Rahmat

Semakin hari, semakin hati ini nipis dan mudah ditembusi oleh sebarang peristiwa yang tajamnya umpama pisau. Penembusan itu mengizinkan akal berfikir rasional, merenung semula masa silam.

Di manakah silapnya? Apakah yang masih belum aku lakukan?

Selamat bergraduasi buat kawan-kawanku.

Kegagalan aku kali ini yang paling melukakan, tetapi yang paling tidak aku zahirkan.

Ya, kegagalan kali inilah yang paling memikirkan. Aku mula menjelmakannya di dalam tanggapanku sebagai rahmat.

“Bagaimana bentuknya, bila dan di mana rahmat Allah tidak diketahui oleh manusia malah kadangkala disalah anggap sebagai petaka,” kataku.

Advertisements

Kebenaran yang pahit

I

Aku terkenang pada suatu peristiwa ketika aku menghadiri Mukhayyam Al-Usari Al-Maqdisi di Ismailiyya anjuran pergerakan HAMAS. Program ini pada siangnya merupakan pembentangan atau wacana ilmiah, manakala pada malamnya terdapat aktiviti pentas yang berupa hiburan santai seperti kuiz dan sketsa.

Seingat aku, pada malam yang kedua terakhir, ada beberapa orang pemuda naik ke pentas dan mempersembahkan kisah lawak jenaka. Para penonton ketawa terbahak-bahak apabila mendengar kisah-kisah yang diceritakan oleh pemuda itu. Aku sendiri akan ketawa kalau ada kisah yang boleh difahami.

Sampai kepada sebuah kisah jenaka, yang kandungannya ada melibatkan penggunaan ayat Al-Quran, penonton terus ketawa terbahak-bahak kerana geli hati. Pemuda itu tersenyum lebar kegembiraan kerana berjaya menyebabkan para penonton ketawa berdekah-dekah. Dia begitu bersemangat meneruskan kisahnya.

Tiba-tiba kedengaran salah seorang penonton yang melaungkan sesuatu dengan kuat, “Ittaqillah! Ittaqillah!”

Para penonton lain terdiam. Pemuda di atas pentas itu kehilangan senyuman daripada wajahnya dengan  sekelip mata. Penonton itu menasihatkan agar dihentikan lawak jenaka yang menggunakan ayat Al-Quran kerana menurutnya pemuda itu telah mempermain-mainkan Al-Quran.

Wajah pemuda itu muram. Penonton saling berbisik-bisik. Pengerusi majlis dengan segera mempersilakan pemuda itu untuk mengambil tempat di kerusi penonton. Pemuda itu sempat memohon maaf sebelum turun dari pentas.

Selepas itu majlis kembali seperti biasa. Aura ceria menghangatkan semula suasana. Persembahan diteruskan dan para penonton terus terhibur. Ketika itu aku mencari-cari di manakah pemuda tadi. Aku menoleh ke kiri dan kanan, lantas aku ternampak dia sedang duduk di kerusi belakang sekali dengan wajah yang sangat muram.

Ketika aku memandang wajahnya, matanya turut bertemu mataku. Aku terus menoleh ke hadapan kerana serba-salah. Baru aku teringat, dia ialah pemuda yang duduk di sebelahku pada malam sebelumnya dan telah menghulurkan sebiji gula-gula kepadaku.

II

Beberapa hari lalu, telah dianjurkan sebuah majlis sambutan Aidiladha di Universiti Mansurah, tempat aku belajar. Majlis itu telah dianjurkan agensi GMN, UMNO, dan turut tertera pada kain rentangnya kerjasama organisasi lain seperti kerajaan Negeri Perak, PDRM dan sebagainya.

Penganjuran majlis itu sangat cemerlang dari segi sambutan dan pengurusan. Majlis itu juga sangat meriah dengan kehadiran ramai pelajar-pelajar dan persembahan yang menghiburkan. Aku tidak duduk di majlis itu sehingga habis, aku pulang selepas tamat persembahan sketsa.

