Alam mengajar kita

Perkara yang telah kita lalui, dan yang telah kita lihat; itu yang akan membentuk diri dan pemikiran kita. Bernilaikah dunia ini sebenarnya?

(1)

Aku terbaca satu berita, semalam, tentang seorang pelajar sekolah menengah yang telah terlibat dalam satu kemalangan. Pelajar itu sedang membonceng motosikal pulang daripada sekolah. Motosikal itu telah dipandu oleh kakak tirinya.

Malang sekali, sebuah kereta kancil memotong motosikal mereka dan mereka terjatuh apabila kereta itu bergesel dengan motosikal mereka. Pelajar itu terjatuh ke tengah jalan. Kebetulan, ketika itu sebuah lori sedang meluncur laju.

Pelajar itu telah kehilangan kedua-dua belah kaki, digilis oleh lori itu.

(2)

Ketika rotasi pegawai perubatan siswazah di Jabatan Paediatrik, aku telah belajar untuk menyukai kanak-kanak. Sebelum ini, aku sejujurnya tidak gemar akan budak-budak. Kebiasaannya, aku akan tidak menghiraukan kanak-kanak yang berada di sekelilingku. Aku tidak akan mengada-ngada bermain-main dengan mereka kerana aku memang tidak menggemari kanak-kanak. Aku tidak pernah menyentuh anak kawan-kawanku. Apabila pergi meziarahi sesiapa yang baru dianugerahkan cahaya mata, aku pasti akan mengelak daripada mendukung bayi itu.

Di rotasi ini, aku terpaksa menyentuh mereka. Paksaan ini menyebabkan hatiku dilenturkan oleh perasaan untuk menyukai kanak-kanak. Hati kalau dipaksa pasti boleh dilentur, melainkan hati itu degil dan keras disertai pula dengan suntikan syaitan, memang kalau engkau bawa malaikat jibril pun tidak akan mampu dilenturkan.

Yang menginsafkan aku ialah apabila aku melihat wajah sang ibu yang menerima anak yang tidak sihat seperti anak orang lain. Tidak sihat itu pula bukanlah suatu yang dapat sembuh, penyakit yang dialami itu ialah penyakit sepanjang hayat yang tidak boleh diubati. Ibu tidak akan dapat melihat anak mereka membesar seperti anak lain, mereka hanya akan melihat kehidupan anak mereka yang dibataskanĀ oleh penyakit yang dialami. Malah kemungkinan mereka akan melihat pengakhiran hidup anak mereka di hadapan mata mereka ketika hayat mereka.

Apatah lagi, jikalau usia ibu itu telah lanjut. Bertahun-tahun telah mencuba untuk mendapat anak. Sehingga pada usia yang sangat suntuk, setelah berjaya memperoleh anak, anak yang diperoleh bukannya mengubat hati setelah penantian yang lama. Anak yang diperoleh menjadi ujian tambahan, yang menambah kesedihan jiwa, mengukur tingkat keredaan diri.

Hanya mampu pasrah. Anak yang disayangi akan menjadi luka di hati, bukan kerana anak itu melukakan, tetapi kesedihan hati melihat penderitaan anak dan penerimaan takdir yang mengecewakan, itu yang melukakan.

(3)

Kini aku berada di rotasi Jabatan Sakit Puan dan Perbidanan. Pertarungan ibu melahirkan anak merupakan peristiwa harian yang menginsafkan buatku kali ini. Air mata dan tangisan ibu setelah bersabung nyawa merupakan pelembut jiwa.

Walaupun ibu itu sundal, bohsia, dajal, pelacur, doktor, jurutera, kerani, tukang sapu, pandai, bodoh, gila, waras, mereka tetap sanggup menahan kesakitan agar kandungan itu dilahirkan.

Tak tercapai oleh akal. Kesakitan itu bisa membuatkan putus asa. Aku sendiri tak pasti sama ada aku akan sanggup untuk menghadapi kesakitan itu. Aku tak tahu. Tetapi sang ibu sanggup. Agar lahir anak yang dikandung. Mereka tidak putus asa, mereka terus meneran sehingga terkeluar dubur, sehingga tumpah sebahagian darah dari tubuh, sehingga terkoyak dinding faraj, sehingga ada yang mati.

Kemudian, apakah yang bakal dipersembahkan oleh sang anak apabila dia dewasa?

Terus-terang aku bertegas bahawa, wanita merupakan insan yang sangat kuat. Kuat menghadapi kesakitan ketika melahirkan anak, kuat juga menghadapi kesakitan apabila mendepani kederhakaan anak.

Kesimpulan:

Hidup terus berjalan. Kadangkala penuh dengan kesakitan dan kepayahan. Semua itu kadangkala kita rasa sangat besar, sangat menyeksakan.

Hakikatnya, apabila dibandingkan dengan kehidupan orang lain, akan menyebabkan diri berasa betapa beruntungnya kita dan seharusnya kita bersyukur.

Malah, betapa malunya kita melihat insan-insan lain yang sangat kuat, terus menghadapi kehidupan dengan penuh kesakitan tanpa berundur melangkah ke belakang.

Kita sebenarnya mampu untuk pergi jauh. Kita mampu untuk membawa diri kita sejauh-jauhnya. Kadangkala, kita sendiri akan tidak menyangka, bahawa sejauh itu kita mampu.

Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: