Magis: Membetulkan letak diri dalam rohani

Magis.

Sepatah perkataan yang sesuai untuk mendeskripsi pengalaman semenjak peristiwa pahit lepas. Kembara rohani dan fizikal, merentas pergunungan dan lembah kehidupan, bermandi hujan duka dan bergelumang lumpur bahagia, semuanya terpahat dengan penuh seni dalam hati.

Selepas kepahitan, bertimpa-timpa nikmat, sedar atau tidak, dianugerahi Tuhan kepadaku. Kadangkala, luka ada berdarah, tetapi tidak banyak, kemudiannya kering semula. Semakin hari semakin menuju kesembuhan. Semakin hari, aku semakin lupa, bagaimana kesakitannya.

Masa terus berjalan. Aku terus menuju ke arah takdir Tuhan. Sama ada aku melakukan sesuatu atau tidak, kehidupanku tetap menuju ke penghujungnya. Cuma apabila sakit itu aku lupai, Dia pun aku mula lupai.

Aku telah selamat menjadi seorang suami sekali lagi, kali ini kepada seorang wanita yang lebih baik. Rezeki dimurahkan, aku berjaya menamatkan tempoh latihan sebagai doktor pelatih walaupun dengan langkahan yang rapuh. Sebelum memulakan semula kerjaya aku sebagai doktor, terdapat fasa cuti selama beberapa hari yang tidak aku habiskan ketika berada di dalam tempoh latihan.

Ketika cuti, aku mengambil peluang untuk melihat alam Tuhan, sambil menelaah sejarah, melihat realiti Malaysia, berfikir dan meletakkan kedudukan diri dalam situasi terkini. Retrospektif…

Pertama, perasaan gagal.
Gagal sebagai seorang hamba, Melayu, suami, doktor, rakyat, anak, abang, menantu, pendakwah, dsb.
Banyak tanggungjawab tak terlunas, banyak ingkar dan khianat. Aku terus dalam keculasan, dalam keadaan beban semakin bertambah-tambah. Dan aku terus selesa mengasingkan diri daripada manusia

Kedua, keliru.
Apabila aku meneliti semula sejarah bangsa dan umat, melihat hal yang berlaku di Malaysia, dalam kalangan kawan-kawan, dalam kalangan ahli-ahli organisasi dakwah, kecelaruan masyarakat, aku menjadi keliru. Apakah sebenarnya yang sedang berlaku kepada negara ini? Apakah hala tuju bangsa ini? Ke mana dunia ini sedang menuju? Kenapa seperti tidak selari teori dan realiti. Pedih apabila aku melihat kucar-kacir dunia. Fikiranku berserabut dan buntu. Kegemilangan bangsa ini umpama satu aib yang harus dilupakan. Rakyat inginkan bentuk kehidupan mengikut kehendak buaya penjajah pemakan bangkai. Itu yang mereka suka dan mereka tidak sedar bahawa mereka tertipu. Dan Malaysia kini sedang terbentuk, dengan acuan yang diasaskan oleh penjajah. Bagaimana untuk membetulkannya?

Aku cuba membetulkan semula letak diriku dalam rohani. Rohani yang masih tempang. Akal membantuku menilai.

Tuhan, bantu aku dalam penetapan ini. Tunjukkan aku jalan, dan bantu aku melangkah di atas jalan itu.

Masa terus berjalan, menuju takdir.

Advertisements

Setelah Dikecewakan

Tulisan ini menasakhkan pos aku yang sebelum ini.

Aku pernah berkahwin dengan seorang perempuan yang aku sangka merupakan wanita yang akan menjadi isteriku yang baik.

Aku silap. Dia bukan isteriku yang baik. Mungkin dia isteri yang baik untuk orang lain.

Dia telah meminta cerai. Aku tidak bersetuju untuk bercerai kerana tempoh perkahwinan kami sangat singkat. Masih banyak usaha yang belum dilakukan walaupun secara jelas kami telah mengetahui puncanya.

Dia kata tujuh bulan ini terseksa sebagai isteri aku, ketika aku telah berusaha menjalankan tanggungjawab sebagai suami dengan sungguh-sungguh mengikut apa-apa yang diajar agama tanpa menganiayainya. Terseksa itu daripada dalam dirinya sendiri, sesuatu yang aku tidak boleh kawal.

Sehingga dia sendiri tidak dapat mengawal dirinya. Dia tidak mahu lagi menjadi seorang isteri. Hilang hormat dan taat kepadaku. Dia pergi tanpa kebenaranku.