Aku tidak tahu apakah yang berlaku selepas itu. Apabila aku melihat gambar majlis itu, terdapat persembahan dikir barat oleh pelajar perempuan. Sebelum itu, ketika persembahan sketsa turut melibatkan lakonan pelajar perempuan dan lelaki berpakaian perempuan. Tempat duduk antara lelaki dan perempuan diasingkan dengan baik, namun terdapat beberapa individu yang tidak mengasingkan diri mereka daripada campur gaul yang tidak perlu. Di samping itu dari sudut pengurusan juga terdapat sedikit percampuran yang tidak wajar dan sepatutnya boleh diasingkan.

Perkara itu tidak mustahil kerana ISMA, organisasi yang aku sertai turut menganjurkan program yang melibatkan lelaki dan perempuan, tetapi mereka berjaya menjaga interaksi atau hal-hal yang harus dibataskan dalam pergaulan lelaki dan perempuan. Kalau berlaku juga, mereka yang terlibat akan diberi peringatan yang tegas.

Selepas program itu, ada juga beberapa orang sahabat aku membangkitkan atau membincangkan situasi majlis itu dari sudut kacamata seorang muslim yang taat. Adakah segala unsur yang berkisar sepanjang majlis itu patuh syariat? Pesan aku, jikalau ingin menegur atau mempertikaikan unsur-unsur di dalam majlis itu yang tidak patuh syariat, harus objektif. Spesifikkan perkara yang tidak patuh dan penjelasan serta cadangan.

Cuma, tujuan aku menulis panjang-panjang dalam catatan kali ini bukan untuk menjelaskan sudut itu. Aku hanya ingin menasihatkan kepada penganjur majlis itu yang kebanyakannya ialah kawan-kawan aku sendiri agar melakukan penilaian semula dan beristighfar jika ada hal yang melampaui batas serta berusaha untuk tidak mengulanginya pada masa hadapan.

III

Tujuan aku yang sebenar adalah untuk membandingkan dua majlis di atas dan mengadaptasikannya ke dalam akalku tentang perananku sebagai seorang pendakwah. Majlis pertama (anjuran HAMAS) keseluruhannya patuh syariat. Hanya terdapat satu peristiwa iaitu seorang pemuda tersilap kerana menggunakan ayat Al-Quran dalam lawak jenakanya. Salah seorang penonton dengan beraninya menegur kesilapan itu dan menasihatinya.

Jiwa seorang pendakwah mengalir sebati dalam diri penonton itu. Dia tidak boleh melihat sesiapa melampaui batas yang telah Allah tetapkan lantas dia segera menegurnya. Tegurannya itu telah menyelamatkan pemuda itu daripada terus terlanjur dan memberi kesedaran kepada para penonton. Meskipun kata-kata yang benar itu pahit, kepahitan itu sebenarnya ubat yang mujarab.

Namun, kaedah atau cara teguran itu boleh diperincikan dan dibincangkan dengan teliti agar sesuai dan kena pada tempatnya. Yang utama, penonton itu telah menjalankan peranannya sebagai muslim.

Ironinya, pada ketika majlis Aidiladha itu, aku turut menjadi penonton sekali lagi. Kali ini sekadar seorang penonton, menonton batas syariah dilangkahi dengan penuh meriah. Darah pendakwah dalam diri aku seakan-akan telah kering menyebabkan hatiku menjadi kecil. Aku menjadi seorang pengecut yang sekadar menelan air liur yang pahit.

Waqaf lillah

Kerusi telah siap disusun di taman berhadapan bangunan utama tempat penginapan yang terletak di pinggir Terusan Suez ini. Aku mencari-cari di manakah tempat yang sesuai untuk ku duduk. Aku lantas menuju ke kawasan yang diduduki oleh kawan-kawanku daripada ISMA-Mesir apabila terlihat mereka.

