Hadapi realiti

Apabila telah berlaku taufan, jangan menganggap manusia akan membicarakan kelembutan bayu.

Apabila telah berlaku sebarang petaka, atau peristiwa yang sememangnya dianggap buruk pada pandangan masyarakat, perkara pertama yang perlu disediakan di dalam minda ialah stamina dalam menghadapi persepsi negatif dan cakap-cakap buruk daripada mereka.

Ya, kita boleh mengubah persepsi itu dengan mempertikaikan tindakan mereka, cuba memberi penjelasan dan sebagainya. Itu semua jatuh ke nombor dua.

Kerana perkara pertama yang paling penting ialah menyiapkan jiwa yang telah bersedia untuk menghadapi persepsi negatif dan cakap-cakap buruk itu. Kita telah menyangkakan itu bakal berlaku. Jangan mengharapkan tindak balas yang ideal, yang bakal mengikut kehendak fantasi kita, kononnya tiada siapa yang akan menilai dan menghukum, orang akan tidak ambil kisah, orang akan baik sangka.

Dunia sebenar adalah lebih buruk daripada yang kita sangka. Dunia kadang-kadang sesuatu yang tidak dijangkakan. Oleh sebab itu, jangan melatah apabila berdepan dengan realiti kehidupan.

Kalau jiwa tidak mampu berubah, terus dengan utopia pemikiran sendiri, kita tak akan mampu menghadapi hakikat ini.

Kita akan menjadi ‘mereng’, atau bakunya ‘biul’.

Biul: tidak begitu waras fikiran, kemamar, sewel (Kamus Dewan Edisi Keempat)

Advertisements

Alam mengajar kita

Perkara yang telah kita lalui, dan yang telah kita lihat; itu yang akan membentuk diri dan pemikiran kita. Bernilaikah dunia ini sebenarnya?

(1)

Aku terbaca satu berita, semalam, tentang seorang pelajar sekolah menengah yang telah terlibat dalam satu kemalangan. Pelajar itu sedang membonceng motosikal pulang daripada sekolah. Motosikal itu telah dipandu oleh kakak tirinya.

Malang sekali, sebuah kereta kancil memotong motosikal mereka dan mereka terjatuh apabila kereta itu bergesel dengan motosikal mereka. Pelajar itu terjatuh ke tengah jalan. Kebetulan, ketika itu sebuah lori sedang meluncur laju.

Pelajar itu telah kehilangan kedua-dua belah kaki, digilis oleh lori itu.

(2)

Ketika rotasi pegawai perubatan siswazah di Jabatan Paediatrik, aku telah belajar untuk menyukai kanak-kanak. Sebelum ini, aku sejujurnya tidak gemar akan budak-budak. Kebiasaannya, aku akan tidak menghiraukan kanak-kanak yang berada di sekelilingku. Aku tidak akan mengada-ngada bermain-main dengan mereka kerana aku memang tidak menggemari kanak-kanak. Aku tidak pernah menyentuh anak kawan-kawanku. Apabila pergi meziarahi sesiapa yang baru dianugerahkan cahaya mata, aku pasti akan mengelak daripada mendukung bayi itu.

Di rotasi ini, aku terpaksa menyentuh mereka. Paksaan ini menyebabkan hatiku dilenturkan oleh perasaan untuk menyukai kanak-kanak. Hati kalau dipaksa pasti boleh dilentur, melainkan hati itu degil dan keras disertai pula dengan suntikan syaitan, memang kalau engkau bawa malaikat jibril pun tidak akan mampu dilenturkan.

Yang menginsafkan aku ialah apabila aku melihat wajah sang ibu yang menerima anak yang tidak sihat seperti anak orang lain. Tidak sihat itu pula bukanlah suatu yang dapat sembuh, penyakit yang dialami itu ialah penyakit sepanjang hayat yang tidak boleh diubati. Ibu tidak akan dapat melihat anak mereka membesar seperti anak lain, mereka hanya akan melihat kehidupan anak mereka yang dibataskan oleh penyakit yang dialami. Malah kemungkinan mereka akan melihat pengakhiran hidup anak mereka di hadapan mata mereka ketika hayat mereka.

Apatah lagi, jikalau usia ibu itu telah lanjut. Bertahun-tahun telah mencuba untuk mendapat anak. Sehingga pada usia yang sangat suntuk, setelah berjaya memperoleh anak, anak yang diperoleh bukannya mengubat hati setelah penantian yang lama. Anak yang diperoleh menjadi ujian tambahan, yang menambah kesedihan jiwa, mengukur tingkat keredaan diri.

Hanya mampu pasrah. Anak yang disayangi akan menjadi luka di hati, bukan kerana anak itu melukakan, tetapi kesedihan hati melihat penderitaan anak dan penerimaan takdir yang mengecewakan, itu yang melukakan.

(3)

Kini aku berada di rotasi Jabatan Sakit Puan dan Perbidanan. Pertarungan ibu melahirkan anak merupakan peristiwa harian yang menginsafkan buatku kali ini. Air mata dan tangisan ibu setelah bersabung nyawa merupakan pelembut jiwa.

Walaupun ibu itu sundal, bohsia, dajal, pelacur, doktor, jurutera, kerani, tukang sapu, pandai, bodoh, gila, waras, mereka tetap sanggup menahan kesakitan agar kandungan itu dilahirkan.

Tak tercapai oleh akal. Kesakitan itu bisa membuatkan putus asa. Aku sendiri tak pasti sama ada aku akan sanggup untuk menghadapi kesakitan itu. Aku tak tahu. Tetapi sang ibu sanggup. Agar lahir anak yang dikandung. Mereka tidak putus asa, mereka terus meneran sehingga terkeluar dubur, sehingga tumpah sebahagian darah dari tubuh, sehingga terkoyak dinding faraj, sehingga ada yang mati.

Kemudian, apakah yang bakal dipersembahkan oleh sang anak apabila dia dewasa?

Terus-terang aku bertegas bahawa, wanita merupakan insan yang sangat kuat. Kuat menghadapi kesakitan ketika melahirkan anak, kuat juga menghadapi kesakitan apabila mendepani kederhakaan anak.

Kesimpulan:

Hidup terus berjalan. Kadangkala penuh dengan kesakitan dan kepayahan. Semua itu kadangkala kita rasa sangat besar, sangat menyeksakan.

Hakikatnya, apabila dibandingkan dengan kehidupan orang lain, akan menyebabkan diri berasa betapa beruntungnya kita dan seharusnya kita bersyukur.

Malah, betapa malunya kita melihat insan-insan lain yang sangat kuat, terus menghadapi kehidupan dengan penuh kesakitan tanpa berundur melangkah ke belakang.

Kita sebenarnya mampu untuk pergi jauh. Kita mampu untuk membawa diri kita sejauh-jauhnya. Kadangkala, kita sendiri akan tidak menyangka, bahawa sejauh itu kita mampu.

Setelah Dikecewakan

Tulisan ini menasakhkan pos aku yang sebelum ini.

Aku pernah berkahwin dengan seorang perempuan yang aku sangka merupakan wanita yang akan menjadi isteriku yang baik.

Aku silap. Dia bukan isteriku yang baik. Mungkin dia isteri yang baik untuk orang lain.

Dia telah meminta cerai. Aku tidak bersetuju untuk bercerai kerana tempoh perkahwinan kami sangat singkat. Masih banyak usaha yang belum dilakukan walaupun secara jelas kami telah mengetahui puncanya.

Dia kata tujuh bulan ini terseksa sebagai isteri aku, ketika aku telah berusaha menjalankan tanggungjawab sebagai suami dengan sungguh-sungguh mengikut apa-apa yang diajar agama tanpa menganiayainya. Terseksa itu daripada dalam dirinya sendiri, sesuatu yang aku tidak boleh kawal.

Sehingga dia sendiri tidak dapat mengawal dirinya. Dia tidak mahu lagi menjadi seorang isteri. Hilang hormat dan taat kepadaku. Dia pergi tanpa kebenaranku.

Aku bersetuju untuk berpisah secara tebus talak. Setelah semua yang dilakukan kepadaku, permintaan perpisahan ini kemuncak kekecewaan yang dia cipta untukku. Tetapi perpisahan ini baginya penyelesaian masalah untuknya.

Ya, memang telah selesai masalah itu. Dia bersetuju untuk membebaskan dirinya daripadaku dengan bayaran 25,000 ringgit. Satu nilai yang tidak setara dengan harga sebuah perkahwinan.

Itu kemuncak kekecewaan yang dia beri kepadaku setelah semua yang dilakukannya. Dia fikir semua itu boleh dilangsaikan dengan 25,000 dan permohonan maaf yang belum pernah aku terima. Aku terasa seperti dibuang bagaikan sampah.