Aku bersetuju untuk berpisah secara tebus talak. Setelah semua yang dilakukan kepadaku, permintaan perpisahan ini kemuncak kekecewaan yang dia cipta untukku. Tetapi perpisahan ini baginya penyelesaian masalah untuknya.

Ya, memang telah selesai masalah itu. Dia bersetuju untuk membebaskan dirinya daripadaku dengan bayaran 25,000 ringgit. Satu nilai yang tidak setara dengan harga sebuah perkahwinan.

Itu kemuncak kekecewaan yang dia beri kepadaku setelah semua yang dilakukannya. Dia fikir semua itu boleh dilangsaikan dengan 25,000 dan permohonan maaf yang belum pernah aku terima. Aku terasa seperti dibuang bagaikan sampah.

Dia rasa itu cara baik, tanpa menyatakan rasa bersalah. Penuh yakin Tuhan akan mengampunkannya.

Mudah-mudahan Tuhan akan mengampunkannya. Dia bukan lagi isteriku. Tidak perlu aku membebankan diriku tentangnya lagi. Dia pernah bergelar isteriku selama 235 hari, tetapi sebagai sebagai sebenar-benar isteri aku tak tahu berapa hari sahaja.

Aku tahu aku sendiri banyak kekurangan. Aku juga tahu apakah masalah sebenar dia sehingga jadi begini.

Perpisahan ini boleh jadi baik untukku, dan juga untuknya. Tetapi itu bukan jaminan. Dunia ini di tangan Tuhan. Dia yang menyusun segala-galanya. Manusia mengharapkan sesuatu itu mengikut keinginannya, tetapi Tuhan mempunyai keinginan-Nya sendiri.

Tuhan Maha Adil. Dia tahu mana yang baik untuk hamba-Nya. Dia tahu siapa yang zalim dan siapa yang adil. Dia lebih berhak memberi pengajaran yang selayaknya kepada mereka yang bersalah.

Aku serahkan pada Tuhan.

Ya, setelah dikecewakan, aku tetap akan mencari cinta yang baharu, insya Allah lebih segar dan membawa ke syurga. Amin!

Fajar sudah kelihatan, subuh telah tiba… siang akan menjelma, tidak lama lagi.

Retorika ke hakikat

Aku ingin memahat sedikit kata-kata pada malam ini, sebelum tiba hari esok; hari berakhirnya cita-cita, hari penghujung sebuah impian, semuanya sedang menuju ke satu penamat.

Dua jasad yang bersatu dengan ikatan yang suci, tidak bersatu hatinya. Kedua-duanya merupakan jiwa yang terasing dan tidak pernah bersatu. Walau pelbagai cara dan usaha dilakukan secara sungguh-sungguh, tetap tidak dapat dileburkan untuk menjadi satu.

Keengganan telah mencipta satu tembok yang besar. Aku telah cuba mendaki tembok itu dengan segala payah dan kesakitan, ternyata dia terus menambah batu-bata, menebalkan dan meninggikan tembok itu. Apabila aku telah sampai ke puncak tembok itu, bertemu wajahnya, dengan penuh harapan untuk bersamanya tanpa dipisahkan oleh tembok itu, dia menolakku.

Aku terjatuh, berpaut di pinggir tembok itu. Dia hanya memandangku dengan penuh kemarahan, di hatinya penuh kebencian terhadapku.

“Kenapa kau terus memanjat? Semua usahamu tidak akan mengubah apa-apa pun.”

Dia memijak tanganku. Aku kesakitan dan terus bertahan. Dia terus menghinjak-hinjak jari-jemariku sehingga luka berdarah. Dia menendang kepalaku. Lalu pautanku terlepas.

Aku gugur ke bumi. Ketika aku sedang menuju ke permukaan bumi, aku lihat wajahnya di atas tembok, wajah yang pernah ku kucup dahulu dengan penuh harapan. Wajah yang pernah memberi harapan.

Aku memejamkan mataku. Tubuhku terus meluncur ke bumi ditarik graviti. Aku membayangkan tubuhku yang bakal patah riuk, organ-organku akan berkecai, jasadku yang akan hancur terhempas ke permukaan bumi.

Aku terus memejamkan mataku.

Aku hairan.

Kenapa? Kenapa aku terasa seperti aku masih belum terhempas? Apakah aku sudah mati?

Aku membuka mataku. Mereka sedang memaut tubuhku. Aku tergantung di awangan dipaut oleh mereka. Wajah-wajah mereka sangat aku kenal. Mereka menarikku ke puncak dataran yang terdapat satu taman di atasnya.

Di situ, aku lihat ada seorang puteri sedang turut menghulurkan tangannya kepadaku. Dia kelihatan seperti sudah lama di situ, menanti seseorang.

Dan aku pun menghulurkan tanganku. Tetapi kami masih jauh. Aku belum dapat mencapainya. Aku ingin mencapainya.

Dekatkan kami wahai Tuhan!

Restrospektif awal perkahwinan

Setelah beberapa aku tidak mencatat, pelbagai perkara yang terpendam di dalam diri ini selama menempuhi kehidupan bergejolak, memaksa untuk aku supaya terus memahatnya. Terutama apabila aku menonton siri Jejak Rasul As-Salam: Saudara Dari Timur, kembara Anwar Afiq di negara Korea, Jepun dan Taiwan menziarahi saudara se-Islam yang menetap di sana, membawa aku mengenang kembali pengalaman aku mengembara sepanjang 7 tahun 10 bulan di Mesir.

Antara keseronokan di Mesir dahulu ialah berkenalan dengan kawan-kawan Muslim dari pelbagai negara dan mengenali budaya mereka. Keseronokan ini meletakkan azam dalam diriku supaya satu hari nanti aku kembali ke sana membawa isteri tersayang melihat negara itu dan menziarahi negara-negara lain dan melihat kebudayaan masyarakat Muslim di sana.

Aku sudah menikahi seorang wanita yang cantik pada 25 April 2015. Nur Najwa Hanim binti Ab Latif, seorang wanita yang sangat unik, aktif dan cerdik. Membuatkan aku menjadi rendah diri sebagai suaminya, berasa sangat bertuah dan memberi inspirasi kepadaku untuk menjadi lelaki dan suami yang lebih baik, berdikari dan mampu memimpin.

Sepanjang pernikahan hampir lebih dua bulan mencecah tiga bulan ini, aku telah dibawa meneroka satu dimensi baharu yang tidak pernah aku kenal atau jangka sebelum ini. Ruang itu memerlukan tingkat toleransi yang tinggi dan inisiatif pemahaman yang maksimum. Teori ketika ini tidak sepenuhnya serupa ketika praktikal, aplikasi perlu dinamik untuk adaptasi. Pengorbanan fizikal dan emosi adalah satu kelaziman yang pantang diungkit. Cinta dan kasih sayang harus disemai setiap ketika supaya bahang konflik dapat disejukkan untuk mencipta suasana harmoni yang nyaman.

Pelbagai cabaran telah mula dihadapi sepanjang hampir tiga bulan ini dan kalau diikutkan lumrah kehidupan berumahtangga dijangka akan datang pelbagai lagi cabaran. Kami harus sentiasa bersedia dengan iman dan taqwa, kasih sayang dan cinta, ilmu dan amal agar bahtera kami belayar teguh menghadapi gelombang dan badai menuju daratan yang dicita-citakan.

Kali ini kami berpeluang bersama-sama menyambut Ramadan dengan penuh sederhana sambil menyempurnakan komitmen terhadap kerjaya. Perselisihan manja tetap ada antara kami, saat gembira harus sentiasa dicipta agar istana kebahagiaan dapat terus terbina sedikit demi sedikit. Kami dihiburkan sebentar oleh Tuhan dengan berita kehamilan isteri yang dicintai, kemudian kami diuji dengan nikmat itu ditarik semula apabila disahkan kandungan itu keguguran.

Kami tetap berusaha untuk bersyukur. Kami terus cuba untuk terus reda. Walaupun payah, kami pasrah.

Isteriku kini sedang menjalani proses penyembuhan akibat keguguran ini. Proses penyembuhan fizikal dan emosi, dengan mengambil rehat secukupnya, dan aku harap beliau dapat mengambil peluang ini untuk menenangkan keresahan jiwanya.

Sepanjang dua minggu, kini isteriku sedang berada jauh di Rawang dan aku di Ipoh. Sepanjang tempoh ini aku menghayati kejauhan ini, aku menyemaikan lagi rasa cinta dan rindu melalui jarak ini. Aku berusaha menyuburkan cinta dengan mengenangkan jasa-jasanya dan pengorbanan yang telah dilakukan untuk aku sepanjang tempoh perkahwinan kami.

