Restrospektif awal perkahwinan

Setelah beberapa aku tidak mencatat, pelbagai perkara yang terpendam di dalam diri ini selama menempuhi kehidupan bergejolak, memaksa untuk aku supaya terus memahatnya. Terutama apabila aku menonton siri Jejak Rasul As-Salam: Saudara Dari Timur, kembara Anwar Afiq di negara Korea, Jepun dan Taiwan menziarahi saudara se-Islam yang menetap di sana, membawa aku mengenang kembali pengalaman aku mengembara sepanjang 7 tahun 10 bulan di Mesir.

Antara keseronokan di Mesir dahulu ialah berkenalan dengan kawan-kawan Muslim dari pelbagai negara dan mengenali budaya mereka. Keseronokan ini meletakkan azam dalam diriku supaya satu hari nanti aku kembali ke sana membawa isteri tersayang melihat negara itu dan menziarahi negara-negara lain dan melihat kebudayaan masyarakat Muslim di sana.

Aku sudah menikahi seorang wanita yang cantik pada 25 April 2015. Nur Najwa Hanim binti Ab Latif, seorang wanita yang sangat unik, aktif dan cerdik. Membuatkan aku menjadi rendah diri sebagai suaminya, berasa sangat bertuah dan memberi inspirasi kepadaku untuk menjadi lelaki dan suami yang lebih baik, berdikari dan mampu memimpin.

Sepanjang pernikahan hampir lebih dua bulan mencecah tiga bulan ini, aku telah dibawa meneroka satu dimensi baharu yang tidak pernah aku kenal atau jangka sebelum ini. Ruang itu memerlukan tingkat toleransi yang tinggi dan inisiatif pemahaman yang maksimum. Teori ketika ini tidak sepenuhnya serupa ketika praktikal, aplikasi perlu dinamik untuk adaptasi. Pengorbanan fizikal dan emosi adalah satu kelaziman yang pantang diungkit. Cinta dan kasih sayang harus disemai setiap ketika supaya bahang konflik dapat disejukkan untuk mencipta suasana harmoni yang nyaman.

Pelbagai cabaran telah mula dihadapi sepanjang hampir tiga bulan ini dan kalau diikutkan lumrah kehidupan berumahtangga dijangka akan datang pelbagai lagi cabaran. Kami harus sentiasa bersedia dengan iman dan taqwa, kasih sayang dan cinta, ilmu dan amal agar bahtera kami belayar teguh menghadapi gelombang dan badai menuju daratan yang dicita-citakan.

Kali ini kami berpeluang bersama-sama menyambut Ramadan dengan penuh sederhana sambil menyempurnakan komitmen terhadap kerjaya. Perselisihan manja tetap ada antara kami, saat gembira harus sentiasa dicipta agar istana kebahagiaan dapat terus terbina sedikit demi sedikit. Kami dihiburkan sebentar oleh Tuhan dengan berita kehamilan isteri yang dicintai, kemudian kami diuji dengan nikmat itu ditarik semula apabila disahkan kandungan itu keguguran.

Kami tetap berusaha untuk bersyukur. Kami terus cuba untuk terus reda. Walaupun payah, kami pasrah.

Isteriku kini sedang menjalani proses penyembuhan akibat keguguran ini. Proses penyembuhan fizikal dan emosi, dengan mengambil rehat secukupnya, dan aku harap beliau dapat mengambil peluang ini untuk menenangkan keresahan jiwanya.

Sepanjang dua minggu, kini isteriku sedang berada jauh di Rawang dan aku di Ipoh. Sepanjang tempoh ini aku menghayati kejauhan ini, aku menyemaikan lagi rasa cinta dan rindu melalui jarak ini. Aku berusaha menyuburkan cinta dengan mengenangkan jasa-jasanya dan pengorbanan yang telah dilakukan untuk aku sepanjang tempoh perkahwinan kami.

Pernikahan ini kehidupan. Kehidupan ini pengembaraan. Tidak ubah seperti pengembaraan aku ke Mesir atau mana-mana pengembaraan. Apabila ia telah berlalu, keseronokannya nanti akan dikenang-kenang.

Aku akan cuba memastikan isteriku tidak berduka disebabkan aku. Kerana aku sudah banyak melukainya.