Dia rasa itu cara baik, tanpa menyatakan rasa bersalah. Penuh yakin Tuhan akan mengampunkannya.

Mudah-mudahan Tuhan akan mengampunkannya. Dia bukan lagi isteriku. Tidak perlu aku membebankan diriku tentangnya lagi. Dia pernah bergelar isteriku selama 235 hari, tetapi sebagai sebagai sebenar-benar isteri aku tak tahu berapa hari sahaja.

Aku tahu aku sendiri banyak kekurangan. Aku juga tahu apakah masalah sebenar dia sehingga jadi begini.

Perpisahan ini boleh jadi baik untukku, dan juga untuknya. Tetapi itu bukan jaminan. Dunia ini di tangan Tuhan. Dia yang menyusun segala-galanya. Manusia mengharapkan sesuatu itu mengikut keinginannya, tetapi Tuhan mempunyai keinginan-Nya sendiri.

Tuhan Maha Adil. Dia tahu mana yang baik untuk hamba-Nya. Dia tahu siapa yang zalim dan siapa yang adil. Dia lebih berhak memberi pengajaran yang selayaknya kepada mereka yang bersalah.

Aku serahkan pada Tuhan.

Ya, setelah dikecewakan, aku tetap akan mencari cinta yang baharu, insya Allah lebih segar dan membawa ke syurga. Amin!

Fajar sudah kelihatan, subuh telah tiba… siang akan menjelma, tidak lama lagi.

Retorika ke hakikat

Aku ingin memahat sedikit kata-kata pada malam ini, sebelum tiba hari esok; hari berakhirnya cita-cita, hari penghujung sebuah impian, semuanya sedang menuju ke satu penamat.

Dua jasad yang bersatu dengan ikatan yang suci, tidak bersatu hatinya. Kedua-duanya merupakan jiwa yang terasing dan tidak pernah bersatu. Walau pelbagai cara dan usaha dilakukan secara sungguh-sungguh, tetap tidak dapat dileburkan untuk menjadi satu.

Keengganan telah mencipta satu tembok yang besar. Aku telah cuba mendaki tembok itu dengan segala payah dan kesakitan, ternyata dia terus menambah batu-bata, menebalkan dan meninggikan tembok itu. Apabila aku telah sampai ke puncak tembok itu, bertemu wajahnya, dengan penuh harapan untuk bersamanya tanpa dipisahkan oleh tembok itu, dia menolakku.

Aku terjatuh, berpaut di pinggir tembok itu. Dia hanya memandangku dengan penuh kemarahan, di hatinya penuh kebencian terhadapku.

“Kenapa kau terus memanjat? Semua usahamu tidak akan mengubah apa-apa pun.”

Dia memijak tanganku. Aku kesakitan dan terus bertahan. Dia terus menghinjak-hinjak jari-jemariku sehingga luka berdarah. Dia menendang kepalaku. Lalu pautanku terlepas.

Aku gugur ke bumi. Ketika aku sedang menuju ke permukaan bumi, aku lihat wajahnya di atas tembok, wajah yang pernah ku kucup dahulu dengan penuh harapan. Wajah yang pernah memberi harapan.

Aku memejamkan mataku. Tubuhku terus meluncur ke bumi ditarik graviti. Aku membayangkan tubuhku yang bakal patah riuk, organ-organku akan berkecai, jasadku yang akan hancur terhempas ke permukaan bumi.

Aku terus memejamkan mataku.

Aku hairan.

Kenapa? Kenapa aku terasa seperti aku masih belum terhempas? Apakah aku sudah mati?

Aku membuka mataku. Mereka sedang memaut tubuhku. Aku tergantung di awangan dipaut oleh mereka. Wajah-wajah mereka sangat aku kenal. Mereka menarikku ke puncak dataran yang terdapat satu taman di atasnya.

Di situ, aku lihat ada seorang puteri sedang turut menghulurkan tangannya kepadaku. Dia kelihatan seperti sudah lama di situ, menanti seseorang.

Dan aku pun menghulurkan tanganku. Tetapi kami masih jauh. Aku belum dapat mencapainya. Aku ingin mencapainya.

Dekatkan kami wahai Tuhan!

Restrospektif awal perkahwinan

Setelah beberapa aku tidak mencatat, pelbagai perkara yang terpendam di dalam diri ini selama menempuhi kehidupan bergejolak, memaksa untuk aku supaya terus memahatnya. Terutama apabila aku menonton siri Jejak Rasul As-Salam: Saudara Dari Timur, kembara Anwar Afiq di negara Korea, Jepun dan Taiwan menziarahi saudara se-Islam yang menetap di sana, membawa aku mengenang kembali pengalaman aku mengembara sepanjang 7 tahun 10 bulan di Mesir.

