Niat

Kini, apabila aku ingin menulis, pasti akan tersekat. Otak sudah tidak mampu berputar seperti dulu. Sebabnya kerana sudah lama tidak diaktifkan.

Seperti badan kita, apabila lama tidak digerakkan, akan jadi lemah. Begitu juga otak.

Pada mulanya aku cuba untuk menulis tentang hari guru. Baru beberapa patah perkataan ditaip, aku padam semula dan terus membatalkan hasrat.

Kemudian, aku terfikir semula. Sampai bila harus begini?

Dan kini, aku masih berhasrat untuk memadam semula tulisan ini…

(Mudah-mudahan ada pos hari guru selepas ini bagi memecahkan kebuntuan fikiran)

Advertisements

Kebenaran yang pahit

I

Aku terkenang pada suatu peristiwa ketika aku menghadiri Mukhayyam Al-Usari Al-Maqdisi di Ismailiyya anjuran pergerakan HAMAS. Program ini pada siangnya merupakan pembentangan atau wacana ilmiah, manakala pada malamnya terdapat aktiviti pentas yang berupa hiburan santai seperti kuiz dan sketsa.

Seingat aku, pada malam yang kedua terakhir, ada beberapa orang pemuda naik ke pentas dan mempersembahkan kisah lawak jenaka. Para penonton ketawa terbahak-bahak apabila mendengar kisah-kisah yang diceritakan oleh pemuda itu. Aku sendiri akan ketawa kalau ada kisah yang boleh difahami.

Sampai kepada sebuah kisah jenaka, yang kandungannya ada melibatkan penggunaan ayat Al-Quran, penonton terus ketawa terbahak-bahak kerana geli hati. Pemuda itu tersenyum lebar kegembiraan kerana berjaya menyebabkan para penonton ketawa berdekah-dekah. Dia begitu bersemangat meneruskan kisahnya.

Tiba-tiba kedengaran salah seorang penonton yang melaungkan sesuatu dengan kuat, “Ittaqillah! Ittaqillah!”

Para penonton lain terdiam. Pemuda di atas pentas itu kehilangan senyuman daripada wajahnya dengan  sekelip mata. Penonton itu menasihatkan agar dihentikan lawak jenaka yang menggunakan ayat Al-Quran kerana menurutnya pemuda itu telah mempermain-mainkan Al-Quran.

Wajah pemuda itu muram. Penonton saling berbisik-bisik. Pengerusi majlis dengan segera mempersilakan pemuda itu untuk mengambil tempat di kerusi penonton. Pemuda itu sempat memohon maaf sebelum turun dari pentas.

Selepas itu majlis kembali seperti biasa. Aura ceria menghangatkan semula suasana. Persembahan diteruskan dan para penonton terus terhibur. Ketika itu aku mencari-cari di manakah pemuda tadi. Aku menoleh ke kiri dan kanan, lantas aku ternampak dia sedang duduk di kerusi belakang sekali dengan wajah yang sangat muram.

Ketika aku memandang wajahnya, matanya turut bertemu mataku. Aku terus menoleh ke hadapan kerana serba-salah. Baru aku teringat, dia ialah pemuda yang duduk di sebelahku pada malam sebelumnya dan telah menghulurkan sebiji gula-gula kepadaku.

II

Beberapa hari lalu, telah dianjurkan sebuah majlis sambutan Aidiladha di Universiti Mansurah, tempat aku belajar. Majlis itu telah dianjurkan agensi GMN, UMNO, dan turut tertera pada kain rentangnya kerjasama organisasi lain seperti kerajaan Negeri Perak, PDRM dan sebagainya.

Penganjuran majlis itu sangat cemerlang dari segi sambutan dan pengurusan. Majlis itu juga sangat meriah dengan kehadiran ramai pelajar-pelajar dan persembahan yang menghiburkan. Aku tidak duduk di majlis itu sehingga habis, aku pulang selepas tamat persembahan sketsa.

Aku tidak tahu apakah yang berlaku selepas itu. Apabila aku melihat gambar majlis itu, terdapat persembahan dikir barat oleh pelajar perempuan. Sebelum itu, ketika persembahan sketsa turut melibatkan lakonan pelajar perempuan dan lelaki berpakaian perempuan. Tempat duduk antara lelaki dan perempuan diasingkan dengan baik, namun terdapat beberapa individu yang tidak mengasingkan diri mereka daripada campur gaul yang tidak perlu. Di samping itu dari sudut pengurusan juga terdapat sedikit percampuran yang tidak wajar dan sepatutnya boleh diasingkan.