Ya Allah, ampuni kami. Teguhkan kami dalam perjalanan ini. Tetapkan kami atas jalan-Mu.

Ya Allah, aku mencintai isteriku!

Advertisements

Sampah-sarap

Hari ini aku cuti daripada kerja, setelah beberapa minggu tidak berpeluang untuk mendapat cuti kerana bilangan doktor pelatih yang kurang di wad. Akibat kekurangan ini, kami terpaksa bekerja terus-menerus sehinggalah hari ini aku mendapat cuti rehat setelah bilangan doktor pelatih mencukupi apabila ada gelombang baru doktor pelatih yang telah selesai latihan di jabatan lain.

Pagi ini, di taman permainan di hadapan rumah sewa aku ada sepasang suami isteri sedang mengutip sampah sarap di situ sambil-sambil mereka berjalan menghirup udara nyaman. Aku baru perasan, mereka ini memang selalu datang ke taman ini dan mengutip sampah-sarap yang dibuat oleh mereka yang menggunakan taman ini pada petang sebelumnya.

Kelaziman yang mulia dan jarang dalam kalangan masyarakat kini.

Kelaziman yang biasa ialah berpolitik dengan bodoh. Selalunya mereka inilah yang membuat sampah-sarap itu.

Ada juga yang berpolitik bodoh dengan mengaku ahli politik tapi bergambar seksi di dalam buku feminis barat. Kononnya perbuatannya mulia padahal dia sedang membuat sampah seperti mereka yang membuang sampah di taman itu juga. Mereka yang seperti itu merasakan mereka sangat bagus dan tidak membuat sampah-sarap. Mereka sering mengutuk pembuang sampah-sarap sedangkan mereka tidak sedar bahawa mereka juga sedang membuat sampah-sarap daripada bahan yang berbeza.

Kedua-duanya tetap sampah-sarap.

Kadangkala aku sendiri bertindak sebagai sampah, apabila bekerja sebagai doktor ini. Semalam aku dimaki seperti seorang sampah oleh Dr. Alex. Sebabnya, aku rujuk kes kepadanya, dan apabila dia datang, dokumen lama pesakit yang aku rujuk itu belum sampai. Dia marah-marah. Aku hanya membiarkan diri aku disampahkan.

Dr. Anilah, pakar endokrin di Jabatan Perubatan banyak menegur kekurangan diri aku. Dia selalu menyuruh supaya aku berpenampilan dengan lebih meyakinkan, serta membentang kes dengan lebih yakin.

“Berapa umur sekarang?” tanya Dr. anilah.

“28,” jawab aku.

“Kawan-kawan sebaya ada yang dah jadi manager. Yakin sikit,” nasihat beliau. Aku sangat berterima kasih kepada beliau. Aku akui bahawa aku masih sampah dalam prestasi aku dan aku harus membaikinya.

Cuma, adakah menjadi manager itu satu pencapaian yang memberi makna kejayaan?

Ahli politik adakah mereka itu berjaya? Dyana Sofia itu aku ingat lebih kurang aku umurnya dan dia ialah seorang ahli politik, lepasan UiTM dan peguam lagi. Tetapi tindakannya itu, lebih sampah daripada kesampahan aku.

Ada orang hanya melihat kesampahan orang lain, sedangkan diri sendiri sedang menjilat sampah. (Baca: pembangkang vs BN)

Catatan awal 2015

Sengaja hendak mencatat sesuatu.

Sekarang adalah musim banjir. Kali ini musibah yang melanda agak teruk, berbanding tahun-tahun lalu. Banyak negeri yang terlibat dan kawasan yang terlibat itu pula mencapai tahap sehingga terputus hubungan dengan kawasan luar, bekalan elektrik dan pelbagai sumber asas seperti makanan.

Kawasan aku di Perak Tengah seperti Parit dan Tanjung Belanja turut terlibat, tetapi tidak sampai tahap terputus hubungan. Paras air yang naik sekadar menyebabkan gangguan terhadap kediaman dan semua mangsa dipindahkan ke tempat perlindungan sementara. Setakat ini sudah lebih 7000 mangsa yang dipindahkan di Perak sahaja.

Aku sebut peristiwa ini kerana aku ada sedikit ralat tidak menyumbangkan walau sedikit bantuan untuk mereka kali ini. Aku hanya bersimpati dan melihat dari jauh. Aku hanya berdoa walaupun aku mampu untuk menyumbang lebih. Aku kali ini lebih menumpukan perhatian terhadap diri aku sendiri.

Aku akan memulakan posting seterusnya sebagai seorang doktor pelatih di jabatan baru esok. Hal ini yang menjadi tumpuan utama fikiran aku kini kerana jabatan yang seterusnya ini boleh dikatakan jabatan yang killer antara semua jabatan. Jabatan perubatan merupakan satu jabatan utama yang sukar tetapi membina seorang doktor pelatih itu untuk menjadi doktor sebenar.

Menjadi doktor sebenar? Heh!

Sebelum ini, semenjak sekolah menengah lagi aku secara terus terang, tak ingin menjadi doktor. Aku terus-terang menyatakan hal ini apabila ditanyakan tentang cita-cita aku. Kecenderunganku ketika itu lebih kepada seni dan sastera. Terutamanya apabila aku telah didorongkan oleh Cikgu Ros ketika itu dalam aktiviti seni sastera dengan menyertakan aku dalam satu pertandingan Kuiz Sastera yang menyebabkan aku memperoleh naib johan peringkat negeri Selangor ketika belajar di SMAPK dahulu. Hadiah yang diperoleh ialah novel Imam tulisan Sasterawan Negara Abdullah Hussain.

Semenjak hari itulah aku semakin meminati seni dan sastera. Aku telah banyak membaca buku-buku sastera untuk menyediakan diri aku bagi pertandingan kuiz itu. Hadiah novel itu juga menyebabkan aku mula meminati SN Abdullah Hussain.

Semalam beliau telah kembali ke rahmatullah. Aku telah melalui zaman peralihan remaja ke dewasa dengan membaca novel-novel beliau. Novel beliau juga banyak mengesani diri aku dan cara aku menulis di dalam blog ini.

Namun, aku hanya boleh mengenang semua itu. Esok aku tetap akan terus memulakan hari di jabatan perubatan. Harap-harap aku mampu bertahan. Harap-harap aku mampu menjadi seorang doktor yang berjasa untuk rakyat dan sastera.

Mudah-mudahan.

Catatan penghujung 2014

Catatan penghujung 2014

Beberapa tempoh setelah kembali dari Mesir, aku kini sudah melalui saat-saat pelbagai, sebahagiannya bermanfaat, ada juga yang sia-sia sekadar menghabiskan umur emasku. Sekadar menyenaraikan beberapa hal yang telah dilalui:

1. Bekerja di Mydin sebagai juruwang selama lima bulan. Satu kontradiksi dengan kerjaya terkini, bukannya pada aku tetapi pada orang lain yang mendengar. Bagi aku, tiada peliknya bekerja sebagai juruwang walau apa jenis ijazah yang dimiliki. Hal ini bagi aku satu ketempangan minda masyarakat yang perlu dibetulkan kerana telah terbenam dalam sampah materialistik.

2. Menyertai bengkel Drama Festival Kuala Lumpur anjuran TV3. Seni dan sastera merupakan satu cabang minat yang aku anuti sejak sekolah menengah. Namun begitu aku tidak serius dan yakin dengan kebolehan diri sendiri. Aku sekadar meminati da bersorak di tepi padang. Kemudian, aku melihat iklan di TV3 tentang penganjuran bengkel ini. Aku menyertai dengan harapan, sesuatu akan dicungkil dari dalam diri aku. Apabila aku sampai di sana, bagi aku boleh tahanlah bengkel tersebut, dan bukanlah bengkel sebenarnya, bentuk penganjurannya lebih kepada seminar atau kuliah. Aku berkesempatan menyertai bengkel lakonan dengan Fatimah Abu Bakar, Sharifah Amani dan Fauziah Nawi, bengkel muzik dengan Azmeer dan Hafiz Hamidon, bengkel penulisan skrip dengan Wan Hasliza dan Rozie Rashid, bengkel pengarahan dengan Kabir Bhatia dan Sabri Yunus. Aku sebenarnya lebih sebagai pendengar sahaja di dalam kesemua bengkel ini. Sekarang aku sudah lupa semua yang disampaikan. Aku hanya ingatkan suasana dewan dan suasana program ini sahaja.