Pernikahan ini kehidupan. Kehidupan ini pengembaraan. Tidak ubah seperti pengembaraan aku ke Mesir atau mana-mana pengembaraan. Apabila ia telah berlalu, keseronokannya nanti akan dikenang-kenang.

Aku akan cuba memastikan isteriku tidak berduka disebabkan aku. Kerana aku sudah banyak melukainya.

Ya Allah, ampuni kami. Teguhkan kami dalam perjalanan ini. Tetapkan kami atas jalan-Mu.

Ya Allah, aku mencintai isteriku!

Catatan awal 2015

Sengaja hendak mencatat sesuatu.

Sekarang adalah musim banjir. Kali ini musibah yang melanda agak teruk, berbanding tahun-tahun lalu. Banyak negeri yang terlibat dan kawasan yang terlibat itu pula mencapai tahap sehingga terputus hubungan dengan kawasan luar, bekalan elektrik dan pelbagai sumber asas seperti makanan.

Kawasan aku di Perak Tengah seperti Parit dan Tanjung Belanja turut terlibat, tetapi tidak sampai tahap terputus hubungan. Paras air yang naik sekadar menyebabkan gangguan terhadap kediaman dan semua mangsa dipindahkan ke tempat perlindungan sementara. Setakat ini sudah lebih 7000 mangsa yang dipindahkan di Perak sahaja.

Aku sebut peristiwa ini kerana aku ada sedikit ralat tidak menyumbangkan walau sedikit bantuan untuk mereka kali ini. Aku hanya bersimpati dan melihat dari jauh. Aku hanya berdoa walaupun aku mampu untuk menyumbang lebih. Aku kali ini lebih menumpukan perhatian terhadap diri aku sendiri.

Aku akan memulakan posting seterusnya sebagai seorang doktor pelatih di jabatan baru esok. Hal ini yang menjadi tumpuan utama fikiran aku kini kerana jabatan yang seterusnya ini boleh dikatakan jabatan yang killer antara semua jabatan. Jabatan perubatan merupakan satu jabatan utama yang sukar tetapi membina seorang doktor pelatih itu untuk menjadi doktor sebenar.

Menjadi doktor sebenar? Heh!

Sebelum ini, semenjak sekolah menengah lagi aku secara terus terang, tak ingin menjadi doktor. Aku terus-terang menyatakan hal ini apabila ditanyakan tentang cita-cita aku. Kecenderunganku ketika itu lebih kepada seni dan sastera. Terutamanya apabila aku telah didorongkan oleh Cikgu Ros ketika itu dalam aktiviti seni sastera dengan menyertakan aku dalam satu pertandingan Kuiz Sastera yang menyebabkan aku memperoleh naib johan peringkat negeri Selangor ketika belajar di SMAPK dahulu. Hadiah yang diperoleh ialah novel Imam tulisan Sasterawan Negara Abdullah Hussain.

Semenjak hari itulah aku semakin meminati seni dan sastera. Aku telah banyak membaca buku-buku sastera untuk menyediakan diri aku bagi pertandingan kuiz itu. Hadiah novel itu juga menyebabkan aku mula meminati SN Abdullah Hussain.

Semalam beliau telah kembali ke rahmatullah. Aku telah melalui zaman peralihan remaja ke dewasa dengan membaca novel-novel beliau. Novel beliau juga banyak mengesani diri aku dan cara aku menulis di dalam blog ini.

Namun, aku hanya boleh mengenang semua itu. Esok aku tetap akan terus memulakan hari di jabatan perubatan. Harap-harap aku mampu bertahan. Harap-harap aku mampu menjadi seorang doktor yang berjasa untuk rakyat dan sastera.

Mudah-mudahan.

Suratan (5)

5. Pertemuan di Taiping

Urusan dokumen yang diperlukan untuk pendaftaran sebagai pelatih pegawai perubatan di hospital belum lagi siap walaupun setelah hampir tujuh bulan aku menunggu dan kawanku di Mesir tolong menguruskannya. Hal ini berpunca daripada sikap warga Arab Mesir yang dikenali sebagai satu jenis manuisa yang sukar untuk menepati janji dan membuat kerja dengan sambil lewa (suka memaparkan kulit yang kelihatan cantik sedang rapuh dan berisi busuk).

Aku terpaksa menjalani kehidupan sebagai seorang penganggur disebabkan oleh hal tersebut (setelah aku berhenti daripada kerjayaku di Mydin selama lima bulan). Maka, aku pun merancang pelbagai aktiviti untuk diisi sepanjang tempoh pengangguran ini.