Perkara itu tidak mustahil kerana ISMA, organisasi yang aku sertai turut menganjurkan program yang melibatkan lelaki dan perempuan, tetapi mereka berjaya menjaga interaksi atau hal-hal yang harus dibataskan dalam pergaulan lelaki dan perempuan. Kalau berlaku juga, mereka yang terlibat akan diberi peringatan yang tegas.

Selepas program itu, ada juga beberapa orang sahabat aku membangkitkan atau membincangkan situasi majlis itu dari sudut kacamata seorang muslim yang taat. Adakah segala unsur yang berkisar sepanjang majlis itu patuh syariat? Pesan aku, jikalau ingin menegur atau mempertikaikan unsur-unsur di dalam majlis itu yang tidak patuh syariat, harus objektif. Spesifikkan perkara yang tidak patuh dan penjelasan serta cadangan.

Cuma, tujuan aku menulis panjang-panjang dalam catatan kali ini bukan untuk menjelaskan sudut itu. Aku hanya ingin menasihatkan kepada penganjur majlis itu yang kebanyakannya ialah kawan-kawan aku sendiri agar melakukan penilaian semula dan beristighfar jika ada hal yang melampaui batas serta berusaha untuk tidak mengulanginya pada masa hadapan.

III

Tujuan aku yang sebenar adalah untuk membandingkan dua majlis di atas dan mengadaptasikannya ke dalam akalku tentang perananku sebagai seorang pendakwah. Majlis pertama (anjuran HAMAS) keseluruhannya patuh syariat. Hanya terdapat satu peristiwa iaitu seorang pemuda tersilap kerana menggunakan ayat Al-Quran dalam lawak jenakanya. Salah seorang penonton dengan beraninya menegur kesilapan itu dan menasihatinya.

Jiwa seorang pendakwah mengalir sebati dalam diri penonton itu. Dia tidak boleh melihat sesiapa melampaui batas yang telah Allah tetapkan lantas dia segera menegurnya. Tegurannya itu telah menyelamatkan pemuda itu daripada terus terlanjur dan memberi kesedaran kepada para penonton. Meskipun kata-kata yang benar itu pahit, kepahitan itu sebenarnya ubat yang mujarab.

Namun, kaedah atau cara teguran itu boleh diperincikan dan dibincangkan dengan teliti agar sesuai dan kena pada tempatnya. Yang utama, penonton itu telah menjalankan peranannya sebagai muslim.

Ironinya, pada ketika majlis Aidiladha itu, aku turut menjadi penonton sekali lagi. Kali ini sekadar seorang penonton, menonton batas syariah dilangkahi dengan penuh meriah. Darah pendakwah dalam diri aku seakan-akan telah kering menyebabkan hatiku menjadi kecil. Aku menjadi seorang pengecut yang sekadar menelan air liur yang pahit.

Logamaya

Semalam, aku telah menghadiri sebuah majlis jamuan Aidiladha anjuran UMNO di universiti. Jumlah hadirin sangat ramai ketika itu dan aku agak mencecah 500 orang semuanya. Kehadiranku di majlis itu telah menyebabkan rasa rendah diri (inferior) bercambah aktif dalam dada.

Kewujudanku di majlis itu bagaikan tidak wujud. Hanya dalam kalangan segolongan masyarakat yang kecil. Capaianku tidak seluas yang sepatutnya.

Selama ini aku bagaikan tertipu dengan lingkungan masyarakat yang aku hidup. Maksudku, lingkungan masyarakat di sekelilingku menyebabkan aku tidak menyedari hakikat keluasan dunia ini untuk disebarkan kebaikan.

Ramainya makhluk Allah SWT yang bernama manusia yang pelbagai jenis dan perangai, sejauh mana sampai mesej mulia yang ingin harus disampaikan kepada mereka. Aktivitiku selama ini bagaikan seekor ayam yang berkokok di dalam reban sendiri.

Namun begitu, pemikiran positif dan perancangan yang teliti akan mengubah hakikat ini. Kedua-dua perkara ini akan menyebabkan persepsi terhadap situasi ini berubah.

Hal ini berlaku pada awal-awal fasa dakwah yang dilaksanakan oleh Rasulullah SAW ketika di Mekah dahulu. Begitu juga seperti yang berlaku ketika Hassan Al-Banna mula berdakwah di Mesir dahulu. Begitu juga dengan peristiwa-peristiwa awal dakwah yang lain.

Keyakinan dengan kemuliaan dakwah, hanya itu motivasi hakiki yang menanam keyakinan untuk berdepan dengan manusia yang pelbagai.