3. Dari segi pengembaraan, banyak tempat yang aku telah kunjungi sebenarnya, walaupun tidaklah sebanyak mana pun. Aku cuba memenuhi kegemaran peribadiku iaitu mengembara dalam keadaan terhad iaitu tidak mempunyai kenderaan sendiri. Aku cuba penuhi nafsu berjalan ini dengan mengajak kawan-kawan dan menumpang kereta dan rumah mereka. Alhamdulillah, aku dapat ke Kuala Lumpur dengan menumpang rumah Akmal Afiq, ke Kuala Kangsar dan Taiping dengan menumpang kereta dan rumah Hanif Khairudin, ke PUlau Pinang dengan menumpang kereta dan rumah Naeem, ke Muzium Matang dan Pasir Salak dengan menumpang program anjuran ISMA. Setiap perjalanan itu telah memberi kesan yang tersendiri terhadap diri aku luar dan dalam.

4. Aku telah membeli kenderaan sendiri, Proton Iswara daripada sepupuku dengan harga RM3000. Syukur dengan pembelian ini aku dapat bergerak ke sana sini dengan mudah.

5. Aku telah mengenali seseorang yang akan dinikahi tidak lama lagi jika diizinkan Allah SWT. Sekarang dalam proses-proses akhir. Doakan.

6. Aku telah memulakan kerjaya sebagai seorang doktor. Aku akui yang aku tidak menyukai kerjaya ini. Tetapi selagi aku menjadi seorang doktor aku akan cuba menyempurnakan tanggungjawab ini sebaik mungkin. Sekarang sudah tiga bulan dan aku akan memasuki jabatan yang seterusnya iaitu perubatan dalaman.

Banyak lagi yang tidak aku catatkan. Aku sendiri tidak menyedari bahawa masa ini berjalan sangat pantas sehinggalah tiba tarikh-tarikh yang menandakan perubahan waktu seperti tahun baru ini. Sikap aku pula masih tidak berubah, masih seperti dulu. banyak unsur negatif masih tidak luntur, malah ada yang masih pekat. Sedangkan aku tahu, unsur itu adalah punca aku gagal untuk terus maju ke hadapan.

Aku tulis hal ini, mungkin tiada sesiapa yang membacanya. Sekurang-kurangnya untuk aku sendiri menilai diri aku. Banyak hal yang berada di dalam diri aku meronta-ronta untuk dilepaskan di dalam bentuk tulisan, tetapi aku sendiri tidak mempunyai masa untuk menulis. Malah, kadangkala apabila aku ingin menulisnya, segala-galanya bagaikan sesuatu yang tidak dapat dijelmakan.

Aku sendiri sebenarnya terasa bagaikan sedang terperangkap di dalam seuatu kurungan yang aku tidak dapat ekspreskan di sini apakah kurungan itu sebenarnya. Aku rasa seperti sedang dipenjara dan aku tidak keruan dalam setiap perbuatanku. Apabila aku berada di wad sedang bekerja, sedang mengikuti rondaan yang diadakan oleh pakar, kadangkala aku akan merenung ke luar memandang langit dan kenderaan yang bersimpang siur di jalan. Apabila aku sedang berkejaran dari wad ke wad, di beranda wad aku terlihat gunung yang jauh dengan kepulan awan yang mengerumuni puncaknya. Begitu juga apabila aku sedang memandu laju sewaktu pulang dari kerja, aku melontarkan renunganku jauh ke hutan-hutan di permukaan gunung dan langit yang kebiruan.

Aku seperti mahu pergi jauh, ke satu tempat, meneroka kemanusiaan, menggali pengalaman, mencipta kenangan, membina persahabatan, mengenal kebudayaan, menyendirikan jiwa, merenung diri.

Aku mahu melihat alam ini dengan lebih luas. Ketika aku pergi itu, aku tidak mahu ada sesuatu yang mengikat aku agar aku tidak bebas sepenuhnya.

