesra.

Aku menyedari pelanggan itu sebagai bapa Saiful Aqmal apabila aku mengimbas kad keahliannya dan tertera nama pemiliknya sebagai Saiful Azhar. Hal ini menyebabkan aku berfikir, bukankah Saiful azhar itu nama ayah kepada Saiful Aqmal?

“Encik ini Saiful Azhar, rasanya nama ayah Saiful Aqmal…,”

“Ya, saya ayah dia,” aku ketawa dan menjelaskan sangkaan asalku. Tidak aku sangka yang aku akan bertemu dengan ayah Saiful Aqmal di sini dan dia membayar pula di kaunterku serta secara kebetulan dia bertanya soalan yang membawa kepada kami mengetahui bahawa kami ada perhubungan yang rapat.

Selain itu, tidak dilupakan peristiwa pertemuanku dengan Lutfi, kawanku semenjak SIS sehingga SMAPK, sama seperti Syed Qamarul. Ketika dia baru pulang dari temuduga kerja dan berjalan-jalan di pasar raya ini, dia melalui kaunter elektrik, tempat giliran aku bertugas pada hari itu. Aku seperti mengenali wajahnya apbila dia melilau di hadapan kaunterku melihat-lihat pasar raya ini.

“Lutfi!” aku memanggilnya. Dia menoleh dan terkejut melihatku. Kami berjanji untuk bertemu semula ketika waktu rehat kerjaku dan dia sanggup menunggu. Kami banyak bersembang ketika di kaunter dan ketika makan. Dia ada menceritakan bahawa dia sudah mempunyai perancangan untuk berkahwin dan dia pelik dengan diriku yang masih tidak mempunyai calon isteri ketika itu.

Baru-baru ini dia telah melangsungkan perkahwinan dengan gadis pilihannya. Malangnya, aku tidak dapat menghadiri majlisnya kerana aku terlupa.

Suratan (2)

2. Pertemuan di KLCC

Pertemuan kali ini tidak lama kemudian selepas pertemuan di KL Sentral. Aku harus pergi ke Kedutaan Mesir yang terletak di Jalan Rhu untuk menyelesaikan urusan terjemahan lesen memandu Mesir. Selepas ke sana, dalam perjalanan kembali ke rumah sewa Khairil, tempat aku menumpang untuk bermalam, beliau merupakan salah seorang daripada kenalanku ketika berada di Mesir dahulu, aku singgah sebentar di KLCC untuk menunaikan solat Jumaat.

Dengan menaiki LRT, aku turun di hentian yang terletak betul-betul di hadapan KLCC. Hentian bawah tanah itu terdapat dua pintu masuk atau keluar, salah satu pintunya menghala terus ke dalam KLCC, manakala pintu yang satu lagi menuju ke permukaan yang terletak di luar hadapan bangunan.

Masjid KLCC atau namanya seingat aku Masjid As-Syakirin terletak kira-kira lebih 50 meter daripada KLCC apabila berjalan kaki. Kebetulan ketika itu ada sedikit pengubahsuaian yang sedang dilakukan di dataran atau taman yang terletak berhampiran KLCC menyebabkan jalan sebenar menuju ke masjid aku fikir lebih dekat tetapi menjadi lebih jauh sedikit dan mengelirukan bagi sesiapa yang jarang ke sini.

Aku tiba awal juga ke masjid itu, ketika itu Ustaz Haeryanto sedang memberikan kuliah sebelum Jumaat. Walaupun khutbah Jumaat belum bermula, aku lihat jemaah sudah ramai memenuhi ruang masjid. Kebanyakan mereka memberikan tumpuan kepada kuliah yang telah disampaikan oleh ustaz Haeryanto. Kebanyakan jemaah di masjid itu aku agak merupakan pekerja di sekitar kawasan itu.

Setelah menunaikan solat Jumaat, aku terus keluar untuk meneruskan perancanganku. Ketika perjalanan untuk keluar daripada masjid mataku memerhati jemaah-jemaah yang masih duduk bermunajat, ada juga yang menunaikan solat sunat dan ramai yang bergegas keluar dengan tujuan masing-masing.

Mataku terpandang pada seorang lelaki berdada bidang dengan pakaian kemeja kemas seperti kebanyakan jemaah lain sedang menunaikan solat. Wajahnya sangat dikenali dan aku seperti tidak percaya dia yang berada di hadapanku setelah lebih lapan tahun tidak bertemu selepas tamat SPM di SMAPK. Sudahlah semalam aku bertemu Syed Qamarul di KL Sentral, betapa semudah ini aku terlibat dalam suratan ini iaitu diaturkan Tuhan supaya bertemu seorang lagi kenalanku di KLCC.

