Suratan (5)

5. Pertemuan di Taiping

Urusan dokumen yang diperlukan untuk pendaftaran sebagai pelatih pegawai perubatan di hospital belum lagi siap walaupun setelah hampir tujuh bulan aku menunggu dan kawanku di Mesir tolong menguruskannya. Hal ini berpunca daripada sikap warga Arab Mesir yang dikenali sebagai satu jenis manuisa yang sukar untuk menepati janji dan membuat kerja dengan sambil lewa (suka memaparkan kulit yang kelihatan cantik sedang rapuh dan berisi busuk).

Aku terpaksa menjalani kehidupan sebagai seorang penganggur disebabkan oleh hal tersebut (setelah aku berhenti daripada kerjayaku di Mydin selama lima bulan). Maka, aku pun merancang pelbagai aktiviti untuk diisi sepanjang tempoh pengangguran ini.

Aku telah merancang dengan salah seorang sahabatku, Hanif Khairudin untuk menziarahi Taiping. Antara tarikan utama bagiku untuk menziarahi tempat itu ialah zoo dan muzium. Gaya tersendiriku apabila menziarahi sesuatu tempat ialah aku gemar untuk mengunjungi tinggalan atau monumen bersejarah. Namun begitu, Hanif pula lebih cenderung kepada gaya yang diamalkan oleh kebanyakan orang apabila berjalan mengunjungi sesuatu tempat iaitu menikmati makanan istimewa tempat itu. Aku berasa agak gembira apabila Hanif mencadangkan beberapa tempat makan yang dikatakan menjadi tarikan Taiping, di samping dapat mempelajari satu gaya baru (bagi diriku) lawatan ke tempat menarik.

Salah satu tempat makan yang disasarkan oleh kami ialah Bismillah Cendol. Selepas aku pulang dari lawatan ini, aku memaklumkan kepada ayahku bahawa kami telah menikmati hidangan cendol yang terkenal di Taiping iaitu “Cendol Bismillah”, lalu dia membetulkan aku.

“Bismillah Cendol,” aku mengakui pembetulan itu. Memang tertulis sebegitu. Bukannya “Cendol Bismillah”. Di kedai itu, sedang kami menikmati cendol kacang merah, aku terpandang seorang lelaki yang berusia dalam 50-an sedang turut menikmati cendol di meja di seberang sebelah dinding. Wajahnya seperti sangat biasa dilihat dan aku agak diriku sememangnya mengenali beliau. Fikiranku bekerja keras memikirkan siapakah lelaki itu, yang ketika aku memandang wajahnya, dia turut membalas pandanganku.

Hanif ketika itu turut pelik melihat lelaki itu yang merenung kami dengan keningnya berkerut dan matanya dijegilkan. Mulutnya pada sebelah kanan terangkat sedikit, bagaikan sedang curiga memandang kami. Aku terus berfikir dan cuba untuk mengingat siapakah pemilik wajah itu. Hanif berasa agak janggal dengan situasi itu cuba untuk tidak mengendahkan renungan lelaki itu dan terus menghirup cendolnya.

Lelaki itu mengelap mulutnya dengan tisu dan membayar harga cendolnya. Selepas itu, dia terus menuju ke meja kami dan masih merenung wajahku. Aku teragak-agak cuba bersalam dan mulutku cuba berkata sesuatu. Jari telunjukku menuding-nuding ke atas sambil terus berusaha mengingati.

“Kenapa?” lelaki itu bersuara dengan renungan yang garang.

“Ustaz Sekolah Izzuddin!” aku bersuara tiba-tiba. Entah bagaimana perkataan itu muncul aku sendiri tidak tahu. Hanif terus menghirup cendolnya.

“Kamu siapa?”

“Kami bekas pelajar.”

“Tahun berapa?”

Aku berfikir lagi, “2000 hingga 2002. Ustaz…?”

“Ustaz Mad Isa,”

“Ha!” aku terus teringat siapakah beliau. Hanif turut bersalam. Ustaz Mad Isa di Sekolah Izzuddin dahulu pernah menjadi warden kami. Walaupun aku secara peribadi tidak terlalu rapat dengan beliau, disebabkan kami tinggal di asrama, secara tidak langsung warden akan mengenali wajah kami walaupun tidak mengenali nama kerana sepanjang masa mereka bersama kami dan menjaga kebajikan kami.

Beliau kini tidak lagi mengajar di Sekolah Izzuddin Shah tetapi sudah menjadi guru penolong kanan di Sekolah Menengah Kebangsaan Kubu Gajah. Beliau datang ke Taiping kerana ingin ke Pejabat Tanah. Kebetulan ketika beliau sampai, pejabat tanah sedang tutup untuk waktu rehat. Lalu beliau singgah ke gerai cendol ini. Kebetulan, ketika beliau singgah, kami pun turut singgah di situ.