Aku tidak ingin hidup di bawah bumbung. Langit dan gunung itu adalah inspirasi aku. Inspirasi untuk hidup, inspirasi untuk karya.

Faham ke?

Entah

Lama tidak mencatat di sini. Ketika aku mencatat ini, aku sudah menjadi seorang pegawai perubatan hampir kepada tiga bulan. Semenjak kali terakhir aku catatan aku di sini, walaupun tidak menceritakan kisah semasa diri aku, banyak perubahan yang mula berlaku sama ada pada diri aku sendiri ataupun persekitaran.

Perubahan-perubahan tersebut merupakan sebahagian episod perjalanan hidup yang telah direncanakan oleh Allah SWT. Ada juga yang mengejutkan aku secara peribadi.

Aku juga telah memulakan langkah untuk menaiki beberapa peringkat kehidupan seorang manusia, dalam perjalanan menuju pengakhiran kehidupan.

Usia semakin meningkat. Jasad mula berusia dan menunjukkan tanda-tanda pertambahan tersebut. Aku pula berjalan dengan sangat perlahan.

Kerjaya doktor, menurut seorang kawan aku di Mesir, merupakan satu kerjaya idaman setiap orang. Mungkin ya bagi sesetengah orang. Tetapi tidak bagi diri aku.

Aku tidak menafikan kebajikan yang diperoleh melalui kerjaya ini. Cuma, yang tidak digemari oleh aku, kehidupannya yang tidak kena dengan kegemaranku.

Kegemaranku ialah keluasan dunia ini. Sama ada melalui pengembaraan, penerokaan, pembacaan, penelitian sejarah silam, karya seni sastera dan filem. Hal ini kerana terdapat emosi yang diselit melalui semua itu. Emosi itu disampaikan ke dalam hati dengan penghayatan. Terdapat juga pengalaman di dalam semua perkara itu.

Kerjaya doktor, merupakan satu kerjaya yang mulia tetapi bagi diri aku di negara ini kerjaya ini merupakan satu tekanan dan kongkongan. Kongkongan terhadap teori-teori yang telah digariskan oleh saintis terdahulu.

Semuanya harus tepat dan mengikut protokol. Tersilap langkah, padah akibatnya. Terkongkong dengan teori, tidak kena dengan jiwa aku.

Oleh sebab itu, bagi menghadapi hari-hari mendatang, aku cuba mencari emosi melalui kerjaya ini. Kemanusiaan yang tersembunyi di sebalik jasad yang lemah dan senantiasa rapuh.

Penghayatan itu yang cuba aku tanam dalam diri aku. Untuk meneguhkan hati aku. Aku cuba mengecilkan kehidupan kerjaya doktor ini. Aku cuba menjenguk ke luar yang lebih luas.

Aku cuba berpaut pada matlamat kehidupan yang lebih besar. Agar dapat mendepani cabaran-cabaran kecil kerjaya ini.

Dunia ini sangat luas. Aku harus sedar akan hal itu.

Suratan (5)

5. Pertemuan di Taiping

Urusan dokumen yang diperlukan untuk pendaftaran sebagai pelatih pegawai perubatan di hospital belum lagi siap walaupun setelah hampir tujuh bulan aku menunggu dan kawanku di Mesir tolong menguruskannya. Hal ini berpunca daripada sikap warga Arab Mesir yang dikenali sebagai satu jenis manuisa yang sukar untuk menepati janji dan membuat kerja dengan sambil lewa (suka memaparkan kulit yang kelihatan cantik sedang rapuh dan berisi busuk).

Aku terpaksa menjalani kehidupan sebagai seorang penganggur disebabkan oleh hal tersebut (setelah aku berhenti daripada kerjayaku di Mydin selama lima bulan). Maka, aku pun merancang pelbagai aktiviti untuk diisi sepanjang tempoh pengangguran ini.

Aku telah merancang dengan salah seorang sahabatku, Hanif Khairudin untuk menziarahi Taiping. Antara tarikan utama bagiku untuk menziarahi tempat itu ialah zoo dan muzium. Gaya tersendiriku apabila menziarahi sesuatu tempat ialah aku gemar untuk mengunjungi tinggalan atau monumen bersejarah. Namun begitu, Hanif pula lebih cenderung kepada gaya yang diamalkan oleh kebanyakan orang apabila berjalan mengunjungi sesuatu tempat iaitu menikmati makanan istimewa tempat itu. Aku berasa agak gembira apabila Hanif mencadangkan beberapa tempat makan yang dikatakan menjadi tarikan Taiping, di samping dapat mempelajari satu gaya baru (bagi diriku) lawatan ke tempat menarik.