Antara keseronokan di Mesir dahulu ialah berkenalan dengan kawan-kawan Muslim dari pelbagai negara dan mengenali budaya mereka. Keseronokan ini meletakkan azam dalam diriku supaya satu hari nanti aku kembali ke sana membawa isteri tersayang melihat negara itu dan menziarahi negara-negara lain dan melihat kebudayaan masyarakat Muslim di sana.

Aku sudah menikahi seorang wanita yang cantik pada 25 April 2015. Nur Najwa Hanim binti Ab Latif, seorang wanita yang sangat unik, aktif dan cerdik. Membuatkan aku menjadi rendah diri sebagai suaminya, berasa sangat bertuah dan memberi inspirasi kepadaku untuk menjadi lelaki dan suami yang lebih baik, berdikari dan mampu memimpin.

Sepanjang pernikahan hampir lebih dua bulan mencecah tiga bulan ini, aku telah dibawa meneroka satu dimensi baharu yang tidak pernah aku kenal atau jangka sebelum ini. Ruang itu memerlukan tingkat toleransi yang tinggi dan inisiatif pemahaman yang maksimum. Teori ketika ini tidak sepenuhnya serupa ketika praktikal, aplikasi perlu dinamik untuk adaptasi. Pengorbanan fizikal dan emosi adalah satu kelaziman yang pantang diungkit. Cinta dan kasih sayang harus disemai setiap ketika supaya bahang konflik dapat disejukkan untuk mencipta suasana harmoni yang nyaman.

Pelbagai cabaran telah mula dihadapi sepanjang hampir tiga bulan ini dan kalau diikutkan lumrah kehidupan berumahtangga dijangka akan datang pelbagai lagi cabaran. Kami harus sentiasa bersedia dengan iman dan taqwa, kasih sayang dan cinta, ilmu dan amal agar bahtera kami belayar teguh menghadapi gelombang dan badai menuju daratan yang dicita-citakan.

Kali ini kami berpeluang bersama-sama menyambut Ramadan dengan penuh sederhana sambil menyempurnakan komitmen terhadap kerjaya. Perselisihan manja tetap ada antara kami, saat gembira harus sentiasa dicipta agar istana kebahagiaan dapat terus terbina sedikit demi sedikit. Kami dihiburkan sebentar oleh Tuhan dengan berita kehamilan isteri yang dicintai, kemudian kami diuji dengan nikmat itu ditarik semula apabila disahkan kandungan itu keguguran.

Kami tetap berusaha untuk bersyukur. Kami terus cuba untuk terus reda. Walaupun payah, kami pasrah.

Isteriku kini sedang menjalani proses penyembuhan akibat keguguran ini. Proses penyembuhan fizikal dan emosi, dengan mengambil rehat secukupnya, dan aku harap beliau dapat mengambil peluang ini untuk menenangkan keresahan jiwanya.

Sepanjang dua minggu, kini isteriku sedang berada jauh di Rawang dan aku di Ipoh. Sepanjang tempoh ini aku menghayati kejauhan ini, aku menyemaikan lagi rasa cinta dan rindu melalui jarak ini. Aku berusaha menyuburkan cinta dengan mengenangkan jasa-jasanya dan pengorbanan yang telah dilakukan untuk aku sepanjang tempoh perkahwinan kami.

Pernikahan ini kehidupan. Kehidupan ini pengembaraan. Tidak ubah seperti pengembaraan aku ke Mesir atau mana-mana pengembaraan. Apabila ia telah berlalu, keseronokannya nanti akan dikenang-kenang.

Aku akan cuba memastikan isteriku tidak berduka disebabkan aku. Kerana aku sudah banyak melukainya.

Ya Allah, ampuni kami. Teguhkan kami dalam perjalanan ini. Tetapkan kami atas jalan-Mu.

Ya Allah, aku mencintai isteriku!

Catatan awal 2015

Sengaja hendak mencatat sesuatu.

Sekarang adalah musim banjir. Kali ini musibah yang melanda agak teruk, berbanding tahun-tahun lalu. Banyak negeri yang terlibat dan kawasan yang terlibat itu pula mencapai tahap sehingga terputus hubungan dengan kawasan luar, bekalan elektrik dan pelbagai sumber asas seperti makanan.