Majlis pembukaan Mukhayyam Al-Usari Al-Maqdisi akan bermula barangkali sebentar lagi. Mukhayyam ini merupakan perkhemahan anjuran HAMAS, pertama kali dianjurkan selepas negara ini mengalami revolusi dan Dr Mohammed Morsi menjadi presiden Mesir. HAMAS berpeluang untuk berpengkalan di Mesir dan memanfaatkan kesempatan ini dengan menganjurkan program sebegini.

Hadirin yang terdiri daripada pelbagai bangsa seperti Turki, negara-negara Afrika, Iraq, Chechnya, Indonesia dan banyak lagi sudah memenuhi sebahagian tempat duduk.

Apabila aku duduk, aku terdengar beberapa orang kawanku sedang bersembang-sembang dengan salah seorang lelaki Arab. Aku menoleh ke belakang untuk bersalam dengan mereka. Ustaz Qamarul Naim memperkenalkan diriku kepada lelaki Arab itu.

“Akhuna tolib kuliyyatit tibb fi jaami’atil Mansurah,” aku hanya senyum. Lelaki Arab itu berambut nipis dan berjambang, putih kedua-duanya sambil bercermin mata. Kami bersalaman.

“Masya Allah. Ad-duktur huwa waqaf lillah,” aku terus senyum sambil mengangguk. Kemudian, terus menoleh ke hadapan. Tidak mengambil perhatian sangat kepada kata-katanya. Aku menoleh sekadar hendak memberi hormat, tidak berniat untuk berborak panjang. Majlis pun bermula.

Aku difahamkan bahawa beliau ialah Abu Omar Mokhles Barzaq, antara urusetia mukhayyam ini. Beliau bertanggungjawab menguruskan perjalanan program keimanan untuk mukhayyam ini.

Kemudian, aku tidak langsung untuk mengambil peluang untuk berkenalan atau bersembang lebih dengan beliau walaupun beliau ialah antara individu yang rapat dengan kami daripada ISMA-Mesir yang menyertai mukhayyam ini.

Apabila majlis tamat dan aku pulang ke rumah, ketika aku memikirkan faedah yang ku dapat daripada program ini, tiba-tiba sahaja kata-kata beliau muncul dalam kepalaku. Sedangkan pada ketika beliau melafazkan kata-kata itu, aku tidak pun menumpukan perhatian dan tidak memandang penting kata-kata itu. Aku tidak berhasrat juga untuk memahatkan kata-kata itu di dasar mindaku.

Kata-kata itu bagaikan sebiji buah yang masak ranum, gugur di atas tanah lalu menjadi biji benih yang subur. Tiba-tiba tunas muncul di permukaan tanah bakal menjadi sebatang pohon yang teguh.

Aku sangat bersyukur kerana berpeluang menghadiri mukhayyam itu, kerana walaupun tidak seratus peratus aku mampu membawa balik faedah, sekurang-kurangnya aku mendapat sedikit tempias semangat para pejuang HAMAS dan mencontohi kegigihan mereka dalam berjuang.

Sekurang-kurangnya, sebiji benih telah mula bercambah menjadi anak pokok dan bakal menjadi sebatang pohon yang bakal berbunga, berbuah dan menyebarkan lagi benih-benih; walaupun tanpa sengaja, akan tetap ku baja.

Pada 24062012 di Mesir

Asalnya, aku bercadang hendak menulis tentang perkara lain.

Namun, perasaan gembira atas kemenangan Dr. Mohammed Morsi, calon presiden yang diajukan oleh Ikhwanul Muslimin mengatasi perasaanku untuk menulis tentang perkara itu.

Aku ingin merakamkan kenangan ini. Aku ingin memahatnya di permukaan kenangan.