Gaya hidup

Semasa kecil, ketika kawan-kawan mempunyai sesuatu barang yang baharu, khususnya permainan seperti guli, kad permainan bergambar, yo-yo, kereta kawalan jauh, koleksi pemadam pensel yang mempunyai pelbagai gambar yang menarik di permukaannya, permainan elektronik digimon atau cyberpet, beg sekolah beroda dan banyak lagi, kita akan teruja untuk turut sama memilikinya.

Apabila usia sedikit meningkat, skala kos barang yang dimiliki oleh kawan-kawan itu juga semakin bertambah walaupun dalam keadaan sumber wang yang terhad. Contohnya ‘walkman’, pemain MP3, cakera keras mudah alih, telefon bimbit yang sentiasa berevolusi kepada model yang semakin canggih dan tuntas, komputer riba yang telah menjelma kepada rekaan yang semakin ringkas seperti ipad dan tablet, kamera digital/dslr, dan sebagainya.

Kita mencemburui mereka yang memilikinya. Kalau mampu kita ingin membelinya walaupun terpaksa mengorbankan wang simpanan/biasiswa/pinjaman. Kalau tidak mampu, terpaksa menebalkan muka meminjam daripada kawan-kawan untuk turut sama menikmati pengalaman kegembiraan yang nuansanya sentiasa bertukar pada setiap zaman.

Masing-masing sendiri boleh fikir, apakah yang berlaku apabila kawan-kawan yang hampir dengan kita sudah memiliki anak/isteri/bakal isteri?

Aku sendiri, semenjak kecil hanya terdaya untuk cemburu, dan tidak terlarat memiliki semua itu seperti kawan-kawanku, kerana aku tidak mampu. Bolehkah aku meminjamnya daripada mereka?

(Ketawa kecil)

Satirawan

I

Aku paling tidak gemar gelaran palsu. Gelaran yang diberi kepada seseorang, kononnya untuk mengiktiraf individu yang digelar itu. Padahal gelaran itu tidak benar pun. Sekadar manisan yang disalutkan di bibir, umpama seorang gadis yang menyapu gincu di bibirnya supaya kelihatan cantik. Padahal tidak cantik pun.

Kita lebih kenal diri kita. Kita lebih tahu akan keadaan diri kita. Kita juga tahu betapa penipunya insan yang menggelar diri kita dengan gelaran itu. Kalau pun memang dia tidak tahu, betapa jahilnya dia.

Gelaran yang tidak betul itu menyebabkan kita malu. Malu pada mereka yang tahu. Dan malu kepada Yang Maha Tahu.

II

Aku digelar ‘sasterawan’ oleh beberapa individu. Atas sebab apa mereka menggelarku sebagai ‘sasterawan’, aku tidak pasti. Aku agak, mereka yang menggelarku dengan gelaran itu bukannya menipu, mereka tidak tahu barangkali.

Di sini aku nak memberitahu…

Aku petik takrif ‘sasterawan’ daripada Kamus Dewan Edisi Keempat:

“Orang yang menghasilkan karya sastera (seperti prosa dan pusi), ahli sastera, pengarang, pujangga.”

Lihatlah takrifnya, ‘sasterawan’ digelar kepada mereka yang mempunyai produk. Ada hasilnya. Kalau berhasil pun, mesti bermutu hasilnya, diiktiraf dan bukanlah baru berhasil sedikit, sudah layak digelar ‘sasterawan’.

Seumpama gelaran-gelaran lain. Ulama, cendekiawan, olahragawan dan banyak lagi. Bilakah gelaran-gelaran itu layak untuk dimahkotakan?

Bilakah seseorang itu layak digelar ulama? Bilakah seseorang itu layak digelar cendekiawan? Bilakah seseorang itu layak dinobatkan sebagai olahragawan?

Adakah baru hafal Al-Fatihah sudah layak digelar ulama? Adakah baru baca satu buku dan bercakap lebat sudah layak digelar cendekiawan? Adakah baru menang satu pertandingan sudah layak digelar olahragawan?

Cubalah kamu semua fikirkan!

III

Manusia memang suka bercakap. Bercakap memang sedap. Aku pun selalu bercakap dan selalu tersilap apabila bercakap.

Kalau silap, kita kena betulkan. Di sini tempat untuk aku betulkan pada perkara yang layak untuk aku betulkan.

Aku tak selesa digelar-gelar ‘sasterawan’. Bukanlah sebab nak merendah diri. Kalau layak, aku tak kisah kalau digelar sebegitu.

Hakikatnya, aku tidak layak. Aku ulang, tidak layak. Dan tiada kelayakan.