Kawasan aku di Perak Tengah seperti Parit dan Tanjung Belanja turut terlibat, tetapi tidak sampai tahap terputus hubungan. Paras air yang naik sekadar menyebabkan gangguan terhadap kediaman dan semua mangsa dipindahkan ke tempat perlindungan sementara. Setakat ini sudah lebih 7000 mangsa yang dipindahkan di Perak sahaja.

Aku sebut peristiwa ini kerana aku ada sedikit ralat tidak menyumbangkan walau sedikit bantuan untuk mereka kali ini. Aku hanya bersimpati dan melihat dari jauh. Aku hanya berdoa walaupun aku mampu untuk menyumbang lebih. Aku kali ini lebih menumpukan perhatian terhadap diri aku sendiri.

Aku akan memulakan posting seterusnya sebagai seorang doktor pelatih di jabatan baru esok. Hal ini yang menjadi tumpuan utama fikiran aku kini kerana jabatan yang seterusnya ini boleh dikatakan jabatan yang killer antara semua jabatan. Jabatan perubatan merupakan satu jabatan utama yang sukar tetapi membina seorang doktor pelatih itu untuk menjadi doktor sebenar.

Menjadi doktor sebenar? Heh!

Sebelum ini, semenjak sekolah menengah lagi aku secara terus terang, tak ingin menjadi doktor. Aku terus-terang menyatakan hal ini apabila ditanyakan tentang cita-cita aku. Kecenderunganku ketika itu lebih kepada seni dan sastera. Terutamanya apabila aku telah didorongkan oleh Cikgu Ros ketika itu dalam aktiviti seni sastera dengan menyertakan aku dalam satu pertandingan Kuiz Sastera yang menyebabkan aku memperoleh naib johan peringkat negeri Selangor ketika belajar di SMAPK dahulu. Hadiah yang diperoleh ialah novel Imam tulisan Sasterawan Negara Abdullah Hussain.

Semenjak hari itulah aku semakin meminati seni dan sastera. Aku telah banyak membaca buku-buku sastera untuk menyediakan diri aku bagi pertandingan kuiz itu. Hadiah novel itu juga menyebabkan aku mula meminati SN Abdullah Hussain.

Semalam beliau telah kembali ke rahmatullah. Aku telah melalui zaman peralihan remaja ke dewasa dengan membaca novel-novel beliau. Novel beliau juga banyak mengesani diri aku dan cara aku menulis di dalam blog ini.

Namun, aku hanya boleh mengenang semua itu. Esok aku tetap akan terus memulakan hari di jabatan perubatan. Harap-harap aku mampu bertahan. Harap-harap aku mampu menjadi seorang doktor yang berjasa untuk rakyat dan sastera.

Mudah-mudahan.

Catatan penghujung 2014

Catatan penghujung 2014

Beberapa tempoh setelah kembali dari Mesir, aku kini sudah melalui saat-saat pelbagai, sebahagiannya bermanfaat, ada juga yang sia-sia sekadar menghabiskan umur emasku. Sekadar menyenaraikan beberapa hal yang telah dilalui:

1. Bekerja di Mydin sebagai juruwang selama lima bulan. Satu kontradiksi dengan kerjaya terkini, bukannya pada aku tetapi pada orang lain yang mendengar. Bagi aku, tiada peliknya bekerja sebagai juruwang walau apa jenis ijazah yang dimiliki. Hal ini bagi aku satu ketempangan minda masyarakat yang perlu dibetulkan kerana telah terbenam dalam sampah materialistik.

2. Menyertai bengkel Drama Festival Kuala Lumpur anjuran TV3. Seni dan sastera merupakan satu cabang minat yang aku anuti sejak sekolah menengah. Namun begitu aku tidak serius dan yakin dengan kebolehan diri sendiri. Aku sekadar meminati da bersorak di tepi padang. Kemudian, aku melihat iklan di TV3 tentang penganjuran bengkel ini. Aku menyertai dengan harapan, sesuatu akan dicungkil dari dalam diri aku. Apabila aku sampai di sana, bagi aku boleh tahanlah bengkel tersebut, dan bukanlah bengkel sebenarnya, bentuk penganjurannya lebih kepada seminar atau kuliah. Aku berkesempatan menyertai bengkel lakonan dengan Fatimah Abu Bakar, Sharifah Amani dan Fauziah Nawi, bengkel muzik dengan Azmeer dan Hafiz Hamidon, bengkel penulisan skrip dengan Wan Hasliza dan Rozie Rashid, bengkel pengarahan dengan Kabir Bhatia dan Sabri Yunus. Aku sebenarnya lebih sebagai pendengar sahaja di dalam kesemua bengkel ini. Sekarang aku sudah lupa semua yang disampaikan. Aku hanya ingatkan suasana dewan dan suasana program ini sahaja.