Salah satu tempat makan yang disasarkan oleh kami ialah Bismillah Cendol. Selepas aku pulang dari lawatan ini, aku memaklumkan kepada ayahku bahawa kami telah menikmati hidangan cendol yang terkenal di Taiping iaitu “Cendol Bismillah”, lalu dia membetulkan aku.

“Bismillah Cendol,” aku mengakui pembetulan itu. Memang tertulis sebegitu. Bukannya “Cendol Bismillah”. Di kedai itu, sedang kami menikmati cendol kacang merah, aku terpandang seorang lelaki yang berusia dalam 50-an sedang turut menikmati cendol di meja di seberang sebelah dinding. Wajahnya seperti sangat biasa dilihat dan aku agak diriku sememangnya mengenali beliau. Fikiranku bekerja keras memikirkan siapakah lelaki itu, yang ketika aku memandang wajahnya, dia turut membalas pandanganku.

Hanif ketika itu turut pelik melihat lelaki itu yang merenung kami dengan keningnya berkerut dan matanya dijegilkan. Mulutnya pada sebelah kanan terangkat sedikit, bagaikan sedang curiga memandang kami. Aku terus berfikir dan cuba untuk mengingat siapakah pemilik wajah itu. Hanif berasa agak janggal dengan situasi itu cuba untuk tidak mengendahkan renungan lelaki itu dan terus menghirup cendolnya.

Lelaki itu mengelap mulutnya dengan tisu dan membayar harga cendolnya. Selepas itu, dia terus menuju ke meja kami dan masih merenung wajahku. Aku teragak-agak cuba bersalam dan mulutku cuba berkata sesuatu. Jari telunjukku menuding-nuding ke atas sambil terus berusaha mengingati.

“Kenapa?” lelaki itu bersuara dengan renungan yang garang.

“Ustaz Sekolah Izzuddin!” aku bersuara tiba-tiba. Entah bagaimana perkataan itu muncul aku sendiri tidak tahu. Hanif terus menghirup cendolnya.

“Kamu siapa?”

“Kami bekas pelajar.”

“Tahun berapa?”

Aku berfikir lagi, “2000 hingga 2002. Ustaz…?”

“Ustaz Mad Isa,”

“Ha!” aku terus teringat siapakah beliau. Hanif turut bersalam. Ustaz Mad Isa di Sekolah Izzuddin dahulu pernah menjadi warden kami. Walaupun aku secara peribadi tidak terlalu rapat dengan beliau, disebabkan kami tinggal di asrama, secara tidak langsung warden akan mengenali wajah kami walaupun tidak mengenali nama kerana sepanjang masa mereka bersama kami dan menjaga kebajikan kami.

Beliau kini tidak lagi mengajar di Sekolah Izzuddin Shah tetapi sudah menjadi guru penolong kanan di Sekolah Menengah Kebangsaan Kubu Gajah. Beliau datang ke Taiping kerana ingin ke Pejabat Tanah. Kebetulan ketika beliau sampai, pejabat tanah sedang tutup untuk waktu rehat. Lalu beliau singgah ke gerai cendol ini. Kebetulan, ketika beliau singgah, kami pun turut singgah di situ.

Sebesar-besar Taiping, Allah telah takdirkan kami bertemu di gerai sekecil ini. Selepas bersalam dan mengucapkan selamat, beliau berjalan keluar daripada gerai Bismillah Cendol, meninggalkan kami yang masih meneruskan hirupan cendol.

Diskusi motokar

Aku mengistilahkan aktiviti menarik ini setelah melalui beberapa pengalaman perbincangan bersama beberapa orang kawan di dalam kereta. Aku tidak pasti kenapa begitu seronok perbincangan sebegini.

