Catatan awal 2015

Sengaja hendak mencatat sesuatu.

Sekarang adalah musim banjir. Kali ini musibah yang melanda agak teruk, berbanding tahun-tahun lalu. Banyak negeri yang terlibat dan kawasan yang terlibat itu pula mencapai tahap sehingga terputus hubungan dengan kawasan luar, bekalan elektrik dan pelbagai sumber asas seperti makanan.

Kawasan aku di Perak Tengah seperti Parit dan Tanjung Belanja turut terlibat, tetapi tidak sampai tahap terputus hubungan. Paras air yang naik sekadar menyebabkan gangguan terhadap kediaman dan semua mangsa dipindahkan ke tempat perlindungan sementara. Setakat ini sudah lebih 7000 mangsa yang dipindahkan di Perak sahaja.

Aku sebut peristiwa ini kerana aku ada sedikit ralat tidak menyumbangkan walau sedikit bantuan untuk mereka kali ini. Aku hanya bersimpati dan melihat dari jauh. Aku hanya berdoa walaupun aku mampu untuk menyumbang lebih. Aku kali ini lebih menumpukan perhatian terhadap diri aku sendiri.

Aku akan memulakan posting seterusnya sebagai seorang doktor pelatih di jabatan baru esok. Hal ini yang menjadi tumpuan utama fikiran aku kini kerana jabatan yang seterusnya ini boleh dikatakan jabatan yang killer antara semua jabatan. Jabatan perubatan merupakan satu jabatan utama yang sukar tetapi membina seorang doktor pelatih itu untuk menjadi doktor sebenar.

Menjadi doktor sebenar? Heh!

Sebelum ini, semenjak sekolah menengah lagi aku secara terus terang, tak ingin menjadi doktor. Aku terus-terang menyatakan hal ini apabila ditanyakan tentang cita-cita aku. Kecenderunganku ketika itu lebih kepada seni dan sastera. Terutamanya apabila aku telah didorongkan oleh Cikgu Ros ketika itu dalam aktiviti seni sastera dengan menyertakan aku dalam satu pertandingan Kuiz Sastera yang menyebabkan aku memperoleh naib johan peringkat negeri Selangor ketika belajar di SMAPK dahulu. Hadiah yang diperoleh ialah novel Imam tulisan Sasterawan Negara Abdullah Hussain.

Semenjak hari itulah aku semakin meminati seni dan sastera. Aku telah banyak membaca buku-buku sastera untuk menyediakan diri aku bagi pertandingan kuiz itu. Hadiah novel itu juga menyebabkan aku mula meminati SN Abdullah Hussain.

Semalam beliau telah kembali ke rahmatullah. Aku telah melalui zaman peralihan remaja ke dewasa dengan membaca novel-novel beliau. Novel beliau juga banyak mengesani diri aku dan cara aku menulis di dalam blog ini.

Namun, aku hanya boleh mengenang semua itu. Esok aku tetap akan terus memulakan hari di jabatan perubatan. Harap-harap aku mampu bertahan. Harap-harap aku mampu menjadi seorang doktor yang berjasa untuk rakyat dan sastera.

Mudah-mudahan.

Advertisements