Sebesar-besar Taiping, Allah telah takdirkan kami bertemu di gerai sekecil ini. Selepas bersalam dan mengucapkan selamat, beliau berjalan keluar daripada gerai Bismillah Cendol, meninggalkan kami yang masih meneruskan hirupan cendol.

Diskusi motokar

Aku mengistilahkan aktiviti menarik ini setelah melalui beberapa pengalaman perbincangan bersama beberapa orang kawan di dalam kereta. Aku tidak pasti kenapa begitu seronok perbincangan sebegini.

Idea mencurah-curah keluar dan pertukaran pendapat sangat rancak apabila seorang memandu dan seorang lagi duduk di sebelahnya sambil kereta yang dipandu meluncur di atas jalan raya, sama ada berdestinasi atau tidak.

Aku telah melalui aktiviti ini dengan jayanya bersama beberapa orang rakan. Azril (kawan sekolah rendah), Naeem (kawan di Mesir), Hanif (kawan SIS dan Mesir), dan yang terbaru Muhammad Hasbullah (kawan SMAPK dan Mesir).

Diskusi di dalam motokar Azril Ishak, kawan lama yang lama tidak bersua semenjak kami masing-masing membawa haluan setelah tamat sekolah rendah di Sekolah Kebangsaan Iskandar Shah berlaku beberapa kali setelah kami bertemu semula pada suatu temujanji di Mydin Meru Raya.

Ketika pertemuan awal, aku agak kekok. Azril yang merupakan seorang pegawai perubatan di Hospital Manjung, aku lihat sebagai seorang yang berkeyakinan tinggi dan selamba. Ideanya banyak yang menarik dan membuka perspektif baru terhadap kehidupan sebagai seorang pengamal perubatan di hospital. Aku banyak bertanya tentang pengalamannya mendepani kehidupan tersebut. Dia juga banyak menceritakan pengalamannya di Indonesia.

Rumusan perbincangan lebih kepada pertukaran pengalaman antara dua orang rakan yang sudah lama tidak bertemu. Kami pernah berdiskusi di dalam kereta Hyundainya dua kali; satu di Ipoh, dua di Parit dan Seri Iskandar.

Hanif Khairudin, salah seorang junior di Sekolah Izzuddin Shah, adik kepada Hafiz, kawanku semenjak di SIS, di Mesir kami banyak bertemu dan aku sering menumpang tidur di rumahnya. Keretanya merupakan tapak diskusi yang terbanyak kerana kami berdua banyak berjalan-jalan.

Kami berbincang tentang pelbagai topik terutamanya tentang abangnya, tentang perbezaan pemikiran, cara berfikir dan motivasi dalam pelbagai hal seperti kerjaya doktor. Perjalanan kami meliputi Kuala Kangsar dan Taiping.

Perbincangan dengan Naeem, kawanku dan pelajar farmasi di Mansurah, Mesir antara yang menarik. Hal ini kerana dia seorang yang berfikiran kritis dan sentiasa memberikan sudut pandang berbeza dalam setiap pendapatku. Kelebihannya sebagai seorang pembaca tegar dan banyak bergaul dengan pelbagai lapis masyarakat menyebabkan buah fikirannya sangat unik.

Kami memang selalu berbincang di Mesir dahulu. Apabila dia pulang ke Pulau Pinang bercuti, aku ambil kesempatan untuk menziarahinya. Dia membawa aku melihat seluruh Pulau Pinang sampai ke Jawi. Kami banyak berdiskusi tentang perkembangan semasa dan perkahwinan sementelah kami masih bujang.

Terbaru, aku diberi peluang untuk berdiskusi dengan Muhammad Hasbullah yang telah dikenali semenjak menuntut di SMAPK sehingga ke Mesir. Dia kini merupakan seorang pegawai perubatan siswazah di hospital Kuala Terengganu. Perbincangan dengan Muhammad agak berbeza kerana beliau seorang yang larut dengan kehidupan dakwah.

Idea pemikiran yang diluahkan lebih kerohanian dan menggerakkan jiwa. Sudut pandang yang dbentangkan sentiasa positif dan mengutamakan acuan agama. Peribadi yang ditampilkan pula sentiasa memberi teladan. Pengalaman yang agak berbeza, tetapi sangat bermanfaat.

Kami berbincang di dalam kereta Khairul yang dipinjam, di sekitar bandar Ipoh dan Kuala Kangsar. Aku lebih ingin membawa dia melihat rupa Ipoh dan Kuala Kangsar. Muhammad pula lebih bermatlamat, ingin melihat siapa di Ipoh dan Kuala Kangsar.

Hasratku kini, aku menginginkan pada masa depan, siri diskusi motokar yang paling indah dan berbuah, dengan seseorang yang ingin aku cintai sepanjang hayatku.