Idea mencurah-curah keluar dan pertukaran pendapat sangat rancak apabila seorang memandu dan seorang lagi duduk di sebelahnya sambil kereta yang dipandu meluncur di atas jalan raya, sama ada berdestinasi atau tidak.

Aku telah melalui aktiviti ini dengan jayanya bersama beberapa orang rakan. Azril (kawan sekolah rendah), Naeem (kawan di Mesir), Hanif (kawan SIS dan Mesir), dan yang terbaru Muhammad Hasbullah (kawan SMAPK dan Mesir).

Diskusi di dalam motokar Azril Ishak, kawan lama yang lama tidak bersua semenjak kami masing-masing membawa haluan setelah tamat sekolah rendah di Sekolah Kebangsaan Iskandar Shah berlaku beberapa kali setelah kami bertemu semula pada suatu temujanji di Mydin Meru Raya.

Ketika pertemuan awal, aku agak kekok. Azril yang merupakan seorang pegawai perubatan di Hospital Manjung, aku lihat sebagai seorang yang berkeyakinan tinggi dan selamba. Ideanya banyak yang menarik dan membuka perspektif baru terhadap kehidupan sebagai seorang pengamal perubatan di hospital. Aku banyak bertanya tentang pengalamannya mendepani kehidupan tersebut. Dia juga banyak menceritakan pengalamannya di Indonesia.

Rumusan perbincangan lebih kepada pertukaran pengalaman antara dua orang rakan yang sudah lama tidak bertemu. Kami pernah berdiskusi di dalam kereta Hyundainya dua kali; satu di Ipoh, dua di Parit dan Seri Iskandar.

Hanif Khairudin, salah seorang junior di Sekolah Izzuddin Shah, adik kepada Hafiz, kawanku semenjak di SIS, di Mesir kami banyak bertemu dan aku sering menumpang tidur di rumahnya. Keretanya merupakan tapak diskusi yang terbanyak kerana kami berdua banyak berjalan-jalan.

Kami berbincang tentang pelbagai topik terutamanya tentang abangnya, tentang perbezaan pemikiran, cara berfikir dan motivasi dalam pelbagai hal seperti kerjaya doktor. Perjalanan kami meliputi Kuala Kangsar dan Taiping.

Perbincangan dengan Naeem, kawanku dan pelajar farmasi di Mansurah, Mesir antara yang menarik. Hal ini kerana dia seorang yang berfikiran kritis dan sentiasa memberikan sudut pandang berbeza dalam setiap pendapatku. Kelebihannya sebagai seorang pembaca tegar dan banyak bergaul dengan pelbagai lapis masyarakat menyebabkan buah fikirannya sangat unik.

Kami memang selalu berbincang di Mesir dahulu. Apabila dia pulang ke Pulau Pinang bercuti, aku ambil kesempatan untuk menziarahinya. Dia membawa aku melihat seluruh Pulau Pinang sampai ke Jawi. Kami banyak berdiskusi tentang perkembangan semasa dan perkahwinan sementelah kami masih bujang.

Terbaru, aku diberi peluang untuk berdiskusi dengan Muhammad Hasbullah yang telah dikenali semenjak menuntut di SMAPK sehingga ke Mesir. Dia kini merupakan seorang pegawai perubatan siswazah di hospital Kuala Terengganu. Perbincangan dengan Muhammad agak berbeza kerana beliau seorang yang larut dengan kehidupan dakwah.

Idea pemikiran yang diluahkan lebih kerohanian dan menggerakkan jiwa. Sudut pandang yang dbentangkan sentiasa positif dan mengutamakan acuan agama. Peribadi yang ditampilkan pula sentiasa memberi teladan. Pengalaman yang agak berbeza, tetapi sangat bermanfaat.

Kami berbincang di dalam kereta Khairul yang dipinjam, di sekitar bandar Ipoh dan Kuala Kangsar. Aku lebih ingin membawa dia melihat rupa Ipoh dan Kuala Kangsar. Muhammad pula lebih bermatlamat, ingin melihat siapa di Ipoh dan Kuala Kangsar.

Hasratku kini, aku menginginkan pada masa depan, siri diskusi motokar yang paling indah dan berbuah, dengan seseorang yang ingin aku cintai sepanjang hayatku.

Previous Older Entries Next Newer Entries