Aku telah merancang dengan salah seorang sahabatku, Hanif Khairudin untuk menziarahi Taiping. Antara tarikan utama bagiku untuk menziarahi tempat itu ialah zoo dan muzium. Gaya tersendiriku apabila menziarahi sesuatu tempat ialah aku gemar untuk mengunjungi tinggalan atau monumen bersejarah. Namun begitu, Hanif pula lebih cenderung kepada gaya yang diamalkan oleh kebanyakan orang apabila berjalan mengunjungi sesuatu tempat iaitu menikmati makanan istimewa tempat itu. Aku berasa agak gembira apabila Hanif mencadangkan beberapa tempat makan yang dikatakan menjadi tarikan Taiping, di samping dapat mempelajari satu gaya baru (bagi diriku) lawatan ke tempat menarik.

Salah satu tempat makan yang disasarkan oleh kami ialah Bismillah Cendol. Selepas aku pulang dari lawatan ini, aku memaklumkan kepada ayahku bahawa kami telah menikmati hidangan cendol yang terkenal di Taiping iaitu “Cendol Bismillah”, lalu dia membetulkan aku.

“Bismillah Cendol,” aku mengakui pembetulan itu. Memang tertulis sebegitu. Bukannya “Cendol Bismillah”. Di kedai itu, sedang kami menikmati cendol kacang merah, aku terpandang seorang lelaki yang berusia dalam 50-an sedang turut menikmati cendol di meja di seberang sebelah dinding. Wajahnya seperti sangat biasa dilihat dan aku agak diriku sememangnya mengenali beliau. Fikiranku bekerja keras memikirkan siapakah lelaki itu, yang ketika aku memandang wajahnya, dia turut membalas pandanganku.

Hanif ketika itu turut pelik melihat lelaki itu yang merenung kami dengan keningnya berkerut dan matanya dijegilkan. Mulutnya pada sebelah kanan terangkat sedikit, bagaikan sedang curiga memandang kami. Aku terus berfikir dan cuba untuk mengingat siapakah pemilik wajah itu. Hanif berasa agak janggal dengan situasi itu cuba untuk tidak mengendahkan renungan lelaki itu dan terus menghirup cendolnya.

Lelaki itu mengelap mulutnya dengan tisu dan membayar harga cendolnya. Selepas itu, dia terus menuju ke meja kami dan masih merenung wajahku. Aku teragak-agak cuba bersalam dan mulutku cuba berkata sesuatu. Jari telunjukku menuding-nuding ke atas sambil terus berusaha mengingati.

“Kenapa?” lelaki itu bersuara dengan renungan yang garang.

“Ustaz Sekolah Izzuddin!” aku bersuara tiba-tiba. Entah bagaimana perkataan itu muncul aku sendiri tidak tahu. Hanif terus menghirup cendolnya.

“Kamu siapa?”

“Kami bekas pelajar.”

“Tahun berapa?”

Aku berfikir lagi, “2000 hingga 2002. Ustaz…?”

“Ustaz Mad Isa,”

“Ha!” aku terus teringat siapakah beliau. Hanif turut bersalam. Ustaz Mad Isa di Sekolah Izzuddin dahulu pernah menjadi warden kami. Walaupun aku secara peribadi tidak terlalu rapat dengan beliau, disebabkan kami tinggal di asrama, secara tidak langsung warden akan mengenali wajah kami walaupun tidak mengenali nama kerana sepanjang masa mereka bersama kami dan menjaga kebajikan kami.

Beliau kini tidak lagi mengajar di Sekolah Izzuddin Shah tetapi sudah menjadi guru penolong kanan di Sekolah Menengah Kebangsaan Kubu Gajah. Beliau datang ke Taiping kerana ingin ke Pejabat Tanah. Kebetulan ketika beliau sampai, pejabat tanah sedang tutup untuk waktu rehat. Lalu beliau singgah ke gerai cendol ini. Kebetulan, ketika beliau singgah, kami pun turut singgah di situ.

Sebesar-besar Taiping, Allah telah takdirkan kami bertemu di gerai sekecil ini. Selepas bersalam dan mengucapkan selamat, beliau berjalan keluar daripada gerai Bismillah Cendol, meninggalkan kami yang masih meneruskan hirupan cendol.