Semalam, telah diumumkan kemenangan beliau. Kemenangan yang diiringi doa masyarakat dunia. Kemenangan yang diraikan seluruh pencinta Islam. Kemenangan yang dicita-citakan, dan diidam-idamkan.

Semalam, beliau telah memberi ucapan sulungnya. Di hadapan rakyat dengan isi ucapan iras-iras ucapan pemerintah Islam pada zaman kegemilangan. Ucapan yang aku yakin lahir daripada janin takwa, hasil penyemaian benih tauhid.

Moga terus menjadi anak yang soleh dan berbakti buat rakyat.

Walaupun, secara peribadi, aku berpendapat kemenangan Dr. Morsi bukanlah kemenangan Islam. Bagi aku, kemenangan Dr. Morsi ialah kemenangan calon Islam yang dipilih oleh rakyat yang letih dengan kezaliman dan kebobrokan pemimpin lalu.

Kemenangan calon Islam, akan membawa kepada kemenangan Islam. Kalau qudwah yang baik ditunjukkan oleh beliau, dan qudwah itu menawan hati rakyat.

Sebuah misi yang harus ditampung oleh semua penggerak dakwah Islam di seluruh dunia. Saling bantu-membantu; bukan sekadar gembira dan membiarkan beliau seorang di atas sana; bukan sekadar seronok dan mengucapkan tahniah tanpa apa-apa sumbangan.

Banyak peranan yang perlu kita mainkan. Banyak hal yang harus kita sempurnakan, untuk melengkapkan kekosongan misi ini.

Allah musta’an.

Imitasi

Tadi, seorang yang telah menjadi punca aku ke Mesir telah berlepas pulang ke tanah air. Setelah beliau berjaya menamatkan pengajian dengan lancar dan licin, dengan nusrah Allah, kerana keikhlasan dan ketekunan beliau dalam segenap lapangan yang diterokainya.

Secara jujurnya, tiada perasaan sedih atau sayu. Sebabnya, minda aku telah terlaras dengan hakikat bahawa akan ada pertemuan semula selagi jasad dikandung nyawa.

Sebelum ini pun sejak sekolah menengah lagi (Sekolah Izzuddin Shah) aku telah mengenalinya. Berpisah sekejap ketika tingkatan 4. Beliau ke KISAS, aku ke SMAPK. Bertemu semula di INTEC setelah aku mengimitasi tindakannya memilih Mesir sebagai destinasi lanjutan pengajian.

Bezanya, barangkali beliau bermatlamat, dan aku sekadar imitasi.

Selesai persediaan di INTEC selama tiga bulan, kami berlepas ke Mesir. Aku ke Mansurah, beliau di Kaherah. Rezeki Allah SWT, aku sangat bersyukur kerana mengizinkan aku mengenali dakwah dan tarbiah di sini. Sebahagian besar perkenalan aku dengan erti dua perkara ini adalah disebabkan oleh jasa beliau.

Kami sama-sama berlatih di gelanggang tarbiah yang sama. Seperti ketika di Sekolah Izzuddin Shah dahulu, kami sama-sama berlatih di gelanggang silat yang sama.

Bezanya, beliau maju kerana jihad dan keikhlasannya. Aku agak perlahan kerana masih terikat dengan beban noda.

Tiada apa lagi cara untukku maju seperti beliau, kecuali dengan imitasi. Kerana imitasilah aku sampai di Mesir dan mengecapi erti dakwah dan tarbiah.

Terima kasih, Hafiz.

Petikan daripada laman blog beliau:

5 perkara sebagai perkongsian bersama:

1. Tarbiyah & Dakwah. Ini perkara paling utama dalam hidup kita. Letakkan semua perkara dalam kerangka ini. Kita sendiri bertanggung jawab terhadap pembinaan keperibadian Islam kita. Jangan sesekali melihat ia tanggung jawab orang lain. Hormati dan belajarlah dari para Murabbi siapa pun dia. Para Murabbi mengajar dan mendidik. Tetapi keputusan untuk membuat perubahan di tangan masing-masing.