Aku tidak tahu bagaimana nak gambarkan perasaanku ketika itu kerana ramainya manusia di situ, besarnya bumi Malaysia ini atau khususnya Kuala Lumpur, atau dikhususkan lagi KLCC, atau dikhususkan lagi masjid itu, aku dipertemukan dengan Syahir Fuad yang dulunya di SMAPK aku dan dia berada di bilik asrama yang sama manakala di kelas aku duduk di sebelahnya.

Aku menanti Syahir menyudahkan solat sunatnya lantas aku menegurnya. Dia turut terkejut melihat aku berdiri di hadapannya ketika itu. Kami saling bertanya khabar dan bertukar nombor. Syahir kini ialah seorang geologis bertugas di pejabat yang terletak di KLCC bahagian tingkat atas bangunan itu.

Pada malam itu, dia mengajak aku keluar. Dia membawa aku ke rumah terbuka Syahirah Aimi. Di sana aku bertemu dengan beberapa orang lagi kenalan SMAPK yang lain seperti Khairulfaiz Misran, Hafizah Tohit dan seorang lagi tidak diingati namanya.

Selepas pertemuan itu, aku berjanji dengan Syahir yang aku akan berjumpa dengannya lagi nanti. Aku berjanji akan menghadiri majlis perkahwinannya, tetapi disebabkan aku telah memulakan kerjaya di Mydin dan sukar untuk memperoleh cuti, aku tidak berjaya memenuhi janjiku.

Suratan (1)

Aku pernah berdoa dan berharap kepada Allah SWT agar menzahirkan atau menyingkap tabir keindahan yang mengagumkan di hadapan mata dan hatiku. Keindahan yang menyebakan aku terpana dan tidak henti-henti memujinya sebagai Tuhan Yang Maha Sempurna. Keindahan yang mengukuhkan hubunganku dengan-Nya. Sehingga kini aku belum menemuinya, atau belum dikabulkan hajatku, atau barangkali Allah telah perkenankan tetapi disebabkan tebalnya kerak yang menyelaputi permukaan hati, aku jadi buta.

Cuma, ada peristiwa yang menyebabkan kefahamanku terhadap “perancangan Allah” mengukuh dalam minda. Peristiwa pertemuan-pertemuan yang tidak dijangka, pertemuan yang kadang-kadang dikatakan sebagai kebetulan yang sangat kebetulan di muka bumi Allah yang luas ini. (Catatan – Abdullah Hussain Sasterawan Negara ada menulis siri cerpen Pertemuan)

1. Pertemuan di KL sentral

Setelah aku pulang ke Malaysia, aku harus menyelesaikan beberapa hal yang menyebabkan aku harus ke Kuala Lumpur. Kali ini ialah pemergian ke Kuala Lumpur yang pertama semenjak aku pulang. Rasa terasing di bumi sendiri masih belum luput menyebabkan aku tidak menghubungi sesiapa sebelum aku ke sana. Hal ini menyebabkan aku buntu apabila sampai di KL sentral, di manakah tempat untuk aku bermalam?

Lantaran itu aku mundar-mandir di KL Sentral mencari jalan. Sambil itu aku membuat pengumuman di dalam Facebook tentang keberadaanku di KL Sentral dan aku tiada tempat bermalam. Sedang aku menanti reaksi daripada kawan-kawanku kalau ada sesiapa yang membacanya, seseorang muncul dari hadapan menuju ke arahku.

Suratan, dia ialah Syed Qamarul Bahrin Jamalullail. Rakan sekolahku semenjak di Sekolah Izzuddin Shah sehingga berpindah ke Sekolah Menengah Agama Persekutuan Kajang. Kami tidak bersua sejak tamat SPM 2004. Masing-masing membawa haluan sendiri dan di sini kami dipertemukan Tuhan.

“Aku nampak ko ke sana-sini, macam kenal. Ko apa cerita sekarang?”

Kami bersembang-sembang seperti mana kawan lama bersembang. Aku menceritakan masalahku ketika itu dan dia mengajak ku untuk bermalam di rumahnya tetapi dia akan balik agak lewat kerana dia ada sedikit urusan. Kebetulan, pengumumanku di Facebook telah mendapat beberapa reaksi, ada beberapa orang kawanku yang ikhlas mengajakku untuk bermalam di rumah mereka. Maka, masalahku pun selesai.

Aku mendapat tempat tidur, dan aku memperoleh satu pertemuan.