Diskusi motokar

Aku mengistilahkan aktiviti menarik ini setelah melalui beberapa pengalaman perbincangan bersama beberapa orang kawan di dalam kereta. Aku tidak pasti kenapa begitu seronok perbincangan sebegini.

Idea mencurah-curah keluar dan pertukaran pendapat sangat rancak apabila seorang memandu dan seorang lagi duduk di sebelahnya sambil kereta yang dipandu meluncur di atas jalan raya, sama ada berdestinasi atau tidak.

Aku telah melalui aktiviti ini dengan jayanya bersama beberapa orang rakan. Azril (kawan sekolah rendah), Naeem (kawan di Mesir), Hanif (kawan SIS dan Mesir), dan yang terbaru Muhammad Hasbullah (kawan SMAPK dan Mesir).

Diskusi di dalam motokar Azril Ishak, kawan lama yang lama tidak bersua semenjak kami masing-masing membawa haluan setelah tamat sekolah rendah di Sekolah Kebangsaan Iskandar Shah berlaku beberapa kali setelah kami bertemu semula pada suatu temujanji di Mydin Meru Raya.

Ketika pertemuan awal, aku agak kekok. Azril yang merupakan seorang pegawai perubatan di Hospital Manjung, aku lihat sebagai seorang yang berkeyakinan tinggi dan selamba. Ideanya banyak yang menarik dan membuka perspektif baru terhadap kehidupan sebagai seorang pengamal perubatan di hospital. Aku banyak bertanya tentang pengalamannya mendepani kehidupan tersebut. Dia juga banyak menceritakan pengalamannya di Indonesia.

Rumusan perbincangan lebih kepada pertukaran pengalaman antara dua orang rakan yang sudah lama tidak bertemu. Kami pernah berdiskusi di dalam kereta Hyundainya dua kali; satu di Ipoh, dua di Parit dan Seri Iskandar.

Hanif Khairudin, salah seorang junior di Sekolah Izzuddin Shah, adik kepada Hafiz, kawanku semenjak di SIS, di Mesir kami banyak bertemu dan aku sering menumpang tidur di rumahnya. Keretanya merupakan tapak diskusi yang terbanyak kerana kami berdua banyak berjalan-jalan.

Kami berbincang tentang pelbagai topik terutamanya tentang abangnya, tentang perbezaan pemikiran, cara berfikir dan motivasi dalam pelbagai hal seperti kerjaya doktor. Perjalanan kami meliputi Kuala Kangsar dan Taiping.

Perbincangan dengan Naeem, kawanku dan pelajar farmasi di Mansurah, Mesir antara yang menarik. Hal ini kerana dia seorang yang berfikiran kritis dan sentiasa memberikan sudut pandang berbeza dalam setiap pendapatku. Kelebihannya sebagai seorang pembaca tegar dan banyak bergaul dengan pelbagai lapis masyarakat menyebabkan buah fikirannya sangat unik.

Kami memang selalu berbincang di Mesir dahulu. Apabila dia pulang ke Pulau Pinang bercuti, aku ambil kesempatan untuk menziarahinya. Dia membawa aku melihat seluruh Pulau Pinang sampai ke Jawi. Kami banyak berdiskusi tentang perkembangan semasa dan perkahwinan sementelah kami masih bujang.

Terbaru, aku diberi peluang untuk berdiskusi dengan Muhammad Hasbullah yang telah dikenali semenjak menuntut di SMAPK sehingga ke Mesir. Dia kini merupakan seorang pegawai perubatan siswazah di hospital Kuala Terengganu. Perbincangan dengan Muhammad agak berbeza kerana beliau seorang yang larut dengan kehidupan dakwah.

Idea pemikiran yang diluahkan lebih kerohanian dan menggerakkan jiwa. Sudut pandang yang dbentangkan sentiasa positif dan mengutamakan acuan agama. Peribadi yang ditampilkan pula sentiasa memberi teladan. Pengalaman yang agak berbeza, tetapi sangat bermanfaat.

Kami berbincang di dalam kereta Khairul yang dipinjam, di sekitar bandar Ipoh dan Kuala Kangsar. Aku lebih ingin membawa dia melihat rupa Ipoh dan Kuala Kangsar. Muhammad pula lebih bermatlamat, ingin melihat siapa di Ipoh dan Kuala Kangsar.

Hasratku kini, aku menginginkan pada masa depan, siri diskusi motokar yang paling indah dan berbuah, dengan seseorang yang ingin aku cintai sepanjang hayatku.

Previous Older Entries