2. Bahasa Arab. Manfaatkan setiap peluang di Mesir untuk kuasai Bahasa Arab sebaiknya. Dari membaca, menulis, bercakap dan berbincang. Jangan berhenti belajar dan mudah rasa puas hati. Belajar dengan tekun sehingga kita bermimpi dan berfikir dalam Bahasa Arab.

3. Pengurusan Masa. Kurangkan perkara harus dan kurang penting (facebook). Banyakkan membaca. Orang biasa jadualnya bertukar antara perkara-perkara harus. Tetapi pendakwah jadualnya bertukar antara perkara-perkara wajib. Sehinggalah kita merasai apa yang dipesan oleh Al-Banna bahawa kewajipan lebih banyak dari masa yang kita ada.

4. Luaskan Pembacaan. Isi semua masa lapang dengan membaca.Jangan pernah merasa cukup dengan pembacaan sedia ada. Baca bahan yang berkualiti dan membina. Kuasai Bahasa Arab dan Inggeris dengan baik.

5. Belajar dari pendakwah Mesir. Contohi kesungguhan dan kelasakan mereka. Sifat tawadhuk dan kemesraan mereka. Teladani tajarrud mereka dari dunia dan isinya. Ambil pengalaman dan inspirasi dari mereka. Cari segala ruang untuk contohi mereka.

Saya meninggalkan Mesir separuh hati. Kerana ia tak akan pernah hilang dari hati saya.

Dr. Muhammad Hafiz Bin Khairudin

No Tel Rumah: 05-7764772 (Satu-satunya nombor telefon yg aku hafal selain nombor telefon rumah aku)

Selesaikan…

Sudah selesai…

Hari ini giliran Syafi, yang terakhir daripada tiga orang (Faisal dan Aizuddin) pulang ke Malaysia selepas berjaya menamatkan pengajian mereka.

Tinggal kami berempat di sini, dengan tanggungjawab yang belum tertunai. Aku mohon pada-Mu Allah, pimpinlah perjalanan kami yang berbaki ini.

Dunia terus berputar, kenangan sekadar memori untuk dikenang… kebarangkalian masa depan ialah hakikat yang sebenarnya…

Jatuh bangun

Pagi tadi, aku menduduki peperiksaan lagi. Subjek Internal Medicine buat kali yang kedua. Kali ini dengan semangat yang berbeza. Kalau sebelum ini, aku tidak mampu menjawab subjek dengan baik, lalu aku jatuh semangat. Aku tidak menghadiri kertas seterusnya dengan jiwa dan jasadku.

Kali ini, hari ini, aku dan dua orang lagi kawanku (Abdul ‘Azim dan Abdul Hakim Mustaffa) mendepani subjek ini lagi. Masing-masing dengan bekal persediaan masing-masing. Dicurahkan di atas kertas dengan kadar yang telah diisi.

Aku harap mereka berdua akan berjaya dan terus cemerlang untuk kertas yang seterusnya. Aku pula? Bagaimana? Adakah aku mampu menjawab dengan baik kali ini?

Aku malas nak jawab apabila ditanya orang tentang peperiksaanku. Sebabnya, aku yang seorang ditanya oleh semua orang. Letih nak menjawabnya.

Yang penting, kali ini aku tidak akan berundur.

Aku pernah terjatuh apabila melalui jalan ini. Apabila aku jatuh lagi, aku sudah tidak sakit lagi. Aku semakin kenal, sedikit demi sedikit; kedudukan bonggol, duri dan selekoh di jalan ini.

Penghujung jalan ini masih misteri. Aku tetap akan terus berjalan, walaupun lambat dan sering terjatuh.

Luka akan sembuh, jika aku berusaha merawatnya.

“Try and fail, but don’t fail to try.” – Stephen Kaggwa

Previous Older Entries