3. Dari segi pengembaraan, banyak tempat yang aku telah kunjungi sebenarnya, walaupun tidaklah sebanyak mana pun. Aku cuba memenuhi kegemaran peribadiku iaitu mengembara dalam keadaan terhad iaitu tidak mempunyai kenderaan sendiri. Aku cuba penuhi nafsu berjalan ini dengan mengajak kawan-kawan dan menumpang kereta dan rumah mereka. Alhamdulillah, aku dapat ke Kuala Lumpur dengan menumpang rumah Akmal Afiq, ke Kuala Kangsar dan Taiping dengan menumpang kereta dan rumah Hanif Khairudin, ke PUlau Pinang dengan menumpang kereta dan rumah Naeem, ke Muzium Matang dan Pasir Salak dengan menumpang program anjuran ISMA. Setiap perjalanan itu telah memberi kesan yang tersendiri terhadap diri aku luar dan dalam.

4. Aku telah membeli kenderaan sendiri, Proton Iswara daripada sepupuku dengan harga RM3000. Syukur dengan pembelian ini aku dapat bergerak ke sana sini dengan mudah.

5. Aku telah mengenali seseorang yang akan dinikahi tidak lama lagi jika diizinkan Allah SWT. Sekarang dalam proses-proses akhir. Doakan.

6. Aku telah memulakan kerjaya sebagai seorang doktor. Aku akui yang aku tidak menyukai kerjaya ini. Tetapi selagi aku menjadi seorang doktor aku akan cuba menyempurnakan tanggungjawab ini sebaik mungkin. Sekarang sudah tiga bulan dan aku akan memasuki jabatan yang seterusnya iaitu perubatan dalaman.

Banyak lagi yang tidak aku catatkan. Aku sendiri tidak menyedari bahawa masa ini berjalan sangat pantas sehinggalah tiba tarikh-tarikh yang menandakan perubahan waktu seperti tahun baru ini. Sikap aku pula masih tidak berubah, masih seperti dulu. banyak unsur negatif masih tidak luntur, malah ada yang masih pekat. Sedangkan aku tahu, unsur itu adalah punca aku gagal untuk terus maju ke hadapan.

Aku tulis hal ini, mungkin tiada sesiapa yang membacanya. Sekurang-kurangnya untuk aku sendiri menilai diri aku. Banyak hal yang berada di dalam diri aku meronta-ronta untuk dilepaskan di dalam bentuk tulisan, tetapi aku sendiri tidak mempunyai masa untuk menulis. Malah, kadangkala apabila aku ingin menulisnya, segala-galanya bagaikan sesuatu yang tidak dapat dijelmakan.

Aku sendiri sebenarnya terasa bagaikan sedang terperangkap di dalam seuatu kurungan yang aku tidak dapat ekspreskan di sini apakah kurungan itu sebenarnya. Aku rasa seperti sedang dipenjara dan aku tidak keruan dalam setiap perbuatanku. Apabila aku berada di wad sedang bekerja, sedang mengikuti rondaan yang diadakan oleh pakar, kadangkala aku akan merenung ke luar memandang langit dan kenderaan yang bersimpang siur di jalan. Apabila aku sedang berkejaran dari wad ke wad, di beranda wad aku terlihat gunung yang jauh dengan kepulan awan yang mengerumuni puncaknya. Begitu juga apabila aku sedang memandu laju sewaktu pulang dari kerja, aku melontarkan renunganku jauh ke hutan-hutan di permukaan gunung dan langit yang kebiruan.

Aku seperti mahu pergi jauh, ke satu tempat, meneroka kemanusiaan, menggali pengalaman, mencipta kenangan, membina persahabatan, mengenal kebudayaan, menyendirikan jiwa, merenung diri.

Aku mahu melihat alam ini dengan lebih luas. Ketika aku pergi itu, aku tidak mahu ada sesuatu yang mengikat aku agar aku tidak bebas sepenuhnya.

Aku tidak ingin hidup di bawah bumbung. Langit dan gunung itu adalah inspirasi aku. Inspirasi untuk hidup, inspirasi untuk karya.

Faham ke?

Previous Older Entries