Sampah-sarap

Hari ini aku cuti daripada kerja, setelah beberapa minggu tidak berpeluang untuk mendapat cuti kerana bilangan doktor pelatih yang kurang di wad. Akibat kekurangan ini, kami terpaksa bekerja terus-menerus sehinggalah hari ini aku mendapat cuti rehat setelah bilangan doktor pelatih mencukupi apabila ada gelombang baru doktor pelatih yang telah selesai latihan di jabatan lain.

Pagi ini, di taman permainan di hadapan rumah sewa aku ada sepasang suami isteri sedang mengutip sampah sarap di situ sambil-sambil mereka berjalan menghirup udara nyaman. Aku baru perasan, mereka ini memang selalu datang ke taman ini dan mengutip sampah-sarap yang dibuat oleh mereka yang menggunakan taman ini pada petang sebelumnya.

Kelaziman yang mulia dan jarang dalam kalangan masyarakat kini.

Kelaziman yang biasa ialah berpolitik dengan bodoh. Selalunya mereka inilah yang membuat sampah-sarap itu.

Ada juga yang berpolitik bodoh dengan mengaku ahli politik tapi bergambar seksi di dalam buku feminis barat. Kononnya perbuatannya mulia padahal dia sedang membuat sampah seperti mereka yang membuang sampah di taman itu juga. Mereka yang seperti itu merasakan mereka sangat bagus dan tidak membuat sampah-sarap. Mereka sering mengutuk pembuang sampah-sarap sedangkan mereka tidak sedar bahawa mereka juga sedang membuat sampah-sarap daripada bahan yang berbeza.

Kedua-duanya tetap sampah-sarap.

Kadangkala aku sendiri bertindak sebagai sampah, apabila bekerja sebagai doktor ini. Semalam aku dimaki seperti seorang sampah oleh Dr. Alex. Sebabnya, aku rujuk kes kepadanya, dan apabila dia datang, dokumen lama pesakit yang aku rujuk itu belum sampai. Dia marah-marah. Aku hanya membiarkan diri aku disampahkan.

Dr. Anilah, pakar endokrin di Jabatan Perubatan banyak menegur kekurangan diri aku. Dia selalu menyuruh supaya aku berpenampilan dengan lebih meyakinkan, serta membentang kes dengan lebih yakin.

“Berapa umur sekarang?” tanya Dr. anilah.

“28,” jawab aku.

“Kawan-kawan sebaya ada yang dah jadi manager. Yakin sikit,” nasihat beliau. Aku sangat berterima kasih kepada beliau. Aku akui bahawa aku masih sampah dalam prestasi aku dan aku harus membaikinya.

Cuma, adakah menjadi manager itu satu pencapaian yang memberi makna kejayaan?

Ahli politik adakah mereka itu berjaya? Dyana Sofia itu aku ingat lebih kurang aku umurnya dan dia ialah seorang ahli politik, lepasan UiTM dan peguam lagi. Tetapi tindakannya itu, lebih sampah daripada kesampahan aku.

Ada orang hanya melihat kesampahan orang lain, sedangkan diri sendiri sedang menjilat sampah. (Baca: pembangkang vs BN)

Falsampah

Lautan Sampah

Sampah masih terbiar di hadapan pintu jiran sebelah. Di tingkat bawah, bahagian dalam pintu pagar pun sampah masih terbiar. Bau busuk menusuk hidung, dan jiwa. Sampah lama semakin berlendir dan ada kesan-kesan lendiran meleleh keluar daripada bungkusan mengotorkan permukaan lantai.

Sampah ialah antara subjek yang menjadi pilihanku untuk menjadi bahan renungan dan kajian. Aku akan berusaha untuk mengekstrak falsafah yang terpendam di dalam sampah-sampah yang semakin bertimbun di seluruh pelusuk dunia.

Tindakan pertamaku ialah aku harus menjadi penyingkir sampah. Namun, ke mana harus ku singkirkan sampah-sampah itu? Ke mana-mana pun ku singkirkan, aku sebenarnya masih mengotorkan dunia ini.

Dunia ini tempat sampah rupa-rupanya…