Aku belum ada apa-apa produk yang boleh dibanggakan. Jangan panggil aku ‘sasterawan’. Jangan panggil orang lain yang seumpamaku sebagai ‘sasterawan’.

‘Sasterawan’ Negara, Arena Wati ada menyatakan di dalam buku beliau yang bertajuk Jejak Kreatif, bahawa dalam bidang sastera ini ada dua golongan.

Pertama, ‘sarjana sastera’, atau pengkritik sastera. Kedua, ‘seniman sastera’, atau penulis sastera. Kedua-dua ini bagiku bolehlah dianggap sebagai ‘sasterawan’ kerana kemahiran dan kepakaran mereka. Dan kelayakan mereka.

“Salah satu kegelisahan yang wujud ketika itu ialah ketidakpuasan pengkritik sastera pada karya sastera, dan juga sikap sinis penulis sastera kepada sarjana sastera. Saya tanggapi fenomena ini sebagai suatu pertumbuhan yang wajar. Seniman sastera terlalu peka kalau disentuh, dan sarjana sastera sentiasa mencari dan menginginkan yang baru dalam sastera, terutama dengan ghairah daripada konsep struktural itu. Kedua-dua pihak ini berdiri pada tempat yang berlainan. Penulis dan konsep dan dunia khayalnya, manakala sarjana sastera patuh pada teori yang dianutnya.”

(Arena Wati 1996. Jejak Kreatif, DBP)

Aku tambah segolongan lagi, bagi mewakili strataku, iaitu ‘peminat sastera’. Aku ialah seorang ‘peminat sastera’, bukan ‘sasterawan’. Aku ulang, ‘peminat sastera’.

Lebih tepat dengan hakikat. Lebih selesa.

IV

“Doa pun tak boleh?”

Berdoalah setiap kali selepas solat dengan tanpa pengetahuanku. Lebih makbul.

Tak usah maniskan kalam dengan penipuan. Kalau tak tahu, aku sudah beritahu di sini. Aku tak selesa dengan gelaran itu.

Menipu, meriakkan dan memalukan.

Harapnya, tiada yang ambil hati dengan tulisanku. Tidak semua yang bermaksud buruk dalam penggelaran. Barangkali ada secebis keikhlasan yang hanya Allah tahu.

Aku manusia, aku tidak tahu.

Balasan

Kadang-kadang engkau ada rasa geram dan bengang. Tidak puas hati dengan perlakuan manusia lain ke atas diri, sama ada sengaja ataupun tidak.

Engkau ingin memuaskan hatimu, dengan membalas kembali perlakuan itu. Apa-apa cara digunakan untuk memenuhi hasrat ini.

Asalkan, dia sakit jiwanya atau raganya. Pembalasan itu, tanpa engkau sedar, kadang-kadang melampaui daripada had yang sepatutnya.

Engkau telah zalim – walaupun pada asalnya dirimu inginkan keadilan – disebabkan berlebihan dalam kadar pembalasan.

Bukankah lebih baik kalau engkau melakukan sebaliknya? Engkau memasukkan kegembiraan dan ketenangan ke dalam dirimu dan diri manusia lain dengan cara tidak membalas keburukan dengan keburukan, malah menganugerahkan kebaikan.

Manusia akan lebih menyayangimu. Allah SWT juga akan paling menyayangimu…

Tempang

Pada suatu tahap yang engkau sampai, usrah tidak akan mampu memenuhi kehendak rohanimu. Bukan kerana ketempangan usrah itu, tetapi kerana ketempangan dirimu sendiri dalam menghadapi dunia.

Rohanimu harus lebih kembara. Engkau harus lebih menunjukkan kebersamaan terhadap rohanimu. Kerana masulmu tidak mampu melangkaui had-had dunia dalam penyempurnaan kebersamaan.

Masulmu manusia biasa, tidak seperti rasul yang maksum. Dia sekadar seorang manusia yang mewarisi tugas-tugas rasul dengan penuh kekurangan sebagai seorang manusia. Dia tidak punya mukjizat untuk merentasi batasan kemampuan seorang manusia.

Masing-masing punya komitmen. Bukan usrah itu tempang. Bukan. Dunia ini yang terhad sebenarnya dalam keterbatasan masa. Menyebabkan manusia sendiri tempang.

Engkau manusia, masulmu manusia, anak buahmu juga manusia. Kafilah ini himpunan segala manusia. Himpunan segala ketempangan.

Rohanimu harus kembara sendiri. Kesempurnaan rohanimu, umpama tongkat yang menyangga ketempangan ini…

Previous Older Entries